RAA Tech akan lancar tayar ‘kalis pancit, pulih sendiri’ di Malaysia

RAA TECH AKAN LANCAR TAYAR ‘KALIS PANCIT, PULIH SENDIRI’ DI MALAYSIA 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Syarikat penyelidikan teknologi, RAA Technology Sdn Bhd (RAA Tech), merancang untuk melancarkan tayar ‘kalis pancit, pulih sendiri’ selewat-lewatnya pada Januari 2024.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) RAA Tech, Mimi Syahira Masraf berkata inovasi baharu itu ialah produk tayar motosikal berasaskan getah kalis pancit.

“Masalah tayar terutama tayar pancit boleh berlaku dalam pelbagai situasi. Serpihan seperti kaca pecah dan paku boleh menjejaskan integriti tayar, dan meningkatkan kemungkinan tayar akan pancit semasa di atas jalan.

“Sebagai penyelesaian, tayar kalis pancit dan pulih sendiri ini mempunyai keupayaan untuk kembali baik dengan sendirinya dan memulihkan kefungsian apabila rosak tanpa memerlukan pengesanan atau pembaikan oleh apa-apa cara campur tangan manual,” katanya kepada Bernama di luar acara Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE) 2023 baru-baru ini.

Beliau berkata selepas usaha selama tujuh tahun, penyelidik berjaya mencipta getah pulih sendiri yang membawa kepada pembangunan tayar pulih sendiri di bawah teraju Pengasas RAA Tech, Raa Khimi Shuib dengan geran pembiayaan bernilai RM450,000 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 2017.

Bahan itu dibangunkan berasaskan getah asli dan divulkankan menggunakan agen kuratif pulih sendiri yang dibangunkan penyelidik.

Mimi Syahira menjelaskan bahawa getah pulih sendiri membentuk lapisan pengedap, yang diletakkan di dalam tayar pada tempat yang sepadan dengan corak bunga.

“Dalam kes penembusan oleh objek luar seperti paku, penunggang tidak perlu menukar tayar di tepi jalan serta-merta, kerana bahan itu segera membaikinya sendiri, memulihkan fungsi tayar dan menyekat setiap kemungkinan kebocoran udara (dan) penunggang tidak akan menyedari tayar itu pancit,” katanya.

Beliau berkata penunggang e-panggil akan mendapati tayar itu amat berguna kerana motosikal mereka merupakan sumber pendapatan.

“Apabila anda menghadapi masalah tayar pancit, anda tidak dapat menjana pendapatan, jadi sebab itu kami mahu menerapkan teknologi ini supaya masalah tayar pancit dapat diatasi atau dikurangkan,” katanya.

Mimi Syahira berkata masalah tayar dianggarkan menyebabkan lebih 78,000 kemalangan di Amerika Syarikat setiap tahun dan mengakibatkan kira-kira 10,000 kecederaan dan 400 kematian.

Di Malaysia, kira-kira 20 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada masalah tayar, katanya.

— BERNAMA

TAG: RAA Technology, getah pulih sendiri, tayar kalis pancit, Mimi Syahira, Raa Khimi Shuib, MOSTI

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.