DFN 2030 Dijangka Mampu Jana Nilai Jualan RM100 Bilion Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Pengenalan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) disasarkan mampu menjana nilai jualan industri francais sehingga RM100 bilion menjelang 2030.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dasar tersebut, yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, dapat mengembangkan lagi industri francais negara ke peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini, nilai jualan industri francais negara mengalami pertambahan yang cukup besar, iaitu daripada RM14.6 bIlion pada 2020 kepada RM30 bilion pada 2021.

“… kita juga memfokuskan pengembangan jenama francais tempatan ke peringkat antarabangsa. Setakat ini, 70 jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran di 80 negara,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas pertemuan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang diketuai Armizan, bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan industri francais.

Selain itu, Armizan berkata satu sesi dialog terakhir bagi membincangkan usaha memuktamadkan DFN 2030 akan diadakan menjelang bulan hadapan bersama pemain industri francais, sebelum ia dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet pada Disember ini.

Pada masa sama, beliau berkata fungsi Lembaga Penasihat Francais, yang diwujudkan di bawah Akta Francais 1998 (Akta 590), juga perlu diperkukuhkan supaya dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam menggerakkan DFN 2030 yang bakal digubal kelak.

“Dengan adanya tadbir urus yang mantap, kita percaya komuniti antarabangsa akan meyakini untuk membeli hak membuka francais tempatan di peringkat antarabangsa.

“Fokus sekarang adalah DFN 2030 dan pengukuhan Lembaga Penasihat Francais. Kita harap industri francais dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi negara melalui Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Armizan Mohd Ali, francais, DFN 2030

Previous ArticleNext Article

Home Maths Therapy Dinobat Francais Terbaik Dua Tahun Berturut-Turut

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — HOME Maths Therapy sekali lagi mengukir sejarah apabila dinobat sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik buat dua tahun berturut-turut pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2025 (MAF2025) yang telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
 
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah atas kejayaan dan sumbangan mereka dalam memperkukuh industri francais negara.
 
Pada tahun ini, MAF2025 telah mengiktiraf 18 pemenang dalam pelbagai kategori termasuk Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori ESG, Kategori Terbuka, serta Kategori Media. (Senarai penuh pemenang disertakan dalam Lampiran A.)
 
Selain itu, Anugerah Khas Ahli Setia turut diberikan sebagai penghargaan kepada beberapa syarikat francais yang telah menjadi ahli MFA selama lebih dua dekad, iaitu FT Consulting, Avon Cosmetic, Manjit Singh Sachdev, Mohamed Radzi & Partners, serta Raja, Darryl & Loh. Sementara itu, Penghargaan Khas Organisasi diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Philippines Franchise Association (PFA), manakala Penghargaan Khas Individu disampaikan kepada Dato’ Rohaizi Bahari, Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
 
Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa pengiktirafan ini membuktikan keupayaan industri francais tempatan yang semakin kukuh dan berdaya saing di peringkat global.
 
“Kejayaan yang dicapai oleh HOME Maths Therapy serta semua penerima anugerah malam ini menjadi bukti bahawa industri francais bukan sahaja mampu menyumbang kepada ekonomi negara, malah menjadi platform pembangunan usahawan yang mampan dan inklusif. Kerajaan komited untuk terus memperkasa sektor francais sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Madani,” katanya.
 
Majlis pada malam tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan rakan strategiknya, iaitu SME Bank. MoU ini dimeterai sebagai langkah memperkukuh pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya francaisor dan francaisi di Malaysia.
 
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata kerjasama ini akan memperkukuh ekosistem francais melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif bersama.
 
“MFA bersama SME Bank akan terus menyokong pembangunan industri francais melalui perkongsian kepakaran, kemudahan pembiayaan, dan promosi pasaran global. Usaha ini akan memanfaatkan francaisor dan francaisi tempatan dalam mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih kompetitif di peringkat global,” ujar beliau.
 
Program MAF2025 juga mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak penaja termasuk Harta Maintenance Sdn. Bhd. (Harta EMS), Marrybrown Sdn. Bhd. (Marrybrown), CSQ International Consulting Sdn Bhd (CSQ International Consulting), Nakanishi Group (M) Sdn Bhd, QC Group Sdn. Bhd. (HOME Maths Therapy), dan EXIM Bank. Menariknya, trofi anugerah tahun ini turut menerima tajaan khas daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Bank, melambangkan sokongan berterusan agensi kewangan dan kerajaan terhadap pembangunan industri francais negara.
 
Sebagai satu platform tahunan utama, MAF bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan para penggiat industri, malah berfungsi sebagai pemangkin inspirasi kepada pemain francais baharu untuk terus berinovasi, meningkatkan kualiti, serta memperluas capaian pasaran mereka.
 
Kejayaan HOME Maths Therapy dinobatkan dua tahun berturut-turut membuktikan komitmen francais pendidikan tempatan ini dalam memperkukuh jenama serta menyumbang kepada pembangunan bakat dan pendidikan kanak-kanak di Malaysia melalui pendekatan pembelajaran inovatif dan sistem francais yang mantap.

Klik di sini untuk senarai pemenang LAMPIRAN A

SUMBER: PERSATUAN FRANCAIS MALAYSIA (MFA)

–BERNAMA