Muzakarah Nusantara Ke-15 Tampilkan Resolusi Bahawa Pemerkasaan Kewangan Campuran Islam Adalah Perlu Untuk Membina Ekonomi Dan Membantu Golongan Terkesan Dengan Pandemik Covid-19

Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) telah menganjurkan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-15 (MUZAKARAH2021)pada 7 hingga 8 Julai 2021 lepas dengan tema “Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik: Impak, Cabaran dan Hala Tuju”.

Persidangan secara maya tersebut berjaya menarik kehadiran lebih kurang 300 pengamal industri kewangan Islam dan pakar Syariah tempatan dan antarabangsa. Pemilihan tema adalah bertepatan dengan krisis ekonomi global masakini yang berlaku ekoran daripada pandemik COVID-19 yang masih berlarutan.

MUZAKARAH2021 juga telah mengupas secara mendalam isu-isu yang dihadapi oleh industri kewangan Islam dalam menghadapi pandemik dan bagaimana persoalan fiqh yang timbul dapat ditangani oleh pelbagai pihak terutamanya penggubal polisi. Penekanan utama diberikan kepada impak pandemik COVID-19 ke atas institusi kewangan Islam, di samping cabaran-cabaran yang dihadapi serta menggariskan hala tuju industri ini di masa hadapan.

Dilancarkan oleh ahli Lembaga Pengarah Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Tan Sri Azman Mokhtar. Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan ucapan alu-aluan daripada Prof. Dr. Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA dan Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia. Di dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, “Kita sedang menghadapi bukan satu, tetapi tiga krisis di dalam satu di mana dunia, termasuk rantau Nusantara, mengalami bencana ribut taufan yang sempurna (atau “a perfect storm”) di dalam tiga jangkamasa; iaitu jangkamasa pendek, pertengahan dan jangkamasa panjang. Krisis dan jangkamasa cabaran adalah bertindih dan berkait, jadi penyelesaiannya juga perlu mengambil kira penyelesaian yang menyeluruh, syumul dan bernas, berlandaskan pandangan yang benar-benar inklusif, progresif dan berihsan”.

Tambah beliau lagi, “Bertepatan dengan krisis tiga penjuru akibat pandemik Covid-19 ini, persidangan MUZAKARAH2021 selaku wadah utama bagi para cendekiawan dan pengamal industri di rantau Nusantara membahaskan isu-isu Syariah dalam kewangan Islam dan membincangkan strategi serta kaedah yang paling sesuai dalam mendepani krisis krisis global ini adalah amat dialukan.  Selain itu, ia juga dapat menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi maqasid Syariah”.

Mewakili Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid selaku Penolong Gabenor berkata, Usaha pemulihan ekonomi memerlukan sokongan pelbagai pihak. Selain jentera kerajaan dan sektor-sektor asas, pelbagai lapisan masyarakat harus bersepakat dalam usaha ini. Tidak kurang juga para ilmuan yang boleh memainkan peranan penting berdasarkan kepakaran masing-masing. Krisis ini telah memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serantau. Pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan oleh pihak berautoriti bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu dan perniagaan. Dalam menyokong usaha ini, institusi kewangan Islam dan ilmuan Syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan”.

Di antara topik-topik yang telah dibincangkan pada MUZAKARAH2021 adalah:

  • Industri Perbankan Islam: Isu-Isu dalam Implementasi Moratorium
  • Pasca Moratorium: Cabaran dan Halatuju
  • Industri Takaful: Pindaan Klausa Dana Tabarru’
  • Crowdfunding: Sumber Kewangan Alternatif Ketika Pandemik
  • Penggunaan Dana Zakat bagi Pembiayaan Asnaf yang Terkesan dengan Pandemik

Prof. Dr. Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA turut menjelaskan “Hasil dari MUZAKARAH2021, pihak kami telah menggariskan beberapa resolusi dan cadangan. Di antaranya adalah, bagi membina semula kekuatan ekonomi dan membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, perlu ada kolaborasi yang kukuh di antara pihak kerajaan, institusi kewangan Islam, institusi zakat dan wakaf, dan rakan pelaksana bagi mewujudkan kewangan campuran Islam. Perlaksanaan perantaraan berasaskan nilai dan pelaburan berasaskan impak sosial perlu dipertingkatkan. Kajian lanjut juga perlu dijalankan berhubung parameter implementasi mikro kredit berasaskan qard hasan bagi dana zakat semasa dan pasca pandemik, dan pengstrukturan semula model-model kewangan campuran Islam yang sesuai dilaksanakan oleh institusi kewangan Islam.

Bagi pihak ISRA, saya mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara Malaysia, Institusi Sokongan, INCEIF dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Komuniti, Malaysia World’s Islamic Finance Marketplace, Rakan aplikasi, I-FIKR, ISRA Consulting yang merupakan Syarikat Perundingan kepada ISRA dan juga pihak ASAS yang sentiasa memberi sokongan padu kepada acara MUZAKARAH”.

Tentang ISRA

Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dilancarkan pada tahun 2008 oleh Bank Negara Malaysia dalam usaha untuk menyelaraskan keperluan akademik dan industri untuk penyelidikan bidang Syariah dan kewangan Islam. Dengan lebih daripada 200 pembentangan persidangan dan lebih dari 100 makalah penyelidikan diterbitkan, bersama dengan bahan-bahan terbitan yang diedarkan ke lebih dari 40 negara di seluruh dunia, ISRA telah terpilih sebagai “Best Islamic Research Firm” oleh IFN Service Providers Poll sebanyak tujuh kali. ISRA adalah sebuah akademi berprestij yang bertujuan untuk menjadi pusat penyelidikan Syariah terkemuka di dunia dalam Kewangan Islam.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Umum Pengarah Baharu Pasaran Modal Islam

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz (“Azizan”) sebagai Pengarah Pasaran Modal Islam (ICM), berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Azizan akan memegang peranan baharu ini selain jawatan semasanya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan fokus berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islamnya seiring dengan keutamaan strategik yang lebih luas.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata, “Pelantikan Azizan memperkukuh fokus kepimpinan Bursa Malaysia terhadap Pasaran Modal Islam pada waktu pertumbuhan pasaran yang berterusan dan penyertaan antarabangsa yang semakin berkembang. Pengalaman, kepakaran kewangan dan pemahaman institusi beliau meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memberikan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam kami, di samping terus memastikan pengurusan kewangan yang kukuh sebagai CFO.”

Pasaran modal Islam Malaysia kekal sebagai tonggak utama pasaran modal domestik, berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025, dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Mencerminkan kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan, syarikat patuh Syariah merangkumi lebih daripada 80% syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah ICM, Azizan akan menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam Bursa Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM. Sebagai CFO, beliau akan terus menyelia fungsi kewangan keseluruhan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penganggaran bajet.

Azizan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat. Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan Rakan Kongsi Penggabungan dan Pengambilalihan di Deloitte Southeast Asia Ltd., serta pernah memegang jawatan kanan di KPMG Financial Services Advisory di United Kingdom dan Malaysia, antara lain. Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan & Kewangan dari University of Plymouth, UK, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).