Jualan Kenderaan Meningkat 13 Peratus Kepada 71,745 Unit Pada Ogos – MAA

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) — Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif untuk kenderaan penumpang dan komersial meningkat 13 peratus kepada 71,745 unit pada Ogos 2023 daripada 63,676 unit yang dicatatkan pada Julai lepas, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam kenyataan pada Jumaat, MAA menjelaskan pertumbuhan kukuh itu menandakan jualan bulanan kedua tertinggi bagi 2023 selepas TIV Mac yang merekodkan 78,849 unit.

“Pertumbuhan positif yang dicatatkan ini disumbangkan oleh prestasi keseluruhan yang lebih baik, rantaian bekalan yang bertambah baik serta kempen promosi sempena Hari Kebangsaan oleh beberapa syarikat kereta,” tambahnya.

Bagi lapan bulan pertama tahun ini, jualan melonjak kepada 501,552 unit berbanding 449,289 unit bagi tempoh sama tahun lepas.

Jualan kenderaan bagi September dijangka mencecah paras yang sama dicatatkan Ogos, menurut MAA.

Persatuan itu memaklumkan jumlah pengeluaran industri pada Ogos adalah 67,912 unit berbanding 66,862 unit pada Julai.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian