Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara: Semak Dahulu Sebelum Disekat

Pengenalan

Merujuk kepada Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967, dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) adalah diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan. Tindakan menghalang seseorang atau individu ke luar negara ini dinamakan Sekatan Perjalanan

Justeru kewujudannya dianggap sebagai sebuah keadilan dalam konteks percukaian bagi pembayar cukai yang patuh yang selama ini tanpa gagal membayar cukai kepada negara. Buat golongan yang culas serta ingkar dalam melaksanakan tanggungjawab membayar cukai pula, sekatan perjalanan ini merupakan salah satu kaedah pemungutan cukai selain mengelakkan ketirisan terhadap kutipan hasil negara.

Syarat-Syarat Pengenaan Tindakan Sekatan Perjalanan

Sekatan perjalanan boleh dikuatkuasakan dalam keadaan berikut:

  1. Pembayar cukai merupakan warganegara Malaysia dan warga asing yang berkemungkinan akan meninggalkan/keluar dari Malaysia tanpa membayar cukai mereka.
  2. Seorang pengarah syarikat yang berkemungkinan akan meninggalkan/keluar dari Malaysia tanpa membayar cukai syarikat yang mana dia bertanggungjawab membayar di bawah seksyen 75A ACP 1967/subperenggan 5(1A) dan 5(4) Jadual 1 Akta CKHT 1976
  3. Pembayar cukai yang telah memfailkan Borang Q dan membuat permohonan untuk semakan kehakiman (judicial review) kecuali dalam kes yang mana perintah penangguhan prosiding (stay of proceeding) telah dikeluarkan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.
  4. Pembayar cukai yang akan dan telah didakwa bagi kesalahan sivil bagi tujuan kutipan cukai.

Sekatan perjalanan ini tidak boleh dikuatkuasakan terhadap pembayar cukai yang telah diberi kebenaran untuk pembayaran secara ansuran dan mematuhi jadual yang dipersetujui. Bagi mengelakkan timbul kesulitan terutamanya di lapangan terbang atau pintu ke luar negara, pembayar cukai dinasihatkan menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/

Langkah-Langkah Sekiranya Dikenakan Tindakan Sekatan Perjalanan

  1. Mengemukakan Permohonan Pembatalan Sekatan Melalui Pembayaran Penuh Amaun Tunggakan Cukai

Untuk membatalkan sekatan perjalanan, pembayar cukai mesti membayar sepenuhnya jumlah tunggakan cukai seperti yang dinyatakan dalam sijil secara tunai. Mereka dikehendaki menggunakan platform ByrHASIL  atau mana-mana Keadah Bayaran lain seperti yang dinyatakan dan mengemukakan resit pembayaran tersebut kepada cawangan HASiL terdekat yang mengendalikan fail cukai mereka untuk pembatalan tersebut.

Sebagai makluman, resit pembayaran hendaklah dikemukakan 7 hari sebelum tarikh perjalanan untuk mengelakkan sebarang kelewatan pemprosesan pembatalan sekatan. Satu surat rasmi pembatalan sekatan perjalanan akan dikeluarkan oleh HASiL sebagai rujukan pembayar cukai. HASiL juga akan mengemaskini maklumat pembatalan dan pelepasan ke Jabatan Imigresen Malaysia.

Oleh yang demikian, jika pembayar cukai bercadang untuk ke luar negara misalnya untuk bercuti atau perjalanan perniagaan, mereka harus memastikan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai yang terhutang kepada kerajaan atau tindakan sekatan perjalanan dikenakan terhadap mereka.

2. Mengemukakan Permohonan Pelepasan Sementara Sekatan Perjalanan Melalui Pembayaran 50% Daripada Amaun Tunggakan Cukai

Namun begitu,terdapat beberapa kes pembayar cukai tidak dapat membayar sepenuhnya tunggakan cukai mereka, oleh itu bagi kes sedemikian, mereka masih boleh memohon pelepasan perjalanan sementara berdasarkan kepada syarat-syarat berikut:

  • Pembayar cukai atau wakil perlu hadir ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail pembayar cukai sekurang-kurangnya 5 hari sebelum tarikh perjalanan.
  • Mengemukakan surat permohonan yang merangkumi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh lawatan.
  • Membuat pembayaran sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah cukai tertunggak seperti di dalam sijil sekatan. Mereka boleh merujuk kaedah pembayaran seperti di atas.

Surat rasmi pelepasan sementara akan dikeluarkan dengan menyatakan tempoh pelepasan sementara diberikan dan HASiL akan mengemaskini maklumat pembatalan dan pelepasan ke Jabatan Imigresen Malaysia.

Kewajaran Tindakan Sekatan Perjalanan Dilaksanakan Di Malaysia

Tindakan pengenaan sekatan perjalanan ke luar negara jika dilihat dari sudut negatif sememangnya akan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang menganggap ia sebagai salah satu pencabulan hak manusia untuk bergerak bebas seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan. Namun kita hendaklah melihat penguatkuasaan sekatan perjalanan ini dari sudut yang positif. Seperti di awal penerangan, pengenaan tindakan sekatan perjalanan ini dikuatkuasakan bagi menghalang mana-mana individu yang gagal atau culas membayar cukai kepada kerajaan dari ke luar negara.

Pengenaan tindakan ini merupakan suatu tindakan berbentuk keadilan kepada golongan yang patuh dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Adalah tidak adil jika golongan yang gagal serta culas ini diberikan hak kebebasan untuk keluar melancong ke luar negara tanpa dahulu menjelaskan cukai kepada negara. Mereka seharusnya terlebih dahulu membantu menjana pendapatan negara melalui pembayaran cukai sebelum membelanjakan selebihnya kepada negara luar.

Pengenaan tindakan sekatan perjalanan ini juga merupakan salah satu daripada elemen pendidikan cukai yang membantu pembayar cukai supaya sentiasa memastikan agar rekod percukaian mereka sentiasa dikemas kini serta teratur. Penguatkuasaannya juga dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia yang memperlihatkan wujudnya elemen kesedaran membayar cukai sebelum mereka merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara. Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan” sememangnya tepat untuk digambarkan bagi situasi ini apabila pembayar cukai perlu menyemak dahulu status sekatan perjalanan sebelum apa-apa tindakan dilaksanakan.

Bagi mereka yang ingin ke luar negara bagi urusan keagamaan misalnya bagi tujuan umrah dan haji atau sebarang urusan keagamaan bagi agama lain, sudah semestinya mereka ingin ke luar negara dengan hati yang tenang semasa melaksanakan urusan tersebut. Justeru itu, penglibatan aktif para operator serta pengendali umrah dan haji amat-amat diperlukan bagi menasihati para jemaah untuk membuat semakan dahulu tunggakan cukai mereka serta menyelesaikannya sebelum tempahan slot diberikan kepada mereka.

Kesimpulannya, tindakan pengenaan sekatan perjalanan ini bukanlah bertujuan untuk menafikan hak sesiapa untuk bergerak, namun ia dilaksanakan sebagai salah satu medium memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh sekali gus untuk menjamin tidak berlaku ketirisan hasil negara.  Ia juga sebagai langkah untuk melahirkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab yang berkongsi kemakmuran mereka dalam usaha secara bersama-sama membangunkan negara.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.