MARii Komited Wujud Industri Kendreaan Elektrik Kompetitif, Mampan

KUALA LUMPUR,  23 Ogos (Bernama) — Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii) komited untuk mewujudkan industri kenderaan elektrik (EV) yang kompetitif dan mampan dengan tumpuan utama kepada pembangunan teknologi, vendor dan tenaga kerja di Malaysia. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nizmar Mohd Nazar berkata selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), MARii berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon pada 2050.

“EV adalah penyelesaian ideal bagi kenderaan mobiliti rendah karbon dan pelepasan sifar. Tambahan pula, industri EV global yang semakin pesat membangun menyediakan ruang yang besar untuk pertumbuhan, khususnya di ASEAN yang berpotensi untuk menjadi hab pembuatan dan pasaran bagi EV.

“Di Malaysia, komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan kita untuk menarik pelaburan EV dan mencapai sasaran negara iaitu 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk EV menjelang 2030 adalah bukti keazaman kita dalam membentuk masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan,” katanya dalam ucapan beliau pada pelancaran rasmi Ekspo Motor Antarabangsa Malaysia (MIME) dan International Automodified (IAM) 2023 di sini, hari ini.

IAM-MIME 2023 yang disokong oleh MARii akan diadakan dari 27-29 Okt 2023 dan bakal mempamerkan kenderaan, produk, inovasi dan pembangunan terkini dalam teknologi automotif oleh pemegang kepentingan automotif, pengedar kereta/motosikal dan pengeluar peralatan tulen (OEM).

Apa yang menjadikan IAM-MIME 2023 unik adalah ia menggabungkan tiga genre automotif di bawah satu bumbung iaitu pameran pengeluar kereta legasi kereta baharu dan jenama baharu serta pameran khusus untuk EV, EV Fest yang akan mempamerkan pelbagai EV yang menyediakan mobiliti dengan jarak 400 kilometer pada satu caj tetapi dengan julat harga antara RM100,000 hingga RM500,000.

“Selain promosi industri automotif, agenda MARii adalah sejajar dengan tanggungjawab Malaysia berkaitan peralihan tenaga dan penyahkarbonan. Dalam hal ini, saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa penganjur MIME 2023 telah memberi tumpuan kepada trend EV dan menyediakan lokasi pusat untuk untuk mempamerkan beberapa jenama EV terkemuka di dunia,” katanya.

Pengasas MIME Yamin Vong berkata salah satu tarikan utama pameran itu adalah untuk  menyediakan kepada seberapa ramai pengunjung dan bakal pembeli pengalaman memandu ujian kenderaan elektrik.

Pameran perdana itu akan menampilkan 300 kereta diubah suai yang akan menjadi pusat utama bagi pameran IAM yang semakin berkembang menjadi pameran kereta diubah suai terbesar dan paling lama berlangsung di Asia Tenggara.

IAM mempunyai kelebihan menjelajah lebih daripada 38 bandar di seluruh Indonesia sejak 2001 dan sejak itu telah berkembang menganjurkan pameran di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pameran itu telah menarik beribu-ribu peminat dan penggemar kereta dengan hampir 100 anugerah individu disampaikan kepada kenderaan dipamer terbaik dalam setiap kategori.

Pameran ini telah berkembang pesat selama bertahun-tahun, kata pengasas IAM, Reza Aliwarga.

“Kereta diubah suai mempunyai ramai pengikut di rantau ini, terutamanya di Malaysia, dan ini terbukti daripada kualiti kereta yang dipamerkan.

“Minat untuk mempamerkan kereta sangat luar biasa dan terdapat hampir 1,000 kereta yang diubah suai dalam senarai yang perlu kami semak sebelum memilih 300 kereta terakhir dengan teliti untuk pameran itu,” katanya.

Sementara itu, MARii turut bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Malaysia dan Indonesia seharusnya bekerjasama dan bukannya bersaing dalam pembangunan EV.

Nizmar berkata pada masa ini MARii mempunyai libat urus dengan Institut Otomotif Indonesia (IOI) membabitkan program dan kolaborasi membabitkan pembangunan vendor EV antara kedua-dua negara.

Menurutnya, di Malaysia ketika ini terdapat kira-kira 38 pemegang kepentingan dan 641 vendor yang boleh melakukan pemindahan teknologi antara kedua-dua negara.

“Maksudnya apabila kita menuju ke arah EV, kita akan boleh meneroka pengetahuan berkaitan kenderaan generasi seterusnya, EV dan kenderaan autonomous masa depan. Malaysia mempunyai vendor yang mempunyai keupayaan di peringkat rantaian bekalan untuk membantu Indonesia dalam EV dan begitu juga sebaliknya.

“Jika ada persaingan pun mungkin membabitkan dua jenama utama iaitu Tesla dan BYD, yang mana kita lebih ke hadapan membabitkan Tesla kerana ia sudah komited untuk membuka ibu pejabatnya, pusat servis dan pusat pengalaman di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/