Produktiviti Akan Meningkat Dengan Waktu Kerja Lebih Pendek – Pakar Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Pakar sumber manusia memuji langkah kerajaan untuk mengurangkan waktu bekerja kepada 45 jam daripada 48 jam seminggu, seterusnya hal ini akan meningkatkan produktiviti khususnya bagi pekerja kolar biru yang juga boleh bekerja dari rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif, GKK Consultants Sdn Bhd, Dr Gajendra Balasingham berkata pengurangan waktu bekerja ini adalah situasi sama menang untuk kedua pihak.

“Sebilangan pihak mungkin mengatakan tindakan ini hanya melibatkan tiga jam sahaja namun hal tersebut adalah satu langkah dalam hala tuju yang betul.

“Menerusi proses dan sistem teratur yang dilaksanakan, waktu bekerja yang pendek benar-benar akan  membawa kepada produktiviti yang sebenarnya meningkat memandangkan pekerja berasa bersemangat dan dihargai,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

GKK Consultants ialah syarikat perundingan latihan dan pensijilan yang ditubuhkan pada 2011 serta mempunyai jangkauan merentas ASEAN serta India dan Sri Lanka.

Waktu bekerja di Malaysia akan dipendekkan mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 Sept, 2022 yang bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan memberi kelonggaran dalam waktu kerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Gajendra berkata pendekatan keseluruhan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tenaga kerja negara, dan pada masa sama, dari sudut kelebihan pula, langkah itu membolehkan majikan memanjangkan sedikit masa lapang untuk pekerja.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pekerja terpaksa bekerja keras malah kadangkala bekerja lebih beberapa jam dari rumah berbanding yang sepatutnya, sesetengah mereka juga bimbang jika kehilangan pekerjaan.

“Dalam banyak cara, pandemik COVID-19 telah membuka begitu banyak laluan baharu, kemungkinan dan pilih atur untuk bekerja dari rumah, dengan banyak kepercayaan diberikan kepada pekerja yang terus menunjukkan prestasi baik,” katanya.

Beliau berkata norma baharu dan Era Digital Disruptif telah memberi makna baharu dan fleksibiliti dari sudut waktu bekerja selain wujud alternatif hibrid untuk dipertimbangkan yang mengurangkan masa perjalanan ulang-alik ke dan dari tempat kerja.

Pekerja sudah cukup dewasa untuk diberi kepercayaan bagi menghantar tugasan apabila diperlukan dan tepat pada masanya, katanya.

Beliau berkata kadangkala majikan juga perlu mempertimbangkan keadaan pekerja dan tidak membebankan mereka secara melampau.

“Lagipun, mereka juga manusia dan mereka perlu dihargai, tunjukkan sedikit sikap ambil berat dan prihatin terhadap mereka,” katanya.

Walaupun kepercayaan diberikan untuk majikan dan pekerja menyelesaikan masalah, indeks prestasi utama dengan tugasan kerja juga perlu dipantau dan diberi ganjaran, katanya.

“Menerusi pendekatan bertolak ansur, persekitaran kerja hibrid yang seimbang akan dapat diwujudkan dan keperluan pekerja juga akan dipenuhi,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/produktiviti-akan-meningkat-dengan-waktu-kerja-lebih-pendek-pakar-sumber-manusia/

Previous ArticleNext Article

QSR Brands Tutup Sementara Lebih 100 Cawangan KFC

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, mengambil langkah proaktif menutup sementara lebih 100 daripada 770 cawangan KFC Malaysia sebagai cara menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat dan menumpukan zon perniagaan yang tinggi keterlibatannya sebagai tindak balas terhadap keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Dalam kenyataan pada Isnin, QSR Brands menjelaskan pekerja dari restoran yang terjejas diberikan peluang untuk ditempatkan semula di cawangan yang beroperasi sebagai sebahagian strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber di zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi.

Syarikat itu memaklumkan bahawa menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, mengekalkan kecintaan jenama terhadap KFC, dan melindungi pekerja adalah keutamaan bagi organisasi.

“Pekerja dari restoran yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke restoran yang lebih sibuk sebagai sebahagian usaha pengoptimuman semula oleh syarikat.

“Sebagai syarikat yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, tumpuan kekal pada menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan di samping menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan 85 peratus adalah Muslim,” jelasnya.

QSR Brands menjelaskan KFC Malaysia terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga dapat memberi balik kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami percaya rakyat Malaysia akan mengiktiraf asal usul Malaysia kami, keikhlasan serta kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

— BERNAMA