Malaysia Dijangka Laksana Kaedah Percukaian Dua Tonggak Pada 2024 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan “pendekatan dua tonggak” dalam percukaian untuk mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pendekatan itu, yang turut mencegah pengelakan cukai rentas sempadan sedang dikaji pada masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024, katanya dalam ucap tama pada Mesyuarat Tahunan ke-51 Kumpulan Kajian Mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia Pasifik (SGATAR) 2022 di sini hari ini.

Pendekatan dua tonggak itu berpandukan kepada inisiatif Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 2.0 oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan G20.

Tengku Zafrul berkata kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sistem invois elektronik (e-invois) secara berperingkat mulai tahun depan untuk meningkatkan kecekapan sistem cukai kerajaan.

“Pelaksanaan e-invois ini akan turut membantu pelaksanaan ekosistem perniagaan elektronik yang mampan dan menyediakan jejak audit lebih dipercayai, sekali gus meningkatan ketelusan cukai, dan dilihat sebagai antara strategi utama untuk menaikkan hasil cukai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, ini akan melengkapkan satu daripada sasaran kerajaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu mendigitalkan 90 peratus daripada operasi PKS menjelang 2025.

“Pelaksanaan e-invois juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai yang wajib dilaksanakan untuk semua dokumen dan instrumen.

“Ini akan menjadi satu langkah untuk meluaskan kutipan cukai pendapatan, memastikan sumber hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan itu juga konsisten dengan laporan OECD mengenai pengenalan diri digital pembayar cukai yang memperakui ciri tersebut sebagai antara elemen teras bagi pengurusan cukai secara lancar pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata e-invois tersebut akan memperketat ketirisan dalam sistem percukaian dan persiapan bagi pelaksanaannya akan dilaksanakan pada 2023.

“Kita juga berhasrat untuk menjalankan projek rintis yang berkemungkinan pada 2024,” katanya kepada pemberita di luar acara itu.

Beliau berkata, SGATAR telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan satu platform untuk meningkatkan prestasi pentadbiran cukai di rantau Asia Pasifik dengan menggalakkan kerjasama serta komunikasi dalam kalangan anggota pentadbir cukai.

“Kali ini, ketua-ketua delegasi ini akan menumpukan tiga aspek perbincangan iaitu menangani cabaran baharu dalam pentadbiran cukai dengan fokus merangkumi sumber manusia dan struktur organisasi; meningkatkan pematuhan secara sukarela serta perkembangan baharu dalam pembangunan pentadbiran cukai serta kemas kini berkaitan pembaharuan cukai,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-dijangka-laksana-kaedah-percukaian-dua-tonggak-pada-2024-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings