Adakah Anda Dah Bersedia Untuk Bersara? Semak 5 Checklist Ini

Di Malaysia, usia persaraan seseorang adalah dalam lingkungan 55 tahun ke 60 tahun. Tetapi ada juga yang bersara lebih awal dan ada juga yang terpaksa gigih mencari rezeki demi menampung kehidupan selepas umur 60 tahun kerana simpanan persaraan tidak mencukupi.

Pernahkah anda terfikir, adakah wang simpanan persaraan anda nanti cukup untuk meneruskan kehidupan tanpa dibebani masalah kewangan?

Senang cerita, adakah anda benar-benar telah bersedia untuk bersara?

Kalau anda mempunyai masalah-masalah berikut, ini mungkin petanda bahawa anda masih belum cukup bersedia.

1. Sukar Menguruskan Komitmen Kewangan

Photo by Lukas Rychvalsky from Pexels

Kalau anda rasa anda mengalami masalah untuk melangsaikan segala komitmen kewangan setiap bulan, ini mungkin bermaksud anda masih belum bersedia  untuk bersara.

Mengikut kajian yang dijalankan, rakyat Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 bagi simpanan persaraan. Ini merupakan satu angka yang dianggarkan sesuai untuk menampung kehidupan seseorang untuk lebih kurang 20 tahun tanpa bekerja.

Semak sendiri anggaran jumlah simpanan yang mencukupi untuk anda berdasarkan gaya hidup serta keperluan anda di masa hadapan. Contohnya kos pembiayaan pengajian anak-anak, kos perubatan dan sebagainya.

2. Hutang Bertimbun

Jika tidak diuruskan dengan baik, hutang boleh menjejaskan kehidupan anda dan lebih teruk lagi boleh mengakibatkan muflis. Antara hutang yang paling banyak menjerat rakyat Malaysia adalah penggunaan kad kredit yang agak berlebihan.

Jika anda merasakan anda menghadapi kesukaran untuk melunaskan hutang-hutang ini sebelum bersara, silap hari bulan bila anda sudah bersara pun, anda masih tetap perlu bekerja bagi melangsaikan hutang yang masih belum selesai.

Cari jalan untuk langsaikan hutang anda satu persatu mulai sekarang.

3. Tiada Rancangan Perbelanjaan Masa Hadapan

Photo by Lukas Rychvalsky from Pexels

Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang adalah dengan tidak membuat rancangan awal tentang apa yang bakal mereka lakukan dengan simpanan persaraan ini. Selalunya kebanyakan daripada kita hanya akan berangan-angan bila setahun dua lagi mereka bakal bersara.

Waktu itulah nak renovate rumah, time tu lah nak plan untuk pergi Haji, nak melancong dan banyak lagi. Sampaikan kadang-kadang baru beberapa tahun bersara, simpanan pun dah hampir habis.

Penting untuk anda merancang dengan jelas, apa yang bakal anda lakukan dengan duit tersebut bagi memastikan simpanan anda itu benar-benar mencukupi.

4. Tak Buat Pelan Kewangan

Sebelum bersara, pastikan anda membuat anggaran pelan kewangan yang tepat untuk berdepan dengan masa hadapan. Anggarkan perbelanjaan bulanan anda setiap bulan.

Kira sama ada simpanan persaraan anda cukup untuk menanggung segala perbelanjaan ini.

Kalau tidak cukup, anda perlu mencari jalan sama ada untuk mengurangkan komitmen, melangsaikan hutang, meningkatkan pendapatan dan sebagainya. Kalau anda tidak merancang mulai sekarang, anda mungkin akan menghadapi kesukaran kewangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini nanti.

5. Portfolio Kewangan Tak Kukuh

Kenapa anda sangat disarankan untuk mempelbagaikan portfolio kewangan ketika masih muda? Kerana ia akan membantu anda untuk bersara dengan lebih tenang tanpa perlu risau dengan masalah wang pencen tidak mencukupi atau habis awal.

Duit hasil daripada pelaburan inilah yang boleh membantu anda untuk mendapatkan hidup yang lebih selesa selepas bersara nanti.

Katakanlah anda cuma melabur dalam bidang hartanah sahaja, tiba-tiba harga hartanah merudum atas sebab-sebab tertentu seperti faktor kegawatan ekonomi, anda mungkin terpaksa membatalkan beberapa rancangan anda sebelum ini seperti melancong, membesarkan rumah dan sebagainya kerana hartanah anda tidak mendatangkan keuntungan seperti yang anda harapkan.

Dah Bersedia Ke Untuk Bersara?

Periksa satu-persatu perkara di atas. Adakah anda merasakan yang anda benar-benar telah bersedia untuk bersara?

Jika anda berasa tidak bersedia kerana risau simpanan persaraan anda tidak mencukupi, jangan pernah malu untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang lebih pakar. Jadikan masa persaraan anda masa yang menggembirakan tanpa perlu risau dengan faktor kewangan.

Sumber Rujukan: MyPF

Memperkenalkan My Personal Finances (MyPF Premier)

Kini anda selangkah saja lagi untuk mendapatkan manfaat bagi mengembangkan kewangan peribadi bagi menuju kebebasan kewangan yang dicari-cari.

Mereka menghubungkan anda kepada Perancang Kewangan yang berdaftar dan boleh membantu daripada segi:

  • Penasihat yang membimbing dalam menetapkan sasaran kewangan, mengulas dan berkongsi ilmu
  • Khidmat nasihat yang kerap dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, dan menjawab segala kemusykilan berkaitan kewangan
  • Pembelajaran secara hands-on dalam pelaburan, termasuklah saham, hartanah dan lain-lain

Bila dah kenalpasti masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jom kita jadi ahli MyPF Premier hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.