10 Perbezaan Zakat Dan Sedekah Yang Anda Perlu Tahu

Alhamdulillah, semakin ramai yang suka menderma dan bantu-membantu di kala musim pandemik ini. Daripada pihak kerajaan sendiri, ada pelbagai inisiatif yang dijalankan bagi membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk.

Kalau diikutkan, orang susah yang memerlukan bantuan dan orang senang yang menghulurkan bantuan; mereka memerlukan satu di antara yang lain.

“Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”

Orang Malaysia memang terkenal dengan sifat suka menderma. Tapi sehingga ke hari ini, ramai yang masih keliru dengan zakat dan sedekah. Macam sama saja kan?

Untuk mendapatkan jawapannya, jom kita dapatkan pencerahan daripada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

1. Makna

Zakat daripada sudut bahasa bermaksud suci, bersih, berkembang dan subur manakala sedekah bermaksud bukti kebenaran iman pemberi sedekah. Daripada sudut istilah syarak, zakat adalah suatu ibadat wajib yang difardukan ke atas harta yang memenuhi syarat tertentu dan diagihkan kepada golongan tertentu (asnaf).

Manakala sedekah pula adalah satu bentuk pemberian yang diberi secara sukarela (bukan wajib) sebagai bantuan kepada sesama manusia untuk mencapai redha Allah. Namun demikian, jika diteliti dalam Al-Quran turut menggunakan perkataan sedekah yang membawa maksud zakat yang wajib. Oleh itu, sedekah adalah umum manakala zakat adalah khusus.

Secara ringkasnya, semua zakat adalah sedekah tetapi tidak semestinya sedekah itu dianggap sebagai zakat.

2. Syarat Harta

Zakat diwajibkan ke atas harta tertentu seperti yang telah digariskan oleh syarak merangkumi mata wang emas dan perak, haiwan ternakan, hasil pertanian, perniagaan dan hasil galian.

Manakala sedekah pula tidak disyaratkan untuk dikeluarkan ke atas harta tertentu. Secara umumnya, mereka yang mempunyai lebihan dalam apa jua bentuk harta yang halal boleh disedekahkan.

3. Syarat Kadar Dan Masa

Zakat adalah diwajibkan setelah memenuhi syarat haul (cukup setahun) dan juga mencapai nisab (kadar minima kenaan zakat).

Sedekah pula tidak terikat kepada sebarang syarat haul mahupun nisab.

Oleh yang demikian, orang yang dianggap sebagai asnaf zakat juga boleh bersedekah secara sukarela.

4. Penerima

Zakat diwajibkan untuk diagih kepada asnaf seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Surah Al-Taubah ayat 60.

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

– (Surah Al-Taubah Ayat 60)

Dalam konteks negara Malaysia, kategori asnaf ini telah diperincikan oleh pihak berkuasa atau majlis agama Islam negeri-negeri.

Sedekah pula tidak dihadkan kepada golongan asnaf, bahkan orang kaya juga boleh menerima sedekah.

5. Kewajipan Setelah Mati

Zakat yang tertunggak wajib dibayar oleh waris si mati melalui harta warisan yang ditinggalkannya. Bahkan ia perlulah didahulukan berbanding hutang kepada manusia kerana ia melibatkan hak Allah dan fakir miskin.

Akan tetapi sedekah tidak wajib ditunaikan melainkan jika si mati ada mewasiatkan secara khusus.

6. Ancaman

Mereka yang enggan dan ingkar untuk menunaikan zakat diancam dengan azab seksaan yang berat. Begitu juga di dunia dan dalam konteks perundangan negara, mereka yang enggan membayar zakat boleh dihukum dengan hukuman ta’zir (denda dan seumpamanya) kerana ia adalah kewajipan dan rukun Islam yang perlu didirikan.

Sebaliknya, mereka yang enggan bersedekah tidaklah diancam dengan hukuman di dunia mahupun azab seksa di akhirat. Tetapi ianya adalah ancaman umum jika mereka bersifat bakhil terhadap harta.

7. Pemberian Kepada Tanggungan

Zakat tidak dibenarkan untuk diberi kepada ahli nafkah (tanggungan wajib) yang terdiri daripada usul dan furu’ (jalur ibu, bapa, anak- anak dan cucu) menurut majoriti ulama.

Bagi sedekah pula, ianya tidak dilarang untuk diberikan kepada golongan ini (usul dan furu’). Jadi bolehlah nak sedekah kepada sesiapa saja.

8. Pemberian Kepada Orang Bukan Muslim

Zakat tidak harus diberikan kepada bukan muslim, manakala sedekah diharuskan sepertimana kefahaman umum firman Allah dalam Surah Al-Insaan ayat 8.

“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,”
– (Surah Al-Insaan Ayat 8)

9. Pembahagian Kategori

Zakat terbahagi kepada zakat fitrah dan zakat harta.

Manakala sedekah adalah kalimat umum yang merangkumi semua perbuatan baik yang dilakukan sebagai pemeliharaan hubungan sesama manusia untuk meraih redha Allah.

Oleh itu, sedekah sepertimana yang disebut dalam hadis tidak terhad daripada sudut pemberian harta sahaja. Tetapi ia juga merangkumi perbuatan, perkataan dan tingkah laku yang baik dan bermanfaat.

10. Penunaian Kewajipan

Zakat hendaklah ditunaikan kepada pemerintah atau ulil amri dalam sesebuah kawasan. Hal ini adalah berpandukan kepada dalil al-Qur’an dan praktis Rasulullah SAW serta khalifah yang mengutip zakat dari umat Islam. Dalam konteks Malaysia, zakat hendaklah ditunaikan kepada agensi mengurus zakat menurut negeri-negeri berdasarkan peruntukan perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.

Justeru, penunaian kewajipan zakat perlu memenuhi syarat qada’an (perundangan) dan diyanatan (hukum syarak).

Sedekah pula tidak disyaratkan untuk dibayar kepada pemerintah.

Jom Sertai Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB)

Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini melancarkan Skim Potongan Zakat Bulanan atau lebih dikenali sebagai Skim PZB.

Sama ada anda pekerja sektor swasta atau kerajaan, anda kini boleh berzakat melalui potongan gaji. Pembayaran zakat dapat dilaksanakan dengan pantas, mudah dan selamat secara tetap setiap bulan.

Cara untuk menyertai Skim PZB ini adalah cukup mudah. Anda boleh ke laman web https://ptg.zakat.com.my/ dan ikut saja langkah-langkah untuk mengisi Borang Potongan Gaji Online.

Atau anda juga boleh melakukannya secara manual dengan pergi ke mana-mana kaunter PPZ-MAIWP yang berhampiran, atau hubungi bahagian sumber manusia majikan anda.

Yang lagi bestnya, ada promosi hebat yang berlangsung dari Julai – Disember 2021. Sambil berzakat, anda juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti komputer riba, tablet dan bermacam-macam lagi.

Sesuai dengan tagline PPZ iaitu “Sikit Dikongsi, Banyak Disyukuri”.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.”

(Surah Ibrahim Ayat 7)

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini, boleh emel ke [email protected], hubungi talian zakat di 1300-88-5757 atau layari laman web www.zakat.com.my.

Jom kita mulakan Skim PZB hari ini juga!

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.