Pencukaian 2023: Tanpa GST, Malaysia Masih Di Landasan Tepat Catat Konsolidasi Fiskal

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Kerajaan kini giat berusaha untuk terus mengurangkan defisit fiskal yang mereda kepada 5.6 peratus pada tahun lepas selepas mencecah 6.4 peratus pada 2021 dalam persekitaran pandemik yang memerlukan perbelanjaan bagi merangsang ekonomi serta melindungi mata pencarian rakyat.

Malah, pelbagai inisiatif bagi memastikan pengurusan kewangan yang mapan serta berkesan untuk negara ini telah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang dilancarkan pada September 2023, kerajaan dengan jelas menyatakan hasrat untuk mengenal pasti langkah bagi memperluas hasil fiskalnya, termasuk menerusi usaha menambahbaik kutipan cukai dengan menggalakkan pengakuan cukai secara sukarela dan memperkenalkan e-invois.

Bukan masa perkenalkan semula GST

Di sebalik ura-ura mengenai langkah untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi melonjakkan lagi hasil fiskal kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan, tetap berpendirian tegas bahawa pentadbiran beliau tidak akan membebankan rakyat dengan mengenakan cukai yang melangkaui kemampuan mereka.

Walaupun pihak Perbendaharaan tidak menafikan potensi GST untuk menjana lebih banyak hasil berikutan asasnya yang meluas dan lebih telus kepada pengguna berikutan paparannya dalam harga akhir, ia sebaliknya memilih untuk mengutamakan pengurusan subsidi yang disediakan untuk rakyat.

Ini berikutan Malaysia melaksanakan pemberian subsidi menyeluruh ke atas bahan api dan minyak masak yang juga komponen perbelanjaan terbesar selain subsidi elektrik, gula dan tepung.

Realitinya, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, subsidi ini perlu disasarkan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kemudahan itu turut dinikmati oleh golongan kaya selain dapat membantu kerajaan menguruskan pendapatan dan perbelanjaan secara lebih baik.

Jika diamati, Malaysia telah melaksanakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) satu peringkat sejak 1972 yang kemudiannya digantikan dengan GST pada kadar 6.0 peratus bagi tempoh April 2015 hingga Mei 2018 sebelum dilaksanakan semula pada 1 Sept, 2018.

Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd Chin Yee Sian berkata, jika GST berkadar 6.0 peratus itu dilaksanakan semula pada 2024, anggaran kutipannya adalah kira-kira RM63.5 bilion – angka yang hampir dua kali ganda daripada kutipan SST sebanyak RM35.8 bilion yang diunjurkan oleh kerajaan.

Jelas beliau lagi, bagi mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penghapusan sepenuhnya subsidi bahan api itu dilihat perlu atau gabungan sekurang-kurangnya GST pada kadar 4.0 peratus dan pengurangan subsidi bahan api sebanyak 90 peratus.

“Bagi mencapai belanjawan yang seimbang, apa yang diperlukan adalah GST berkadar 10 peratus serta pengurangan subsidi bahan api sebanyak 70 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan pada 1 Nov, 2023.

Sorotan cukai 2023

Walaupun tanpa pelaksanaan semula GST, kerajaan telah bertindak memperkenalkan beberapa langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dalam usaha meningkatkan tabungan seperti menaikkan cukai pendapatan sebanyak 0.5 mata peratus hingga dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

Tidak setakat itu, beberapa perubahan turut melibatkan beberapa cukai baharu yang dicadangkan dalam Belanjawan sebelumnya.

Ini termasuk cukai mewah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 disemak semula dan telah  digantikan dengan cukai barang bernilai tinggi yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024 iaitu cukai pada kadar 5.0-10 peratus dikenakan ke atas barangan bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan mewah berdasarkan nilai ambangnya mulai 1 Mei,  2024.

Selain itu, cukai pada kadar 10 peratus untuk barangan bernilai rendah (LVG) yang sepatutnya dikenakan ke atas barangan dijual di bawah RM500 menerusi dalam talian berkuat kuasa 1 April 2023, di bawah Belanjawan 2022 pula ditangguhkan terus.

Bagi cukai minimum global (GMT) sebanyak 15 peratus yang pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 ke atas syarikat dengan perolehan global tahunan sekurang-kurangnya sebanyak 750 juta euro (1 euro=RM5.08), kerajaan telah menangguhkan pelaksanaannya kepada 2025 daripada 2024 yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024.

Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada April lepas berkata GMT mampu menghasilkan kutipan cukai tambahan sebanyak RM1 bilion pada permulaannya.

Dalam pada itu, laporan tinjauan fiskal menyatakan bahawa hasil cukai dianggarkan meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada RM229 bilion atau 12.4 peratus daripada KDNK pada 2023 berbanding 2022.

Peningkatan prestasi itu dijangka dipacu oleh kutipan cukai pendapatan yang lebih baik, langkah-langkah diumumkan dalam Belanjawan 2023 serta usaha berterusan kerajaan bagi mengembangkan lagi asas pendapatan, katanya.

“Hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat 3.0 peratus kepada RM303.2 bilion atau 16.4 peratus daripada KDNK berbanding 2022,” katanya.

Melangkah ke 2024

Kementerian Kewangan (MoF) mengunjurkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan mencatat RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada KDNK pada 2024, didorong oleh kutipan cukai lebih tinggi, termasuk beberapa cadangan langkah dalam Belanjawan 2024 untuk mencapai matlamat berkenaan.

Sebagai contoh, cukai jualan lebih tinggi sebanyak 8.0 peratus daripada 6.0 peratus pada masa ini akan dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai termasuk logistik, pembrokeran, penajajaminan dan perkhidmatan karaoke manakala perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kenderaan dikecualikan.

Kerajaan akan turut melaksanakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos, 2024 selain menguatkuasakan cukai keuntungan modal (CGT) sebanyak 10 peratus ke atas keuntungan bersih daripada pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan mulai 1 Mac, 2024.

Mengikut Belanjawan 2024, Malaysia juga dijangka menyaksikan defisit fiskal yang mengecil kepada 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 daripada sasaran 5.0 peratus yang diunjurkan pada 2023 dan 5.6 peratus pada 2022.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.