MYAirline Sedang Pertimbang Semua Langkah Untuk Beroperasi Semula 

MYAIRLINE SEDANG PERTIMBANG SEMUA LANGKAH UNTUK BEROPERASI SEMULA 

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang bertindak menggantung operasinya berkuatkuasa hari ini, sedang “meninjau semua langkah untuk membolehkannya kembali beroperasi dan menyambung semula khidmat penerbangan.”

Sehubungan itu, dalam kenyataannya petang ini, MYAirline menjelaskan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.

“Kami dengan hormatnya meminta semua pihak berkepentingan untuk bersabar ketika kami terus meneliti semua pilihan yang ada.

“(Pada masa sama) kami juga sedia maklum terhadap rasa marah dan kekecewaan para pelanggan serta pihak terjejas dan MYAirline mengakui bertanggungjawab di atas kekalutan susulan notis serta-merta kami,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, barisan Lembaga Pengarah dan kesemua pasukannya juga “dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada semua penumpang, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pihak lapangan terbang Thailand, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Thailand serta semua pihak yang terjejas susulan perkembangan itu.

“Berikutan kekangan kewangan ketara yang dihadapi sekarang, kami juga tidak dapat menawarkan sebarang khidmat kepada penumpang yang terjejas di lapangan terbang.

“Pada kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih kepada (syarikat penerbangan) AirAsia, Batik Air dan Malaysian Airlines Group serta MAHB di atas bantuan kepada penumpang terjejas pada masa ini,” katanya.

Terdahulu pada pagi ini, MYAirline Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan mengenai tindakannya yang terpaksa mengambil “keputusan amat sukar” akibat tekanan kewangan yang ketara dan menggantung operasinya sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian