Petronas Akan Bayar Dividen RM40 Bilion Kepada Kerajaan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini iaitu RM5 bilion lebih berbanding RM35 bilion yang diumumkan sebelum ini. 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Liza Mustapha berkata pembayaran dividen itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan Petronas. 

“Ia adalah unjuran jangka panjang dalam perbincangan yang kami ada dengan pemegang saham kami. Kami mengambil pandangan yang agak jauh (dalam) perbincangan kami, bukan setakat untuk 12 bulan akan datang tetapi katakanlah, sehingga ke 2030.

“(Mengenai persoalan) sama ada apa yang kami belanjakan untuk perniagaan baharu akan menjejaskan dividen, sebenarnya saya ingin katakan sebaliknya, kami mengatur (pendekatan) daripada  atas ke bawah dalam peruntukan modal.

“Kami akan mengetepikan secara purata 20 peratus daripada perbelanjaan modal (capex) untuk perniagaan dan pelaburan baharu bagi mendapatkan tenaga baharu,” katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2023 Petronas.

 Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat minyak negara itu perlu memastikan keselamatan bekalan tenaga yang menggunakan hidrokarbon berterusan.

“Permintaan tenaga akan bertambah. Sistem (tenaga) baharu tidak akan wujud dalam tempoh satu atau dua tahun…kami perlu memastikan permintaan (semasa) terus ditangani,” katanya sambil menambah kumpulan itu perlu mengetepikan “penampan” bagi meneruskan perniagaan seperti biasa.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan MADANI Sasar Senaraikan 10 Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia Pada 2026, 2027

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat Bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran berkenaan, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata ekosistem PETRONAS, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.

Beliau berkata, ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.

“Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata, kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.

“Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini,” katanya.

— Berita Harian