5 Perkara Wajib Tahu Demi Kelangsungan Perniagaan Di Waktu Mencabar

Mengurus perniagaan kecil dalam masa ekonomi yang sukar memang mencabar, apatah lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda. Mencari panduan yang dapat diikuti untuk mengatasi masalah ini pun tidak mudah kerana setiap perniagaan kecil berbeza, masing-masing ada risiko dan kelebihan mereka tersendiri. Apa yang boleh diikuti oleh satu perniagaan mungkin tidak realistik untuk perniagaan yang lain. Namun, terdapat beberapa strategi umum yang boleh diikuti oleh pemilik perniagaan untuk membantu mereka memperbaik keadaan perniagaan masing-masing.

1. Lihat Gambaran Besar

Ramai yang cenderung untuk terus menyelesaikan masalah yang timbul di hadapan mata tanpa banyak soal dan berfikir panjang. Namun, anda disarankan untuk mengambil satu langkah ke belakang untuk melihat gambaran besar akan apa yang masih baik dan apa yang perlu diubah. Ini boleh membuat anda lebih faham akan punca masalah dan juga bagaimana kekuatan mahupun kelemahan model perniagaan anda memainkan peranan.

Sebagai contoh mudah, ketika jualan anda menurun, anda mungkin berbelanja lebih lagi untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan anda. Namun, ada kemungkinan, citarasa pelanggan sudah berubah yang memerlukan anda memikirkan produk baharu. Mungkin pelanggan anda lebih berjimat sekarang atau kekurangan masa kerana bekerja lebih masa. Ini memerlukan anda untuk memikirkan bagaimana anda boleh memberi lebih nilai kepada pelanggan (agar tidak perlu mengurangkan harga) dan memudahkan urusan pesanan dan pembayaran, misalnya.

Pendek kata, anda perlu menganalisis bagaimana produk atau perkhidmatan anda sesuai dengan pasaran sekarang, bagaimana krisis ekonomi mempengaruhi pelanggan dan pembekal anda, dan semua aspek lain yang penting dalam perniagaan anda. Lebih baik lagi jika anda dapat mengetahui berapa baik model perniagaan anda dalam keadaan sekarang dan meramalkan senario-senario yang boleh berlaku di masa akan datang agar anda dapat bersedia.

2. Jaga Kakitangan Anda

Penggajian adalah antara kos yang besar dalam perniagaan kecil. Oleh itu, anda harus membelanjakannya dengan baik. Ini memerlukan tinjauan menyeluruh terhadap strategi pengambilan dan pengurusan pekerja agar orang yang tepat berada bersama anda, iaitu mereka yang dapat melakukan kerja dengan berkesan.

Setengah-setengah majikan mungkin mengambil pendekatan untuk menggaji pekerja yang paling murah. Pendekatan ini memang ada logiknya, namun produktiviti pekerja perlu juga diambil kira. Menggaji seorang pekerja yang harganya 20% lebih tinggi daripada rata-rata pekerja tetapi bekerja 40% lebih berkesan merupakan tindakan yang lebih bijak, terutamanya semasa tempoh krisis.

Majikan juga dinasihatkan agar tidak membuang pekerja sewenang-wenangnya tanpa berfikir panjang. Jangan kerana mahu menjimatkan kos membayar gaji pekerja, perniagaan anda merosot kerana kekurangan pekerja terutamanya pekerja mahir, produktif atau berpotensi. Menggaji pekerja begini bukan kos bahkan satu pelaburan yang boleh menguntungkan dalam jangka panjang dan amat perlu sebenarnya untuk perniagaan anda mengharungi waktu-waktu sukar. Terutamanya dalam waktu mencabar seperti sekarang, pengurusan pekerja perlulah berorientasikan produktiviti dan memberikan motivasi kepada pekerja, dan bukan ancaman yang hanya akan membunuh produktiviti.

3. Akses Kepada Wang Tunai

Pemilik perniagaan kecil harus mengambil langkah untuk memastikan bahawa syarikat mereka boleh mendapat akses kepada wang tunai, terutamanya dalam masa krisis. Berbincang dengan pihak bank untuk memahami apa yang diperlukan untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan ialah langkah awal yang baik, seperti mendapatkan kredit terlebih dahulu untuk menampung masalah aliran tunai jangka pendek. Umumnya, menjalin hubungan baik dengan pihak bank adalah amat berguna untuk perniagaan kecil terutamanya pada waktu krisis seperti pandemik COVID-19. Pada waktu ini, pemilik perniagaan kecil juga boleh berbincang dengan pihak bank mahupun agensi berkaitan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk bantuan bayaran balik pinjaman. Di samping mengusahakan akses kepada wang tunai baharu melalui pinjaman, bantuan bayaran balik pinjaman ini membolehkan pemilik perniagaan mengakses wang tunai sedia ada untuk perbelanjaan perniagaan yang perlu sewaktu krisis.

4. Perhatikan Juga Masalah-Masalah Kecil

Walaupun penting untuk melihat gambaran besar, jangan abaikan perkara-perkara kecil yang mungkin memberi kesan buruk kepada perniagaan seperti pohon besar yang membuat kedai anda terhalang daripada pandangan orang ramai, papan tanda syarikat yang kurang menarik, tempat letak kenderaan yang tidak mencukupi, jalan untuk ke kedai sempit dan berlopak, dan pengiklanan yang tidak berkesan adalah antara contoh masalah kecil yang dapat menyebabkan masalah besar kepada perniagaan anda.

Selain menganalisis faktor yang membawa pelanggan masuk, perbelanjaan-perbelanjaan kecil juga perlu diteliti. Adakalanya perbelanjaan besar yang dilakukan sekali-sekala tidak mendatangkan masalah tetapi beberapa perbelanjaan kecil yang kerap dibuat sebenarnya boleh membebankan kewangan.

Contohnya, kos bekalan pejabat mungkin akan menjadi tidak terkawal sekiranya pembelian tidak dirancang dengan betul dan pesanan dibuat dengan cara yang tidak teratur. Begitu juga, jika pembekal meningkatkan harga produk, anda harus mula untuk mencari pembekal yang lebih murah untuk menjimatkan kos.

5. Jangan Korbankan Kualiti

Menurunkan kos sangat penting dalam masa sukar. Pemilik perniagaan mungkin akan membuat perubahan tertentu pada produk untuk menjimatkan kos. Namun, awas! Jangan sampai kualiti produk terkorban.

Pemilik perniagaan yang ingin meningkatkan margin keuntungan harus berhati-hati dalam melakukan perubahan dramatik terhadap komponen utama produk mahupun perkhidmatan. Jika ada pembuat pizza jenama tempatan misalnya, anda mungkin mahu meninggikan margin keuntungan dengan membeli bahan keju atau sos yang lebih murah. Strategi ini boleh membawa padah jika pelanggan merasa tidak puas dengan rasa pizza anda dan penjualannya mula menurun. Pokoknya, buatlah pemotongan kos pada aspek-aspek lain yang tidak menjejaskan kualiti produk seperti kos kotak pizza dan seumpamanya.

Begitulah serba ringkas panduan mudah untuk anda mengurus kewangan perniagaan bukan hanya di waktu mencabar tetapi pada bila-bila masa pun. Apa yang penting ialah anda mendapatkan ilmu dan panduan yang betul.

Artikel asal daripada AKPK: https://ask.akpk.org.my/?loc=content&s_c=protection&content=articles&id=124

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA