H3C dan MyKRIS Berganding Bahu Bantu Kebangkitan Semula Industri Hotel Malaysia

H3C, syarikat peneraju penyelesaian digital, menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan MyKRIS Asia Sdn Bhd untuk membantu pengendali hotel Malaysia mengurangkan kos operasi IT mereka sementara industri ini pulih daripada impak pandemik COVID-19. Kerjasama tersebut akan menyaksikan H3C sebagai rakan kongsi utama MyKRIS menyediakan pelanggan industri perhotelan dengan penyelesaian rangkaian dan tanpa wayar terbaik. H3C akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan perkhidmatan internet MyKRIS bagi memberi manfaat kepada industri perhotelan tempatan.

Majlis penandatanganan MoU tersebut berlangsung bersama pelancaran bundel Perkhidmatan Internet Tanpa Wayar MyKRIS, MyKRIS 360, yang dipilih dengan teliti khususnya untuk ahli-ahli hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH). Bundel perkhidmatan ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada semua ahli MAH dengan menggunakan penyelesaian internet tanpa wayar yang paling komprehensif untuk memulihkan industri perhotelan tempatan. MoU tersebut ditandatangani oleh Rockies Ma, Pengurus Besar Negara H3C Malaysia dan Chew Choo Soon, Pengarah Urusan Kumpulan MyKRIS dan disaksikan oleh Yap Lip Seng, Ketua Pegawai Eksekutif MAH.

Industri pelancongan dan perhotelan menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Malaysia. H3C dan MyKRIS akan berganding bahu dengan MAH untuk menyediakan penyelesaian rangkaian tanpa wayar terbaik kepada kumpulan pelanggan hotel sasaran. Objektif mereka adalah untuk mengurangkan sekurang-kurangnya 50% daripada kos operasi IT setelah pasaran hospitaliti dibuka semula.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Rockies Ma berkata, “Saat ini lebih penting daripada sebelum ini untuk menyediakan industri perhotelan dengan penyelesaian digital terbaik bagi membantu industri ini pulih daripada impak pandemik. Sebagai sebahagian daripada industri hospitaliti yang lebih besar, pemulihannya akan menjadi sangat bermanfaat untuk meningkatkan ekonomi keseluruhan. Kami berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi utama MyKRIS bagi menyediakan ahli-ahli hotel di bawah MAH dengan penyelesaian tanpa wayar dan rangkaian yang komprehensif dan berpatutan. Kami percaya ia akan dapat membantu dalam operasi harian mereka tatkala industri perhotelan beransur pulih.”

Memandangkan jumlah penduduk yang diberi vaksin penuh terus meningkat di Malaysia dan negara tersebut beransur-ansur melangkah ke arah imuniti kelompok, industri perhotelan juga berusaha untuk pulih pada tahun akan datang. Sektor perjalanan dan pelancongan bersifat berdaya tahan. Sebaik sahaja perjalanan domestik dibenarkan, keinginan terpendam rakyat Malaysia untuk melancong akan bertindak sebagai daya penggerak bagi pemulihan industri perhotelan. Hasilnya, purata kadar penghunian hotel meningkat daripada 14% pada bulan Jun kepada 28% menjelang suku keempat tahun ini menurut MAH.[1]

Mason Lee, Pengarah Jualan MyKRIS menyambut rakan-rakan Hospitality Malaysia, “Kini, kami dapat menyaksikan pemulihan secara beransur-ansur industri pelancongan dan perhotelan tempatan. Keperluan terhadap sistem daftar masuk tanpa sentuh yang disokong oleh sistem WIFI yang mantap lagi menjimatkan kos di hotel-hotel kini menjadi lebih penting berbanding sebelum ini. Justeru itu, MyKRIS bekerjasama dengan H3C untuk menawarkan penyelesaian yang stabil, cekap dan menjimatkan kos kepada pemilik-pemilik hotel bagi memulakan kebangkitan semula industri pelancongan dan perhotelan.”

Chew Choo Soon, Pengarah Urusan Kumpulan MyKRIS berkata, “Kami dapat melihat peluang untuk memulihkan industri perhotelan dengan bantuan pendigitan. Dengan H3C mula terlibat sebagai sokongan utama kami, kami yakin dapat menyediakan penyelesaian yang terbaik untuk membantu industri perhotelan, dengan bantuan pengalaman penyelesaian digital selama lebih daripada 20 tahun yang kami peroleh.”

Majlis penandatanganan MoU merupakan batu loncatan untuk perkongsian antara H3C dan MyKRIS. MoU tersebut melibatkan perjanjian oleh kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi hubungan perniagaan mereka sekali gus melonjakkan ekonomi digital Malaysia ke hadapan. Kerjasama tersebut bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan ekosistem digital yang rancak dengan mengukuhkan perkongsian antara MyKRIS dan jaringan rakan kongsi ekosistem H3C.

Latar Belakang H3C

H3C ialah peneraju industri bagi penyediaan Penyelesaian Digital dan komited untuk menjadi rakan kongsi pelanggan kami yang paling dipercayai dalam usaha mereka ke arah inovasi perniagaan dan transformasi digital. H3C menawarkan portfolio penuh produk Infrastruktur Digital, mencakupi pengkomputeran, penyimpanan, perangkaian, sekuriti dan domain berkaitan serta menyediakan platform digital sehenti yang komprehensif termasuk pengkomputeran awan, data raya, kesalinghubungan, sekuriti maklumat, keselamatan baharu, Internet Pelbagai Benda (IoT), pengkomputeran pinggir, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian 5G, selain perkhidmatan teknikal hujung-ke-hujung.

Untuk maklumat lanjut mengenai H3C, sila kunjungi http://www.h3c.com/en/


[1] https://www.thestar.com.my/business/business-news/2021/07/03/towards-a-better-2022

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.