UOB Malaysia Permudah FDI Ke Sektor Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Digital, Ekopelancongan Dan Agroteknologi Sarawak

Kuala Lumpur, Malaysia, 21 Julai 2022 – UOB Malaysia bersedia mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak sejajar dengan usaha syarikat-syarikat antarabangsa mencari peluang melabur dalam sektor-sektor bernilai tinggi di negeri itu.

Bank menjangka bahawa lebih banyak syarikat multinasional, terutamanya dari industri pembuatan, perdagangan, teknologi, makanan dan pertanian, akan melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, ekopelancongan dan agroteknologi Sarawak. Syarikat-syarikat ini, terutamanya syarikat multinasional dari Greater China, Korea, Jepun dan yang berpangkalan di Singapura, berminat untuk memanfaatkan infrastruktur pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak yang menjimatkan kos sebagai sebahagian daripada pengembangan mereka di Asia Tenggara.

Dalam usaha menghubungkan pelanggannya kepada peluang perniagaan di Sarawak, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk menganjurkan misi pelaburan dan perdagangan ke negeri tersebut. Lebih 50 eksekutif tertinggi dari pelbagai sektor perniagaan Singapura, seperti tenaga, elektronik, pembuatan, perdagangan, pertanian dan pendidikan, mengambil bahagian dalam misi perdagangan empat hari ini. Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg.

Sarawak adalah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, termasuk hasil pertanian, dan juga dikenali sebagai hab tenaga boleh diperbaharui Malaysia. Ekosistem perniagaannya yang kukuh merangkumi tenaga buruh mahir, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik, dan rantaian bekalan perdagangan dan pembuatan yang teguh, merupakan tarikan utama bagi pelabur asing. Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata Sarawak adalah antara lima destinasi pelaburan utama Malaysia.

“Komitmen kerajaan Sarawak untuk mewujudkan persekitaran paling sesuai untuk pelaburan melalui polisi dan inisiatif yang mesra perniagaan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur tempatan dan asing. Sumber semula jadi negeri dan tenaga boleh diperbaharui juga merupakan tarikan besar kepada pelabur. Di samping itu, kami menjangka kemasukan Malaysia ke dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk syarikat melabur dan berdagang dengan perniagaan di Sarawak. Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyokong wawasan YAB Premier dalam mengutamakan pembangunan tenaga hijau dalam usaha menarik pelabur asing yang ingin memajukan perniagaan mereka secara mampan.”

UOB adalah bank pertama di Asia Tenggara untuk menubuhkan pasukan Penasihat FDI yang khusus. Ditubuhkan pada 2011, terdapat 10 pusat FDI khusus di seluruh Asia, termasuk Malaysia. Unit Penasihat FDI khusus ini membantu syarikat asing yang ingin melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di ASEAN. Ini termasuk perkhidmatan dan nasihat mengenai pemerbadanan syarikat, kemasukan pasaran dan rangkaian penyelesaian perbankan yang menyeluruh.

Puan Ng berkata, “Sejak penubuhan pasukan Penasihat FDI kami, kami telah membantu lebih 3,500 syarikat dari seluruh dunia dalam usaha pengembangan mereka ke Asia, termasuk Malaysia. Kesalinghubungan serantau kami dan ekosistem rakan kongsi yang kukuh di seluruh ASEAN dan Greater China disokong oleh kepakaran kami dalam beberapa sektor utama yang memacu ekonomi serantau. UOB berada pada kedudukan yang baik untuk mempermudah kemasukan syarikat global ke Malaysia selain membantu syarikat Malaysia dalam usaha pengembangan serantau mereka.”

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.