Menara Merdeka 118 Cerminan Kemajuan Pesat Negara

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) — Pemulihan Stadium Merdeka, lokasi keramat pengisytiharan kemerdekaan negara pada tahun 1957, dan pembangunan Menara Merdeka 118 yang berdiri gah bersebelahannya benar-benar mencerminkan sejauh mana negara telah berkembang maju.  

Bangunan ikonik itu bakal dibuka secara rasmi pada akhir tahun ini dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemilik Merdeka 118, akan berpindah ke tingkat 17 menara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

PNB memiliki Merdeka 118 melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures.

 Kerja asas bagi pemulihan Stadium Merdeka dan juga pembangunan bangunan ikonik terbaharu negara bermula itu pada 2016, tetapi pandemik COVID-19 telah menyebabkan usaha penyiapannya tertangguh selama setahun.

“Kami kini berada di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Selepas PNB berpindah dari lokasinya ketika ini di Menara PNB, Jalan Tun Razak, penyewa utama kami, Maybank, dijangka berpindah tahun depan, menjadikan menara itu 70 peratus diduduki,” katanya.

Tengku Ab Aziz juga berkata Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai menjelang suku pertama tahun depan selepas ditutup sejak 2016, manakala Stadium Negara tertutup dijadualkan untuk pengubahsuaian.

Bercakap kepada pemberita semasa sesi lawatan media ke bangunan pencakar langit itu baru-baru ini, beliau berkata penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik.

Manakala gedung membeli belah 118 Mall setinggi tujuh tingkat dijangka siap pada 2024.

Apabila siap sepenuhnya kelak pada 2027, Merdeka 118 yang menampilkan menara canggih setinggi 678.9 meter itu akan mengubah kawasan persekitarannya yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti sukannya, menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dengan bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.

Bangunan pencakar langit terbaharu di bandar raya itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.

Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).

Pembangunan menara kediaman 

Menurut Tengku Ab Aziz, pembangunan utama lain di kawasan itu termasuk Menara Timur Merdeka Residences setinggi 65 tingkat dan Menara Barat Merdeka Residences setinggi 63 tingkat, serta kediaman berperkhidmatan Oakwood Premier Kuala Lumpur.

Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.

Tengku Ab Aziz berkata pembangunan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion. 

Merdeka 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara itu dan pemasangan panel akhir menandakan menara itu 95 peratus telah siap.

Mengenai kebimbangan pembangunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, yang berhampiran dengan Petaling Street, Tengku Ab Aziz memberi jaminan menara itu akan mudah untuk diakses menerusi pengangkutan awam berhampiran seperti stesen MRT Merdekanya sendiri, dan akses ke stesen LRT Hang Tuah dan Plaza Rakyat, serta hentian monorel Maharajalela dan Hang Tuah.

“Aliran trafik juga akan dibuka sehala untuk mengurangkan kesesakan apabila bangunan pencakar langit itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Selain pengangkutan awam, menara itu juga mempunyai sambungan terus melalui Terowong Belfield, akses dari Lebuhraya Persekutuan, serta Jalan Damansara atau Jalan Istana.

97.8 peratus siap, tumpuan kepada kelestarian

Sehingga Ogos 2023, Merdeka 118 merupakan menara pertama di Malaysia yang berusaha untuk mencapai penilaian platinum hijau tiga kali ganda dengan pensijilan kelestarian antarabangsa dan kerja-kerja telah 97.8 peratus siap.

Tengku Ab Aziz juga berkata syarikat antarabangsa turut menunjukkan minat untuk beroperasi di Merdeka 118, dan ramai yang mencari bangunan yang bercirikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana tidak banyak bangunan yang diperakui ESG di bandar raya ini.

“Ruang pejabat dibuka untuk disewa pada harga RM20 sekaki persegi,” katanya.

Walaupun ramai orang yang mungkin agak keliru tentang fungsi antara Tun Razak Exchange (TRX) dan Merdeka 118, Tengku Ab Aziz menjelaskan bahawa bangunan kedua tertinggi di dunia akan dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian dan bukannya sebagai hab kewangan.

Menurutnya reka bentuk Merdeka 118 adalah berdasarkan siluet (bayang) Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan sambil melaungkan laungan “Merdeka!”pada 31 Ogos 1957, manakala puncak menara di atas bangunan itu mencerminkan imej bapa kemerdekaan mengangkat tangan beliau semasa pengisytiharan kemerdekaan.

Pemandangan menakjubkan Merdeka 118 dari Stadium Merdeka memberikan pengalaman dan gambaran suasana perjalanan masa dari tahun 1957 hingga ke hari ini, manakala pembangunan dan seni bina moden, merupakan manifestasi kemajuan pesat negara sejak enam dekad yang lalu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian