Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Jika Berniat Membeli Rumah Lelong

Tidak dinafikan, masih ramai yang mencari rumah lelong untuk dibeli sebagai rumah pertama. Tapi bagaimana nak terlibat dan bermula?

10 Langkah Yang Perlu Diambil Untuk Menyertai Pembidaan Rumah Lelong

1. Kenal pasti rumah yang bakal dibeli – Anda boleh kenal pasti rumah-rumah yang dilelong di platform-platform seperti lelongtips, auctionlist. Selain itu, maklumat-maklumat ini juga diiklankan di akhbar.

2. Buat kajian mengenai rumah tersebut – Dapatkan pengisytiharan jualan (POS), dan dapatkan carian hakmilik rumah tersebut. Ini akan membantu anda untuk mengetahui lokasi serta ciri-ciri rumah yang akan dilelong itu.

3. Periksa rumah yang bakal dilelong – Jangan hanya bergantung kepada huraian pada iklan sahaja! Pergi ke lokasi rumah yang bakal dilelong supaya anda mengetahui keadaan persekitaran di sana.

4. Hubungi pelelong dan ejen jualan untuk mendapatkan maklumat tambahan yang tidak terkandung dalam huraian dan iklan.

5. Sediakan draf bank dengan jumlah lebih kurang 10% dari harga bidaan.

6. Daftarkan diri untuk hari lelongan dan dapatkan terma dan syarat jualan dari pelelong. Kad bidaan dengan nombor akan diberi sebagai tanda pengenalan sewaktu proses lelongan.

7. Baca terma dan syarat proses lelongan, dan dapatkan pengesahan dari pelelong sekiranya ada maklumat yang tidak jelas sebelum lelongan bermula.

8. Bidaan bermula sebaik sahaja pelelong membuat pengumuman. Pembida akan menggunakan kad mereka untuk membida (proses bidaan ini mungkin berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain).

9. Pembida yang berjaya ialah pembida dengan harga tertinggi sewaktu proses pembidaan. Apabila pelelong mengetuk mallet, rumah tersebut berjaya dijual.

10. Tandatangani kontrak jualan, dan kemudian pembida akan menerima kontrak yang telah dicap selepas semua proses berjalan. Hubungi bank untuk proses pembiayaan.

Senarai Semak Sebelum Membeli Rumah yang Dilelong

Banyak kelebihannya membeli rumah yang dilelong, antaranya harga yang lebih murah, pembelian rumah lelong juga mempunyai risikonya. Jika anda merancang untuk membeli rumah yang dilelong, berikut merupakan senarai semak perkara-perkara yang perlu anda beri perhatian.

Membeli rumah mungkin sesuatu yang anda lakukan sekali seumur hidup. Jadi, pastikan anda lakukan 4 perkara ini terlebih dahulu untuk memastikan proses pembelian berjalan lancar.

1. Periksa Keadaan Rumah

Salah satu risiko terbesar rumah yang dilelong ialah pembida tidak dapat mengetahui susun atur dalaman rumah tersebut. Jadi, pembida mungkin tidak mengetahui keadaan rumah yang bakal dibida.

Ini amat penting, atau anda mungkin akan berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka, seperti ini: seorang lelaki telah menemui mayat yang telah dipotong kepada 11 bahagian di dalam peti sejuk di rumah yang dibelinya secara lelong di Mont Kiara.

Pemeriksaan dan kajian mendalam terhadap rumah yang bakal dibeli merupakan suatu yang amat penting. Walaupun anda mungkin tidak dapat melihat susun atur dalaman rumah, masih ada lagi faktor-faktor lain yang anda boleh beri perhatian sebelum membida rumah tersebut.

Contohnya, lokasi rumah (sama ada di simpang jalan yang sibuk, berdekatan dengan pencawang elektrik, atau pusat rawatan kumbahan) serta kawasan kejiranan tersebut.

2. Kaveat

Kaveat (caveat) berasal dari bahasa Latin yang bermaksud ‘memberi amaran kepada seseorang’. Daripada sudut hartanah, kaveat merupakan langkah sementara untuk melindungi hak hartanah tersebut.

Kaveat persendirian bertujuan untuk melindungi hak individu dibawah perjanjian jual beli buat sementara waktu, dengan jangkaan tindakan undang-undang diambil selepas mendaftar kaveat tersebut. Jadi, kaveat akan menjadi penghalang kepada mana-mana proses, dari pendaftaran hinggalah ke pertukaran nama pemilik sewaktu kaveat ini berkuatkuasa.

Rumah yang dilelong berpotensi untuk memiliki kaveat persendirian. Jika hal ini berlaku, walaupun anda telah memenangi bidaan untuk membeli rumah tersebut, anda masih lagi perlu mencabar pihak ketiga (yang mendaftar kaveat persendirian).

Ini kerana kaveat persendirian hanya boleh dibatalkan oleh:-

  1. Kaveator (individu yang mendaftar kaveat)
  2. Pendaftar
  3. Perintah mahkamah
  4. Permohonan untuk membatalkan kaveat melalui perintah mahkamah boleh dibuat oleh pihak yang terganggu dengan kewujudan kaveat ini. Dalam kes ini, pembeli rumah lelong yang memiliki kaveat persendirian.
Sumber : PPJ

Selain itu, rumah lelong yang memiliki kaveat persendirian juga bermakna anda tidak boleh membiayai pembelian rumah tersebut dengan pinjaman perumahan. Hal ini demikian kerana bank tidak akan meluluskan pinjaman jika adanya kaveat persendirian didaftarkan untuk sesebuah hartanah.

Jadi, melainkan anda mampu untuk membayar dengan tunai, anda tidak dinasihati untuk membida rumah lelong yang memiliki kaveat.

Malah, walaupun anda boleh menang bidaan dan mampu membayar nilai hartanah tersebut, anda masih lagi perlu ke mahkamah untuk mendapatkan perintah ke atas pihak ketiga bagi membatalkan kaveat tersebut. Proses ini akan menelan kos serta masa yang lama.

Jadi, sebelum membida, dapatkan pengisytiharan jualan dan carian hak milik hartanah. Maklumat ini boleh didapati dari ejen bidaan, dan bakal membantu pembida dengan info tambahan, termasuklah mengenai status kaveat.

Info seperti alamat rumah juga akan membolehkan pembida untuk pergi meninjau kawasan perumahan tersebut, dan sedikit sebanyak gambaran persekitaran rumah meskipun tidak dapat masuk ke dalam rumah yang dibida.

3. Pemaju

Salah satu maklumat yang perlu anda selidik sebelum membida rumah ialah pemaju hartanah tersebut. Jika nama hartanah masih di bawah nama pemaju, pembida perlu memeriksa sama ada syarikat pemaju masih lagi wujud ataupun tidak.

Ingat, terma dan syarat kontrak pembidaan biasanya akan selalu melindungi bank. Jika pemaju muflis dan syarikatnya telah dilikuidasi, pemindahan hak milik kepada nama anda selepas memenangi bidaan bakal menjadi rumit.

4. Hak Milik Pajakan (Leasehold) VS Hak Milik Kekal (Freehold)?

Akhir sekali, ketahui juga jenis pegangan hak milik rumah lelong tersebut, sama ada hak milik pajakan (leasehold) ataupun hak milik kekal (freehold). Bagi status hak milik pajakan, semak dengan bank untuk mengetahui sama ada anda layak bagi memohon pinjaman perumahan ataupun tidak. Jika baki tempoh pajakan kurang dari 50 tahun, sesetengah bank mungkin tidak akan meluluskan permohonan pinjaman.

Malah, jika pinjaman tersebut diluluskan, ianya mungkin dikurangkan; jika anda layak untuk pinjaman 30 tahun, anda mungkin hanya menerima pinjaman 25 tahun sahaja.

Jadi, sebelum membeli rumah lelong, pastikan anda mempunyai ilmu yang cukup. Dapatkan pandangan daripada mereka yang berpengalaman.

Sumber Rujukan: Compare Hero

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Axis REIT: Pengambilalihan Kedua Tahun Ini

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR2.42 dikekalkan, potensi kenaikan harga saham sekitar 20%, dengan kadar hasil dividen 5.2% untuk FY26F

Axis REIT telah mengumumkan pengambilalihan keduanya untuk tahun 2026, iaitu sebuah perjanjian jualan dan pajakan semula bernilai MYR128j dengan City-Link Express (M) untuk sebuah pusat pengedaran di Bandar Saujana Putra, Selangor. Kami memandang agak positif akan perkara ini kerana ia masih menepati strategi REIT ini untuk memperoleh aset-aset perindustrian yang memberikan kenaikan hasil sambil menyokong sasaran pengambilalihan pihak pengurusan sebanyak kira-kira MYR350j sepanjang FY26-27.

Butiran mengenai pengambilalihan

Axis REIT mengambil alih hartanah ini dengan bayaran tunai sebanyak MYR128j (kira-kira 2% daripada jumlah aset), yang dibiayai menerusi pembiayaan bank sedia ada. Hartanah ini sekarang dihuni 100% oleh pemilik dan akan dipajak semula kepada City-Link Express untuk tempoh tetap selama 15 tahun, dengan kenaikan sewaan yang dipersetujui semasa tempoh pajakan. Pengambilalihan ini menawarkan pendapatan berulang yang stabil, dengan sokongan daripada struktur pajakan semula yang panjang dan kadar hasil kasar awal yang baik sebanyak 6.2%.

Pengambilalihan ini dijangka selesai pada 4Q26. Selepas perjanjian selesai dimeterai, paras hutang Axis REIT dijangka meningkat kepada kira-kira 35.1%, dengan ruang untuk mengambil pinjaman sekitar MYR840j lagi (berdasarkan penyata kewangan 1Q26 yang terkini).

Butiran mengenai hartanah

Aset ini terdiri daripada dua tanah komersial bersambung dengan status pegangan pajakan selama 99 tahun (baki tempoh pajakan lebih kurang 68 tahun), di samping bangunan-bangunan pusat pengedaran, blok pejabat dan fasiliti sokongan. Hartanah ini mempunyai jumlah kawasan boleh disewakan sebanyak kira-kira 355 ribu kps (sekitar 2% daripada jumlah NLA) dan terletak di Bandar Saujana Putra dengan akses kepada Rangkaian Pusat Lebuh Raya Utara Selatan E6 atau ELITE, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Pesisir Barat (WCE), dan Lebuh Raya Shah Alam atau KESAS. Hal ini menyokong kegunaannya sebagai hab logistik dan pengedaran.

Pandangan kami

Kami memandang agak positif akan perjanjian ini, dan setelah ia selesai, kami menjangka ia akan memberikan sumbangan positif mulai FY27, dengan pendapatan sewaan tahunan sekitar MYR7.9j (kira-kira 2% daripada hasil FY27). Perkara ini diterjemahkan kepada kadar hasil kasar sebanyak 6.2% sebelum mengambil kira kos pembiayaan yang berkaitan dengan pinjaman baru. Kami menjangka pengambilalihan ini secara bersihnya akan menaikkan kadar hasil semasa Axis REIT untuk FY27F sebanyak 5.3%.

Sementara itu, tempoh pajakan semula selama 15 tahun kepada pengendali sedia ada, di samping kenaikan sewaan yang termasuk dalam perjanjian, menawarkan prospek jelas untuk pendapatan dalam jangka sederhana. Walaupun ia dibiayai sepenuhnya menggunakan hutang, paras hutang Axis REIT selepas memeterai perjanjian ini masih dalam keadaan terkawal, dengan adanya kapasiti kunci kira-kira yang mencukupi untuk langkah pengambilalihan lain.

Ramalan dan penilaian

Sementara menunggu selesainya pengambilalihan ini dan bayangan lanjut daripada pihak pengurusan, kami kekalkan ramalan perolehan dan TP MYR2.42 yang diperoleh melalui kaedah DDM (dengan kiraan premium ESG 2% kerana markah REIT ini ialah 3.1), iaitu kadar dividen kira-kira 5% untuk FY26F mengikut TP. Risiko negatif: Tiada pembaharuan bagi pajakan-pajakan REIT yang tamat tempoh, kadar turun naik harga sewa yang lebih rendah daripada jangkaan, dan cadangan pengambilalihan aset terbatal.

Asas Penilaian

Model diskaun dividen (DDM)

Faktor Pemacu Utama

Permintaan lebih tinggi untuk hartanah perindustrian yang disokong oleh penembusan pasaran e-dagang yang berterusan, penstrukturan semula rantai bekalan dan kemasukan pelaburan asing langsung yang kukuh dalam segmen pembuatan.

Risiko Utama

i. Pajakan yang tamat tempoh tidak diperbaharui
ii. Kadar turun naik harga sewa yang lebih rendah berbanding jangkaan
iii. Cadangan pengambilalihan aset dibatalkan

Profil Syarikat

Axis REIT sebuah REIT yang mempunyai portfolio perniagaan pelbagai, dan berpengkhususan dalam hartanah komersial dan perindustrian.

Carta Saranan

Penganalisis
Loong Kok Wen CFA +603 2302 8116 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.