10 Perkara Anda Berada Dalam Kejiranan Yang Baik

Artikel ini merupakan tips beli rumah berdasarkan lokasi rumah dan juga kompilasi faktor-faktor yang perlu anda ambil kira dalam proses memilih lokasi rumah yang sesuai untuk didiami. 

Definisi kejiranan yang baik itu adalah kawasan rumah yang berkomuniti, selamat dan lengkap dengan segala kemudahan dan fasiliti. 

Pernah tak anda terjumpa satu kawasan dan berhasrat untuk membeli rumah di kawasan itu? 

Salah satu cara jika anda betul-betul berminat dengan sesebuah kawasan, jangan terus beli rumah di kawasan itu. 

Sebaliknya, sewa dahulu untuk 12 bulan – 24 bulan dan lihat kondisi dan realiti sebenar kawasan kejiranan tersebut. 

Salah faham ramai orang adalah, fasiliti adalah segala-galanya. Hakikat sebenarnya pula, komuniti di kawasan itu lebih mustahak untuk jangka panjang.

Komuniti yang baik akan membantu anda dalam proses membesarkan anak-anak kelak kerana persekitaran mempengaruhi 80% peribadi seseorang. 

Hasil kajian kami, terdapat 10 perkara yang anda perlu ambil kira sekiranya ingin hidup dalam kejiranan yang baik di mana-mana lokasi. 

Jom baca kompilasi 10 perkara anda berada dalam kejiranan yang baik ini. 

1. Kadar Kematangan Kawasan

Lebih matang sesebuah kawasan itu, lebih berkualiti komuniti dan kejiranan itu. 

Gambar oleh Alfred di Unsplash

Antara indikator yang menentukan kadar kematangan kawasan itu adalah :- 

  • Bank 
  • Pasaraya 
  • Pusat rekreasi 
  • Hospital pakar 
  • Pusat beribadat 
  • Restoran Makanan Segera 
  • Kedai serbaneka dengan ATM 
  • Sekolah antarabangsa / swasta 

2. Faktor Keselamatan

Kadar jenayah di sesebuah kawasan perlu diambil kira bagi memastikan kehidupan anda dan keluarga selamat daripada sebarang aktiviti jenayah. 

Selain itu, semak juga masalah sosial yang mungkin wujud di kawasan itu yang biasanya tertumpu di lokasi sunyi dan tidak padat dengan penduduk dan kurang pemantauan pihak berkuasa tempatan. 

Cara paling mudah adalah dengan join Facebook Group komuniti kawasan itu untuk menyemak sebarang laporan aktiviti jenayah dan sosial yang berlaku dari semasa ke semasa. 

3. Akses Pengangkutan Awam

Lazimnya, lokasi yang mempunyai akses pengangkutan awam seperti LRT, MRT, KTM atau bas akan lebih ramai penduduk berbanding kawasan yang tiada pengangkutan awam. 

Kewujudan pengangkutan awam juga penting untuk anda pergi ke sesebuah lokasi di saat kenderaan anda rosak dan sebagainya. 

Hartanah dalam radius 1KM dari pengangkutan awam biasanya lebih mahal. Jarak ideal untuk lokasi kawasan yang anda inginkan dan pengangkutan awam adalah di antara 3km – 5km. 

4. Kepadatan Penduduk

Gambar oleh Daniel Fikri di Unsplash

Kawasan yang terlalu padat akan mendatangkan masalah trafik di waktu puncak. 

Kawasan yang tidak padat juga boleh menyumbang kepada masalah-masalah lain seperti jenayah dan masalah sosial. 

Oleh itu, semak keadaan semasa trafik dan kemudahan di kawasan itu pada waktu puncak, hujung minggu dan sebagainya. 

Biasanya, kawasan yang matang memang padat dengan penduduk dan aliran trafik sedikit sesak pada waktu-waktu puncak dan cuti sekolah. 

5. Aktiviti Kemasyarakatan

Bukti kejiranan itu baik adalah, wujudnya aktiviti komuniti bermasyarakat dan menjadi antara perkara yang perlu untuk anda semak. 

Antara aktiviti bermasyarakat adalah seperti gotong-royong, sukaneka di kawasan penduduk taman, majlis ilmu di pusat ibadat,  program dan aktiviti suri rumah tangga dan sebagainya. 

Anda boleh mula buat semakan di taman permainan pada waktu petang. 

6. Kawasan Rekreasi

Gambar oleh Afdhal N. di Unsplash

Kawasan untuk dipertimbangkan bukan sahaja mempunyai lot komersial tetapi juga kawasan rekreasi untuk masyarakat bersukan dan melakukan aktiviti berkeluarga.

Antaranya, trek jogging, trek hiking, padang bola sepak, dewan badminton dan sebagainya. 

7. Akses Pendidikan

Anda perlu semak pusat pendidikan bermula taska, tadika, sekolah dan pusat pengajian awam di sekitar kawasan itu. 

Ini adalah elemen yang sangat penting kerana majoriti pembeli rumah akan menetap di lokasi yang berdekatan dengan sekolah anak-anak mereka. 

Pilihan pendidikan di sesebuah kawasan menjadi faktor memilih lokasi rumah bukan sahaja di kalangan masyarakat bandar, tetapi juga luar bandar. 

8. Harga Rumah

Harga rumah memainkan peranan besar dan menjadi penentu kejiranan itu. 

Jika kawasan itu mempunyai banyak unit kos rendah, maka kawasan itu akan menjadi lubuk pelabur hartanah untuk sewakan kediaman mereka. 

Ini akan menjadikan kawasan itu dibanjiri dengan pendatang asing dan golongan pekerja yang bermastautin di lokasi itu. 

Semakin tinggi harga rumah, semakin kurang lokasi itu menjadi tumpuan pendatang asing dan golongan pekerja. 

9. Lot Komersial

Kewujudan lot komersial membuktikan kawasan itu mempunyai nilai hartanah yang tinggi dan wujud peluang pekerjaan di samping aktiviti perniagaan. 

Hartanah yang terletak berdekatan dengan lot komersial biasanya akan mengalami kenaikan harga yang signifikan tahun demi tahun berbanding hartanah yang terletak jauh daripada lot komersial. 

10. Kemudahan Yang Lengkap

Sebaiknya kemudahan ini tersedia dalam radius 3km dari lokasi kediaman. Antara kemudahan yang perlu diambil kira adalah :- 

  • Sekolah 
  • Hospital 
  • Balai polis
  • Lebuhraya 
  • Balai bomba 
  • Taman permainan 
  • Jaringan internet 
  • Bekalan air dan elektrik 

Semua kemudahan ini adalah asas sekiranya anda ingin mencari kawasan baru yang kurang padat dengan penduduk. 

Natijahnya, mencari sebuah rumah dengan lokasi strategik pada harga mampu milik agak sukar pada hari ini. 

Rumah yang terletak berdekatan dengan pusat pelancongan dan berada dalam kawasan yang sedang membangun adalah bonus di masa hadapan.

Anda boleh tambah pendapatan dari rumah dengan menjadi hos Airbnb dan nilai hartanah sudah tentunya akan meningkat di masa hadapan ekoran pembangunan yang sedang berlaku. 

Lazimnya, kawasan baru lebih murah tapi kurang ‘hidup’ berbanding kawasan lama yang sudah matang.

Yang terbaik adalah pilih kawasan yang sudah matang dan menepati semua ciri-ciri yang dikongsikan dalam artikel ini. 

Memiliki rekod CCRIS yang bersih sangat penting untuk kita semua. Kalau rekod CCRIS kita tak cantik, maka selepas ini susahlah untuk kita mendapatkan apa sahaja pinjaman daripada pihak bank.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman