Fahmi Rasmi Gudang Autonomi AI Dikuasakan 5G Pertama Di Malaysia

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini merasmikan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh CelcomDigi Bhd dengan kerjasama DHL Supply Chain Malaysia.

Gudang itu dilengkapi dengan AI dan penyelesaian robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap, disokong oleh rangkaian 4G LTE CelcomDigi dan kesambungan 5G di Pusat Logistik Bersepadu DHL di sini.

Fahmi berkata sinergi antara CelcomDigi dan DHL yang menggunakan nilai sebenar teknologi dan penyelesaian 5G, berserta AI dan robotik adalah dipuji dan berada di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan ekosistem digital negara.

“Sejajar dengan aspirasi digital kerajaan, Malaysia memiliki potensi menjadi Harimau Digital Asia, memandangkan kerjasama seperti hari ini berpotensi berkembang dan meningkatkan kecekapan, inovasi dan penerimagunaan teknologi secara ketara dalam kalangan perusahaan di Malaysia serta ekonomi digital negara,” katanya ketika berucap merasmikan gudang itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata industri pengudangan dan logistik mempunyai potensi untuk diberikan nafas baharu dan berubah kepada gudang yang menggunakan teknologi automatik sepenuhnya, boleh beroperasi sepanjang masa dengan pengunaan teknologi 5G dan penyelesaian AI.

Fahmi juga gembira apabila pelaksanaan itu tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja, memandangkan kedua-dua organisasi komited untuk memperluas penggunaan teknologi dan penyelesaian 5G di semua gudang DHL di seluruh negara, serta berpotensi bekerjasama dengan organisasi lain daripada industri lain.

“Apabila inovasi dan teknologi digunakan dalam dan di luar industri, saya berharap lebih banyak lagi usaha transformasi seperti yang direalisasikan hari ini,” katanya.

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL dalam memanfaatkan teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk sistem pengurusan inventori robotik menyediakan pengurusan gudang berbilang tingkat yang dipertingkatkan dan cekap pada standard yang optimum.

Penyelesaian itu membolehkan operasi pengiraan stok yang cekap iaitu mencapai sehingga 20 kali kecekapan dengan sehingga 100 peratus kejituan dan ketepatan di samping menambahkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

Sementara itu, Fahmi berkata DHL kini mengendalikan 25 gudang di seluruh negara dan sedang membina sebuah lagi gudang di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang akan beroperasi secara automasi sepenuhnya menggunakan teknologi 5G terkini.

“Saya harap lebih banyak syarikat akan mengenal pasti dan memahami manfaat teknologi 5G kepada industri masing-masing untuk membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840