Pasaran Perumahan Terus Mantap Pada Tempoh Separuh Kedua 2022 – BNM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Aktiviti dalam pasaran perumahan bagi tempoh separuh kedua 2022 terus kukuh berikutan pemulihan kegiatan ekonomi serta keadaan guna tenaga yang bertambah baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata urus niaga pasaran hartanah terus berlegar melebihi paras sebelum pandemik bagi tempoh berkenaan dengan sebahagian besarnya didorong oleh urus niaga pembelian harta tanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Berikutan itu, trend pertumbuhan harga rumah (seperti diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia) meningkat ke arah purata jangka panjang (suku ketiga 2022: 5.1 peratus; separuh tahun pertama 2022: 2.5 peratus; purata 2015-2019: 5.3 peratus),” katanya.

Walaupun tekanan inflasi dan kos pinjaman meningkat, BNM berkata aktiviti dalam pasaran perumahan dijangka dapat mengekalkan momentum pemulihannya, disokong oleh keadaan pendapatan dan perniagaan yang beransur pulih serta langkah-langkah dasar berkaitan.

Ini termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem untuk harta tanah berharga RM500,000 dan ke bawah serta diskaun duti setem sebanyak 75 peratus bagi harta tanah berharga lebih RM500,000 hingga RM1 juta.

Bagaimanapun, kata BNM, pasaran perumahan terus menghadapi risiko pertumbuhan perlahan akibat ketidakseimbangan permintaan dan penawaran yang berterusan.

“Bilangan unit rumah tidak terjual dalam trend menurun tetapi kekal tinggi berbanding purata yang pernah dicatatkan (151,683; suku keempat 2021 (kemuncak): 183,918; purata 2015-2019: 130,210),” katanya.

Bank pusat itu berkata, ini meliputi unit siap yang tidak terjual dan unit tidak terjual dalam pembinaan (masing-masing 35.6 peratus dan 64.4 peratus daripada jumlah unit tidak terjual) bagi kediaman, pangsapuri servis dan unit pejabat kecil rumah pejabat (SOHO).

Malah, hampir dua pertiga daripada unit terbabit masih tidak terjual selepas tiga tahun dan sebahagian besarnya akibat paras harga di luar kemampuan isi rumah, terutamanya di negeri-negeri utama.

Namun begitu, kadar pengambilan yang perlahan bagi unit-unit ini dijangka tidak akan menekan kenaikan harga rumah secara material memandangkan unit-unit ini tidak banyak tertumpu di kawasan atau atau projek utama.

“Jumlah projek dengan tahap unit tidak terjual yang banyak (iaitu kadar tidak terjual melebihi 80 peratus) mencakupi hanya 10 peratus daripada jumlah projek dengan unit tidak terjual.

“Situasi ini mengurangkan risiko segolongan besar pemaju terbabit untuk menurunkan harga dengan meluas bagi mengurangkan unit tidak terjual yang boleh memberi kesan limpahan lebih ketara kepada pasaran perumahan.”

Selain itu, BNM berkata bekalan baharu harta kediaman yang baru dilancarkan terus berganjak ke arah segmen pasaran umum dengan harta tanah berharga RM300,000 dan ke bawah mencakupi bahagian lebih tinggi (44.3 peratus; 2021: 38.4 peratus; purata 2015-2019: 35.2 peratus).

Bank pusat itu menyifatkan keadaan itu sebagai perkembangan positif dalam membantu mengurangkan lagi risiko ketidakseimbangan permintaan dan penawaran.

Bagi aktiviti pembiayaan untuk pembelian hartanah kediaman, BNM berkata ia bertambah baik sejajar dengan kegiatan pasaran dan permohonan pinjaman meningkat pada separuh kedua 2022 dalam kesemua julat harga.

Menurut BNM, menerusi tingkah laku bayaran balik pinjaman yang lebih jelas, bank-bank lebih bersedia untuk meluluskan pinjaman perumahan sambil melaksanakan penilaian kemampuan pinjaman yang berhemat. 

“Hal ini telah menyebabkan kadar kelulusan keseluruhan pulih melebihi paras purata sebelum pandemik (76.4 peratus; 2021: 73.4 peratus; purata 2015-2019: 75.9 peratus),” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian UOB: Perniagaan Kekal Berdaya Tahan Pada 2026, Pengurusan Tenaga Jadi Keutamaan Strategik

Kuala Lumpur, Malaysia, 29 Jun 2026 Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada 2026, di mana pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan yang kritikal. Walaupun sentimen keseluruhan kekal positif bagi perniagaan, perusahaan yang lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian ini mendapati bahawa 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan di kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana. Walau bagaimanapun, hampir tiga daripada sepuluh PKS terus berdepan tekanan daripada perbelanjaan operasi yang meningkat, kos tenaga kerja yang tinggi, dan kenaikan kadar faedah, justeru mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Pengurusan Tenaga Menjadi Tumpuan Utama

Sebagai tindak balas terhadap turun naik kos yang berterusan, perniagaan semakin beralih kepada pengurusan tenaga sebagai cara praktikal untuk mengurus perbelanjaan. Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga adalah penting, dengan 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan pada pengurusan dan kecekapan tenaga. Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan bahawa tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan. Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan, disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada kami, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya. Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.”

UOB Malaysia telah memperkukuh sokongan pembiayaannya melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM[1], sekali gus membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi di dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran. Seiring dengan inisiatif ini, Bank kekal komited untuk menyediakan bantuan menyeluruh dan penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS dalam membina daya tahan jangka panjang serta mengharungi ketidaktentuan.

Penggunaan penyelesaian kos efektif sudah pun dilaksanakan

Kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus).

Daya Tahan Diutamakan Berbanding Pertumbuhan Pesat

Kajian ini menekankan peralihan strategik yang lebih luas di kalangan perniagaan, iaitu ke arah pelaksanaan yang dipacu daya tahan dan bukannya pertumbuhan yang agresif. Pengurusan tenaga semakin dikaitkan dengan objektif daya tahan yang lebih luas, termasuk mengekalkan kestabilan operasi, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Perniagaan yang mengamalkan kepelbagaian pembekal, pengembangan serantau, dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan kestabilan tenaga ke dalam strategi pengurusan risiko mereka. Memasuki tahun ketujuhnya, Kajian Tinjauan Perniagaan UOB kini akan dijalankan dua kali setahun dan memperkenalkan bidang tumpuan yang diperluas, menunjukkan bagaimana keadaan ekonomi dan geopolitik yang berubah dengan pantas sedang membentuk semula landskap perniagaan. Edisi 2026 merangkumi tujuh pasaran – Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Untuk mendapatkan salinan kajian dengan butiran penuh, sila layari https://www.uobgroup.com/asean-insights/articles/uob-business-outlook-study-2026-malaysia-h1.page


[1] Sila rujuk siaran akhbar UOB: UOB Malaysia enhances financing support for SMEs through BNM Stabilisation Relief Facility