Adakah Wajib Mengeluarkan Zakat Ke Atas Harta Pelaburan Bersama?

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya telah melakukan pelaburan bersama kawan saya dimana jumlah pelaburan kami RM 30 000. Ratio perkongsian bagi setiap seorang adalah 50:50 dimana duit saya RM15 000 dan duit kawan saya RM 15 000. Adakah zakat dikira atas pegangan individu ataupun daripada jumlah pelaburan kesemuanya?

Terima kasih.

Berdasarkan kepada AL-KAFI # 1826 : HUKUM HARTA PELABURAN BERSAMA, ADAKAH DIWAJIBKAN ZAKAT? yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

JAWAPAN RINGKAS

Jika jumlah pelaburan bersama itu mencukupi haul dan nisab maka zakat diwajibkan ke atas mereka tanpa perlu melihat kepada bahagian individu. Zakat itu dikira ke atas keseluruhan harta walaupun salah seorang daripada pelabur belum mencapai nisab.

HUJAH DAN ANALISIS

Pelaburan merupakan salah satu kaedah bagi menjana wang dengan menggunakan sejumlah modal. Pulangan pelaburan pula bergantung kepada prestasi pelaburan di mana boleh membawa keuntungan dan juga boleh membawa kerugian. Instrumen pelaburan merupakan salah satu kategori yang termasuk dalam harta yang diwajibkan zakat. Dalil dan hujah bagi zakat pelaburan adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Surah al Baqarah 267

Imam Mujahid ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada perniagaan. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ibnu Katsir di dalam kitab tafsir beliau:

قَالَ مُجَاهِدٌ: يَعْنِي التِّجَارَةَ

Maksudnya: “Mujahid berkata: Apa yang dimaksudkan di sini merujuk kepada perniagaan”.

(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir 1/697)

Dalam pada itu, Imam at-Tabari juga menyatakan bahawa lafaz {مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ} merujuk kepada perniagaan ataupun daripada emas dan perak. Perkara ini dinyatakan oleh beliau dalam kitab tafsirnya:

: زكوا من طيّب ما كسبتم بتصرُّفكم إما بتجارة، وإما بصناعة من الذهب والفضة.

Maksudnya“Keluarkanlah zakat daripada hasil usaha kamu yang baik dengan penguasaan kamu samaada daripada perniagaan atau pun pembuatan daripada emas dan perak”.

(Rujuk Tafsir al-Tabari 5/555)

Berdasarkan ayat diatas dapat kita fahami bahawa setiap pendapatan yang diperoleh daripada hasil yang baik maka ia termasuk di dalam harta yang diwajibkan zakat.

Berbalik kepada persoalan utama, ulama di sisi mazhab al-Shafie berpendapat bahawa harta pelaburan bersama dikira harta zakat sebagai satu unit. Semua jumlah pelaburan dikira sebagai satu unit walaupun salah seorang pelabur belum mencukupi nisab. Perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَلاَ يُجْمَعُ بَيْنَ مُتَفَرِّقٍ، وَلاَ يُفَرَّقُ بَيْنَ مُجْتَمِعٍ، خَشْيَةَ الصَّدَقَةِ

Maksudnya“Jangan kamu satukan harta yang berbeza dan jangan kamu asingkan harta yang terkumpul bagi mengelakkan (bayar lebih/terima kurang) daripada zakat”. 

Hadis Riwayat al-Bukhari

Imam al-Nawawi menjelas maksud hadis di atas bahawa percampuran yang boleh dikenalpasti bahagian masing-masing maka dijadikan nilai percampuran itu sebagai satu nilai, kata beliau:

وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنَ الْخُلْطَتَيْنِ أَثَرٌ فِي الزَّكَاةِ، فَيَجْعَلَانِ مَالَ الشَّخْصَيْنِ أَوِ الْأَشْخَاصِ بِمَنْزِلَةِ مَالِ الْوَاحِدِ.

Maksudnya“Setiap seorang daripada dua harta yang bercampur itu akan memberi kesan kepada zakat, maka dijadikan dua harta yang bercampur itu atau harta yang ramai sebagai satu nilai harta.

(Rujuk Kitab Raudhah al-Tolibin 2/170)

Sebagai contoh, dua orang lelaki yang mencampurkan 20 ekor kambing dengan 20 ekor kambing yang mereka miliki maka diwajibkan bagi mereka untuk mengeluarkan zakat bagi seekor kambing. Jika mereka tidak mencampurkannya maka tidak perlu bagi mereka untuk mengeluarkan zakat. (Rujuk Kitab Raudhatul al-Tolibin 2/170)

Seterusnya, bagi mekanisma pengiraan harta zakat pelaburan, adalah dinasihatkan untuk merujuk Pusat Zakat negeri berkaitan. Disini kami sertakan pautan berkaitan yang dikeluarkan oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP:

  1. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-saham/
  2. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-perniagaan/

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jika jumlah pelaburan bersama itu mencukupi haul dan nisab maka zakat diwajibkan ke atas mereka tanpa perlu melihat kepada bahagian individu. Zakat itu dikira ke atas keseluruhan harta walaupun salah seorang daripada pelabur belum mencapai nisab.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

5 Perkara Yang Pelabur Profesional Semak Setiap Hari

Ramai orang menyangka pelabur saham yang berjaya mempunyai satu kelebihan istimewa. Ada yang menganggap mereka mempunyai akses kepada maklumat sulit, menggunakan sistem perdagangan yang canggih atau sekadar bernasib baik memilih saham yang tepat pada masa yang sesuai.

Hakikatnya, kejayaan dalam pelaburan jarang berlaku secara kebetulan.

Di sebalik setiap keputusan pelaburan yang baik, terdapat proses, disiplin dan rutin yang diamalkan secara konsisten. Sama seperti seorang atlet yang perlu menjalani latihan setiap hari atau seorang doktor yang sentiasa mengemas kini pengetahuannya, pelabur yang berjaya juga mempunyai rutin yang membantu mereka memahami keadaan pasaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Mereka tidak bangun pada waktu pagi lalu terus membuka aplikasi dagangan untuk membeli saham. Sebaliknya, mereka meluangkan masa meneliti perkembangan ekonomi, memahami sentimen pasaran dan menilai faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pelaburan mereka.

Persoalannya, apakah rutin harian yang boleh diamalkan oleh setiap pelabur, tidak kira sama ada anda seorang pelabur baharu mahupun berpengalaman?

Mengapa Rutin Sangat Penting Dalam Pelaburan?

Dalam dunia pelaburan, maklumat berubah setiap hari. Keputusan bank pusat, laporan kewangan syarikat, perubahan harga komoditi, pergerakan mata wang dan perkembangan geopolitik semuanya boleh memberi kesan kepada pasaran saham. Jika seorang pelabur hanya melihat harga saham tanpa memahami apa yang sedang berlaku di sebaliknya, keputusan yang dibuat mungkin dipengaruhi emosi dan bukannya fakta.

Rutin harian membantu pelabur:

  • memahami sentimen pasaran,
  • mengenal pasti peluang,
  • mengurus risiko dengan lebih baik,
  • dan membuat keputusan berdasarkan analisis, bukannya spekulasi.

Lebih penting, rutin menjadikan pelaburan satu proses yang tersusun dan bukannya aktiviti yang bergantung kepada nasib.

1. Semak Prestasi Pasaran Amerika Syarikat

Sebelum pasaran Bursa Malaysia dibuka, ramai pelabur profesional akan melihat bagaimana pasaran saham Amerika Syarikat ditutup pada malam sebelumnya.

Ini kerana Amerika Syarikat merupakan ekonomi terbesar dunia dan prestasi pasarannya sering mempengaruhi sentimen pasaran global. Pergerakan indeks utama seperti S&P 500, Dow Jones Industrial Average dan Nasdaq Composite sering dijadikan petunjuk awal terhadap sentimen pelabur di seluruh dunia.

Selain itu, ramai pelabur turut memantau Indeks VIX, yang sering digelar sebagai “indeks ketakutan”. Apabila VIX meningkat dengan ketara, ia biasanya menunjukkan tahap kebimbangan pelabur terhadap pasaran juga meningkat.

Contoh Situasi

Bayangkan indeks Nasdaq jatuh hampir 3% disebabkan laporan pendapatan syarikat teknologi utama yang mengecewakan. Keesokan paginya, saham-saham teknologi di Asia, termasuk Bursa Malaysia, mungkin menerima tekanan jualan kerana sentimen negatif tersebut. Dengan mengetahui keadaan ini lebih awal, pelabur boleh membuat persediaan sebelum pasaran dibuka.

2. Pantau Pergerakan Harga Komoditi Dunia

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai ekonomi berkait rapat dengan komoditi seperti minyak mentah, minyak sawit mentah (CPO) dan gas asli. Perubahan harga komoditi ini boleh memberi kesan kepada prestasi syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Sebagai contoh:

  • Harga minyak mentah memberi kesan kepada syarikat sektor minyak dan gas.
  • Harga minyak sawit mempengaruhi syarikat perladangan.
  • Harga logam seperti emas dan tembaga pula memberi kesan kepada syarikat perlombongan serta industri berkaitan.

Jika harga minyak mentah dunia meningkat selepas berlakunya gangguan bekalan global, syarikat minyak dan gas mungkin menerima sentimen positif. Sebaliknya, kejatuhan harga komoditi boleh memberi tekanan kepada keuntungan syarikat dalam sektor tersebut.

3. Perhatikan Pergerakan Nilai Ringgit

Ramai pelabur memberi tumpuan kepada harga saham, tetapi kurang mengambil berat tentang pergerakan mata wang. Hakikatnya, perubahan nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat boleh memberi kesan kepada prestasi syarikat.

Sebagai contoh:

  • Syarikat pengeksport mungkin mendapat manfaat apabila Ringgit lemah kerana hasil jualan dalam dolar menjadi lebih tinggi apabila ditukar kepada Ringgit.
  • Sebaliknya, syarikat yang banyak mengimport bahan mentah mungkin berdepan peningkatan kos.

Oleh itu, memahami pergerakan kadar pertukaran membantu pelabur menilai sektor mana yang berpotensi menerima manfaat atau menghadapi cabaran.

4. Ikuti Berita Ekonomi dan Korporat Terkini

Setiap hari pasti ada berita baharu yang boleh mempengaruhi pasaran.

Antara berita yang wajar diberi perhatian ialah:

  • keputusan kadar faedah,
  • inflasi,
  • pertumbuhan ekonomi,
  • laporan pendapatan syarikat,
  • penggabungan atau pengambilalihan,
  • projek kerajaan,
  • dan perkembangan geopolitik.

Pelabur yang berjaya tidak membaca semua berita. Mereka memilih berita yang benar-benar memberi kesan kepada syarikat atau sektor yang sedang dipantau. Sebagai contoh, jika kerajaan mengumumkan projek infrastruktur berskala besar, syarikat pembinaan, bahan binaan dan kejuruteraan mungkin menerima perhatian pelabur.

Begitu juga apabila sesebuah syarikat mengumumkan keputusan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan, harga sahamnya mungkin bertindak balas secara positif. Pendekatan ini sering digunakan dalam analisis Top-Down, iaitu bermula dengan memahami keadaan ekonomi sebelum memilih sektor dan syarikat yang berpotensi.

5. Lihat Gambaran Keseluruhan Pasaran

Pelabur yang berpengalaman tidak hanya melihat satu atau dua saham. Mereka mahu mengetahui gambaran keseluruhan pasaran.

Antara alat yang sering digunakan ialah peta pasaran (market heatmap) seperti Finviz bagi pasaran Amerika Syarikat. Heatmap memaparkan prestasi saham mengikut sektor dalam bentuk visual, membolehkan pelabur mengenal pasti sektor yang sedang mengukuh atau melemah dengan lebih pantas.

Walaupun Finviz memfokuskan pasaran Amerika Syarikat, konsep yang sama boleh diaplikasikan di Bursa Malaysia dengan memantau prestasi sektor-sektor utama seperti:

  • Teknologi
  • Perbankan
  • Pembinaan
  • Utiliti
  • Hartanah
  • Penjagaan Kesihatan
  • Perladangan
  • Tenaga

Daripada hanya melihat satu saham, pelabur akan memahami arah keseluruhan pasaran.

Jadikan Rutin Ini Sebahagian Daripada Disiplin Pelaburan

Rutin ini mungkin kelihatan mudah. Namun yang membezakan pelabur berjaya dengan pelabur biasa ialah konsistensi. Mereka tidak hanya membuat semakan apabila pasaran sedang rancak. Mereka melakukannya setiap hari.

Lama-kelamaan, mereka menjadi lebih peka terhadap hubungan antara ekonomi, sentimen pasaran dan prestasi saham. Inilah yang membantu mereka membuat keputusan yang lebih matang.

Contoh Rutin Seorang Pelabur

Bayangkan Amir seorang pekerja pejabat.

Sebelum keluar bekerja, beliau meluangkan sekitar 20 minit setiap pagi untuk:

  • melihat prestasi pasaran Amerika Syarikat,
  • menyemak harga minyak mentah dan minyak sawit,
  • melihat pergerakan Ringgit,
  • membaca beberapa berita ekonomi utama,
  • dan meneliti sektor yang aktif pada hari tersebut.

Walaupun rutin ini hanya mengambil masa yang singkat, ia memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan pasaran sebelum beliau membuat sebarang keputusan pelaburan.

Berbanding terus membeli saham berdasarkan cadangan di media sosial, Amir membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih menyeluruh.

Jangan Sekadar Lihat Harga Saham

Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur baharu ialah hanya melihat harga saham. Sedangkan harga saham hanyalah hasil daripada pelbagai faktor yang berlaku di sebaliknya.

Apabila kita memahami ekonomi global, harga komoditi, mata wang dan perkembangan syarikat, kita akan lebih mudah memahami mengapa sesuatu saham bergerak naik atau turun. Pelaburan yang baik bukan bermula dengan soalan “Saham apa yang patut saya beli hari ini?” Sebaliknya ia bermula dengan soalan, “Apa yang sedang berlaku dalam pasaran hari ini?”

Kesimpulan

Kejayaan dalam pelaburan saham bukan hanya bergantung kepada kebolehan memilih syarikat yang baik, tetapi juga kepada disiplin dalam membina rutin harian yang konsisten. Pelabur yang berpengalaman memahami bahawa setiap keputusan yang dibuat perlu disokong oleh maklumat yang tepat dan pemahaman terhadap keadaan pasaran semasa.

Meluangkan sedikit masa setiap hari untuk menyemak prestasi pasaran global, memantau harga komoditi, melihat pergerakan mata wang, mengikuti berita ekonomi dan memahami arah keseluruhan pasaran boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih yakin dan berasas.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pelaburan bukan perlumbaan untuk menjadi orang yang paling cepat membeli saham. Sebaliknya, ia adalah proses membina ilmu, disiplin dan kebiasaan yang baik. Rutin yang diamalkan secara konsisten hari ini mungkin menjadi faktor yang membezakan anda daripada pelabur lain pada masa hadapan.