TM Cadang Penyusunan Semula Dalaman Gabungkan Perniagaan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mencadangkan penyusunan semula di peringkat dalaman yang melibatkan pemindahan perniagaannya di Malaysia kepada entiti operasi tunggal yang dinamakan sebagai TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya penyusunan semula itu dijangka selesai pada 31 Dis 2023.

TM berkata 11 anak syarikat yang terlibat ialah Cybermall Sdn Bhd, Mobikom Sdn Bhd, Telekom Applied Business Sdn Bhd, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Telekom Multi-Media Sdn Bhd, Telekom Sales and Services Sdn Bhd, Telekom Technology Sdn Bhd, TM Info-Media Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, VADS Bhd, dan VADS Lyfe Sdn Bhd.

Menurutnya, di bawah perjanjian penggabungan bersyarat itu, semua aset dan liabiliti dikenal pasti akan dipindahkan dan diberikan hak kepada TM Tech berkuat kuasa pada dan mulai 1 Mac 2023, atau tarikh yang mungkin dipersetujui bersama oleh pemindah dan TM Tech serta seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

TM berkata, sebagai sebahagian daripada cadangan penyusunan semula dalaman itu, pemindah terpilih akan dibubarkan pada 31 Dis 2023 melainkan TM dan VADS yang tidak akan dibubarkan.

Menurutnya, harga belian perlu dibayar untuk pemindahan dan pemberian hak bagi aset dan liabiliti dikenal pasti oleh pemindah kepada TM Tech adalah jumlah nilai buku bagi aset yang dikenal pasti ditolak dengan jumlah nilai buku bagi liabiliti yang dikenal pasti ketika perniagaan pemindah ditutup pada hari terakhir perniagaan sebelum tarikh pemberian hak.

TM dalam satu kenyataan berkata penyusunan semula itu yang melibatkan Unifi, TM One dan TM Wholesale, antara lain menandakan fasa seterusnya transformasi kumpulan untuk tampil sebagai pengupaya digital Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan operasi, memperkemas proses serta memudahkan titik sentuh pelanggan untuk pengalaman yang lebih lancar.

“Penggabungan pelbagai perniagaan di bawah TM Tech akan mengukuhkan lagi kepimpinan konvergen mudah alih tetap TM, menawarkan jalur lebar tetap bersepadu, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital dan penyelesaian inovatif kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Imri Mokhtar, memandangkan gaya hidup digital, persaingan yang meningkat dan jangkaan pihak berkepentingan akan menambah baik industri, justeru, penggabungan perniagaan ini kepada satu entiti operasi akan membolehkan TM menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelbagai segmen pelanggan serta menyediakan keperluan pelanggan dengan lebih cepat.

“Menyatukan kesalinghubungan dan tawaran digital kami juga akan membolehkan kami memilih gabungan penyelesaian yang sesuai untuk memenuhi keperluan unik gaya hidup individu dan perniagaan.

“Selain itu, penyusunan semula ini meletakkan kami kepada amalan terbaik industri dan akan meningkatkan kelebihan daya saing TM dalam kalangan syarikat telekomunikasi Malaysia dan antarabangsa serta peserta digital berikutan kami terus memburu aspirasi untuk muncul sebagai syarikat teknologi berpaksikan manusia,” katanya.

Menurut TM, menerusi TM Tech, pelanggan akan terus menikmati kesalinghubungan dan kandungan digital semua dalam satu yang terpantas dan meluas manakala perusahaan dan sektor awam akan menerima manfaat daripada penyelesaian pintar dan digital TM termasuk pusat data dan awan, keselamatan siber serta tawaran industri pintar.

Entiti pengoperasian ini juga akan terus memperjuangkan usaha pembangunan negara TM dalam memperluas dan memodenkan rangkaian fiber negara, pusat data dan sistem kabel dasar laut, katanya.

TM Tech akan diketuai oleh pasukan pengurusan kanan TM yang sedia ada dan akan menghimpunkan pelbagai bakat di bawah satu syarikat, mendorong ketangkasan yang lebih baik dan kerjasama merentas fungsi untuk menambah baik kualiti perkhidmatan.

“Kakitangan TM akan kekal sebagai enjin pelaksanaan bagi TM dan transformasi digital negara. Walaupun tenaga kerja kami akan disusun semula kepada entiti operasi tunggal ini, peranan pekerja, kelayakan dan manfaat yang diberikan adalah tidak berubah,” kata Imri.

TM berkata semua perjanjian perkongsian, vendor dan perkhidmatan TM akan kekal seperti biasa

“Kini, Telekom Malaysia Bhd akan berfungsi sebagai syarikat pemegang pelaburan bagi entiti operasi ini dengan semua anak syarikat dalam kumpulan akan kekal status quo (dalam kedudukan asal).

“Di luar pertumbuhan TM, penyusunan semula ini mengukuhkan lagi peranan kami untuk meningkatkan transformasi digital negara dan memberikan perkhidmatan lebih kukuh kepada pelanggan.

“Walaupun ia menandakan kejayaan penting baharu dalam transformasi kami yang berterusan, kami akan tetap berpegang teguh kepada matlamat untuk membolehkan keterangkuman digital, peluang dan kemajuan untuk semua,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Telekom Malaysia, TM Tech, penyusunan semula dalaman, Unifi, telekomunikasi, Imri Mokhtar

Previous ArticleNext Article

Telekomunikasi: Sektor Pelaburan Yang Lebih Selamat

Saham Pilihan Utama: Telekom Malaysia (TM)

Sikap pengelakan risiko yang semakin meninggi sudah menyebabkan sebahagian pelabur beralih arah kepada sektor ini yang mempunyai tarikan perolehan berteraskan pasaran domestik dan kadar pulangan dividen yang menarik (kira-kira 4%). Penilaian sektor berada hampir pada -2SD daripada purata EV/EBITDA lampau dan hal ini wajar berikutan aspek ketidaktentuan membabitkan 5G/Digital Nasional (DNB) dan persaingan yang sengit. Kami menyukai syarikat talian tetap/bersepadu disebabkan oleh prospek pertumbuhan lebih kukuh dan faktor-faktor pemangkin jangka panjang. Risiko utama: Persaingan, keputusan perolehan tersasar, kekangan kawal selia, dan dividen lebih rendah daripada jangkaan. Saranan NEUTRAL dikekalkan.

Pertumbuhan industri sederhana pada 2026; segmen talian tetap menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh

Mengikut bayangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk tahun 2026, pertumbuhan hasil industri akan terus sederhana (pertumbuhan mencecah digit tunggal rendah) dengan EBIT bergerak seiring dengan pertumbuhan hasil. Persaingan masih sengit dengan tekanan berterusan berlaku pada hasil data. Walaupun begitu, usaha-usaha penetapan semula harga tertentu dalam segmen jalur lebar gentian optik (FBB) dan segmen mudah alih pada 4Q25/YTD wajar diberikan perhatian dan mungkin menjadi tanda-tanda awal sebelum pengukuhan harga. Segmen-segmen FBB dan borong sepatutnya terus menjadi pendorong pertumbuhan utama kepada pemain-pemain talian tetap yang mencatat hasil gentian optik angkut balik domestik yang lebih kukuh (khususnya TM) dan jualan kabel dasar laut (hak milik tak boleh disangkal (IRU).

Kami mendapati kunci kira-kira yang kukuh oleh TM dan Time dotCom (TDC) berpotensi meningkatkan dividen

TDC menyasarkan hutang bersih/EBITDA untuk mencecah 1-1.5x sepanjang 2-3 tahun berikutnya (FY25: tunai bersih) dengan semakan dasar DPR sebanyak 50-75% (berikutan perolehan normal) berbanding “sehingga 50%” sebelum ini. DPR 69% yang tertinggi pernah direkodkan oleh TM pada FY25 memberikan isyarat bahawa akan adanya semakan pada dasar DPR yang sudah diguna pakai selama berdekad (40-60% PATAMI keseluruhan), yang kami fikir mungkin akan diumumkan semasa keputusan 1Q25-nya pada Mei. Kami diberitahu bahawa TM berhasrat untuk membiayai capex jangka lebih panjang daripada pinjaman tambahan (hutang bersih/EBITDA FY25: 0.4x), sekali gus melepaskan tunai yang dijana secara dalaman untuk pengagihan dividen kelak.

Perakaunan ekuiti DNB menunggu syarat-syarat duluan (CP) dipenuhi

Walaupun tiga MNO setiap satunya sudah membuat bayaran MYR327.8j kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan opsyen jual, perakaunan ekuiti kerugian DNB masih menunggu beberapa CP untuk dipenuhi menjelang 1H26. Ramalan kami untuk Maxis dan CelcomDigi (CDB) masih lagi belum mengambil kira DNB (yang asalnya dianggarkan memberikan kesan 7-9% pada perolehan teras FY26). Pasukan pengurusan CDB sebelum ini menyatakan bahawa pencairan daripada kerugian DNB akan mencecah bawah 5% (dari 2H26) kerana usaha penjimatan kos operasi berjaya mengurangkan kerugian dengan ketaranya.

Dapatkah TM melepaskan dirinya daripada situasi sukar ini?

TM dan DNB berada dalam pertikaian berhubung perjanjian borong 5G yang ditandatangani mereka pada tahun 2022. Kes asas kami adalah untuk TM meneruskan pengaturan borong itu sehingga tahun 2032. Hal ini juga menjadi kes senario terburuk kerana bergantung pada tafsiran DNB, perjanjian ini boleh terus mengikut TM dari segi undang-undang. Dalam senario kes terbaik, TM dapat keluar daripada DNB menjelang akhir tahun ini, lalu membolehkan ia beralih kepada rangkaian 5G U Mobile dengan dikenakan denda. Satu lagi pilihan yang ada ialah TM meneruskan pengaturan borong tersebut sehingga FY27. Pada pandangan kami, peralihan kepada perjanjian rangkaian teras pelbagai pengendali (MOCN) bersama dengan U Mobile lebih masuk akal kerana asas 5G TM adalah jauh lebih kecil daripada pesaing lain, sekali gus memberikan TM penjimatan dari segi kos borong dan langsung.

Penganalisis
Jeffrey Tan +603 2302 8112 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.