Kenali Chuck Taylor Dan Kisah Kejayaan Converse

Converse merupakan antara kasut jenis sneakers yang terkenal di seluruh dunia. Siapa yang tak kenal kasut Converse Chuck Taylor All Star?

Ianya pernah menjadi fenomena dalam dunia fesyen kasut suatu masa dahulu. Tapi mungkin ramai yang masih belum mengenali Chuck Taylor apatah lagi kisah kejayaan kasut terkenal ini.

Jom ikuti kisah menarik Chuck Taylor dan kejayaan Converse.

Asal-Usul Converse

Tahukah anda, Converse telah ditubuhkan pada tahun 1908? Marquis Mills Converse adalah seorang pengurus di sebuah syarikat pengilang kasut. Beliau kemudiannya telah menubuhkan Converse Rubber Shoe Company pada Februari 1908 dengan tujuan untuk menghasilkan kasut getah untuk orang ramai.

Menjelang tahun 1910, Converse mengeluarkan kasut setiap hari. Namun pada tahun 1915, mereka mula mengeluarkan kasut sukan pula.

Siapa Chuck Taylor?

Kredit Gambar: The Vocket

Charles Hollis “Chuck” Taylor atau lebih sinonim dengan panggilan Chuck Taylor adalah merupakan seorang pemain bola keranjang di Amerika Syarikat. Pembuatan kasut sneakers jenis ‘Chuck Taylor’ ini muncul setelah beliau menyerang pejabat penjualan Converse ekoran kakinya cedera akibat kasut yang dipakai sebelumnya.

Beliau juga telah berjaya meyakinkan para eksekutif Converse untuk membuat kasut khas untuk pemain bola keranjang. Syarikat itu juga bersetuju dengan cadangan tersebut dan Chuck juga telah memainkan peranan dalam membangunkan kasut sneakers yang lebih baik dan selesa dipakai ketika bermain bola keranjang.

Nama Chuck Taylor diletakkan pada kasut tersebut beberapa tahun kemudian, setelah Chuck Taylor bergabung dengan Converse untuk menjadi penjual kasut tersebut sejak tahun 1921. Tahukah anda, kasut Converse Chuck Taylor ini juga turut digunakan oleh tentera Amerika Syarikat ketika perang Dunia Kedua suatu ketika dahulu.

Hebat bukan?

Kisah Kejayaan Jenama Converse

Photo by Sides Imagery from Pexels

Pada mulanya, kita sering menganggap bahawa kasut sneakers Converse ini digunakan oleh para ahli sukan. Ekoran persaingan sengit dengan jenama kasut sukan lain yang dibangunkan ‘bak cendawan tumbuh selepas hujan’, Converse mula menukar strategi jualan mereka.

Mereka telah menurunkan harga kasut sneakers tersebut dan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Kesannya, kasut Converse ini telah mendapat perhatian oleh para artis yang menggunakan kasut tersebut untuk bergaya.

Kini, kasut tersebut telah menjadi trend dan pilihan utama bagi para penggemar kasut sneakers. Gaya dan reka bentuknya juga tetap sama walaupun perniagaan Converse ini telah berusia lebih daripada 100 tahun.

Hari ini, Converse merupakan jenana yang terkenal dan diminati ramai. Mereka bijak dalam mengubah strategi perniagaan telah membuahkan hasil.

Selain daripada itu, kita jarang dengar ada sebarang isu dengan kasut Converse. Dahlah murah, berkualiti pula tu.

Bagi anda yang ingin memiliki kasut Converse Chuck Taylor ini, harganya dikatakan mencecah RM200 sepasang.

Converse telah menjadi milik Nike pada tahun 2003 yang telah membelanjakan USD309 juta untuk membelinya. Dan pada tahun 2019, pendapatan Converse mencecah USD1.9 bilion dolar.

Sumber Rujukan:

  1. Over-Blog
  2. Teh Tarik Gelas Besar
  3. Greelane

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian