4 Langkah Untuk Mengawal Perbelanjaan Anda

Ramai yang mengalami masalah untuk mengawal perbelanjaan diri sendiri dan keluarga. Ramai yang telah tumpas dengan kehendak nafsu sendiri, dan menyebabkan masalah kewangan yang meruncing sekiranya tidak dirawat daripada awal.

Berikut merupakan 4 langkah bagaimana untuk mengawal perbelanjaan, supaya kedudukan kewangan anda akan jadi lebih baik.

1. Catat Segala Perbelanjaan Yang Dibuat Setiap Hari

Semakin besar gaji, semakin besar perbelanjaan. Betulkan ayat ini?

Masa gaji anda RM2,000 pun anda rasa sukar untuk menyimpan, sekarang dah bergaji RM5,000 pun sukar juga kan?

Sebagai permulaan, apa kata anda mula dengan mencatat dan merekod segala perbelanjaan harian anda. Jika anda tidak mampu untuk merekod di atas buku, anda boleh sahaja menggunakan telefon bimbit untuk mencatat setiap perbelanjaan tersebut. Mungkin agak sukar pada permulannya, tapi lama-kelamaan ia pasti menjadi semakin mudah.

Salah satu tips yang berkesan, adalah dengan membuat satu WhatsApp Group bersama dengan pasangan anda. Segala jenis perbelanjaan yang anda lakukan, masukkan ke dalam group ini.

2. Kenal Pasti Setiap Perbelanjaan 

Apabila anda berbelanja dengan mengikut nafsu semata-mata, pasti ada di antara perbelanjaan tersebut sebenarnya langsung tidak diperlukan dan sekiranya ia dikumpul dan tidak dikawal – pasti besar jumlahnya.

Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh kenal pasti dahulu barang apa yang ingin dibeli. Apabila anda telah ada catatan barang yang ingin dibeli, anda telah menetapkan bahawa barang tersebut adalah keperluan dan bukannya kehendak semata-mata. Contoh yang mudah adalah barangan dapur.

Kategorikan perbelanjaan anda kepada beberapa pecahan seperti perbelanjaan harian dan bulanan. Kenal pasti juga perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Contohnya seperti pembayaran bulanan rumah dan kereta adalah perbelanjaan tetap.

Manakala perbelanjaan boleh ubah adalah seperti duit minyak dan duit makan, ada kalanya perlu kelonggaran juga. Takdelah kita makan nasi lauk kicap sahaja setiap hari.

Dah ada senarai perbelanjaan tersebut, barulah anda boleh semak di mana anda boleh berjimat dengan mengurangkan jumlah perbelanjaan tersebut. Banyak lagi duit yang boleh disimpan setiap bulan dengan mengamalkan perbelanjaan yang berhemah.

3. Buat Bajet Sendiri

Seterusnya, anda boleh pula membuat bajet untuk memenuhi kemahuan anda pula. Yalah, takkan nak menyimpan dan ikat perut je setiap bulan; kita sebagai manusia perlukan juga hiburan dan sesekali nak juga pergi melancong. Kita perlu reward diri sendiri sekali sekala.

Apapun, pastikan ianya bersesuaian dengan pendapatan yang anda perolehi setiap bulan. Hanya gunakan duit lebihan selepas menolak perbelanjaan dan simpanan juga telah dibuat. Barulah perbelanjaan terkawal, simpanan pun ada, dapat berseronok pun ya.

4. Ikut Bajet Yang Dah Dibuat

Yang terakhir sekali inilah yang paling sukar untuk dilakukan. Kalau selama ini tulis dekat atas kertas, semuanya indah belaka. Tapi bila nak laksanakan, baru terasa amatlah susah.

Jika anda dapati perbelanjaan kurang daripada bajet yang ditetapkan, duit lebihan tersebut bolehlah digunakan untuk menambah duit simpanan. Dan kalau perbelanjaan melebihi bajet yang anda telah tetapkan, jangan pula korek simpanan anda.

Sebaliknya, anda perlu belajar untuk mengawal perbelanjaan tersebut pada masa akan datang, sepertimana yang telah anda tetapkan di dalam bajet yang telah dibuat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.