Malaysia Pertimbang Pilihan Dapatkan Sumber Gandum Dari Turkiye – PM Ismail Sabri

ISTANBUL, 5 Julai (Bernama) — Malaysia berhasrat untuk mempelbagaikan sumber makanan importnya, termasuk kemungkinan membeli tepung gandum dari Turkiye ketika dunia terus mengalami kekangan bekalan, lonjakan harga makanan serta inflasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, berkata aspek jaminan keselamatan makanan juga adalah antara komponen utama dalam beberapa siri pertemuan beliau dengan peneraju industri republik itu.

Menurutnya, selain memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye, beliau akan turut memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan dari negara itu selain mendapatkan sumber makanan seperti tepung gandum.

Pengeluaran gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik tersebut merupakan pengeksport bersih komoditi tersebut.

“Satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia adalah dari Ukraine dan Russia. Namun, konflik perang antara kedua-dua negara itu selain keputusan India mengurangkan eksport gandum, telah memberi tekanan hebat ke atas bekalan makanan itu…Bagaimanapun, kerajaan Malaysia terus memberi subsidi bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama Keluarga Malaysia yang menetap atau menyambung pengajian di negara itu, termasuk beberapa penuntut yang melakukan perjalanan bas selama 23 jam dari Armenia untuk menemui perdana menteri.

Selepas majlis itu yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang, perdana menteri mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil daripada sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma Turkiye.

Ini termasuk OYAK, Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye (TUBITAK), Dana Kekayaan Turkiye (TWF), GAMA Enerji A.S (GEAS), Tuyar, EMS MOBIL, FNSS, Istanbul Shipyard dan HAVELSAN.

Pada mesyuarat perniagaan terbabit, Ismail Sabri yang mengunjungi negara itu bagi memenuhi jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, telah diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sesi tersebut turut disertai oleh pihak serta syarikat dari Malaysia termasuk Khazanah Nasional Bhd (KNB), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Boustead Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan SilTerra.

Menurut pegawai kerajaan Malaysia, antara agenda utama dalam mesyuarat itu menyentuh aspek bekalan makanan yang melibatkan Boustead Holdings dan OYAK, dana persaraan pertama dan terbesar Turkiye.

OYAK mempunyai tiga bidang pelaburan utama iaitu kewangan, ekuiti dan hartanah.

Menerusi pemilikan dalam lebih daripada 310 unit perniagaan dan 110 kilang yang beroperasi di enam benua, OYAK bertapak kukuh dalam sektor-sektor utama termasuk perlombongan dan metalurgi, simen konkrit, kertas, automotif, logistik, kewangan, bahan kimia, makanan, pertanian, tenaga serta perkhidmatan.

Pada 28 Mac lepas, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine akan mencetuskan krisis pertanian yang belum pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.

Ukraine dan Russia menghasilkan 30 peratus daripada bekalan gandum serta 20 peratus jagung di peringkat dunia.

Pada 2020, Malaysia mengimport gandum bernilai RM1.46 bilion dan menjadi pengimport ke-38 terbesar dunia bagi komoditi itu dan bahan makanan itu juga merupakan produk ke-109 paling banyak diimport oleh negara itu.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia manakala selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/malaysia-pertimbang-pilihan-dapatkan-sumber-gandum-dari-turkiye-pm-ismail-sabri/

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.