NVIDIA Lihat Malaysia Miliki Sumber, Kemampuan Jadi Hab AI, Setuju Bangun Ekosistem AI – Anwar

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional, melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab kecerdasan buatan (AI).

NVIDIA telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NVIDIA telah menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri. 

“Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI. Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Petang tadi, Anwar telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong.

Anwar berkata keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini. 

Beliau berkata NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Dan Bursa Malaysia Perkenal Program MY Value Up

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini memperkenalkan Program MY Value Up, satu inisiatif kerjasama untuk menyokong syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia dalam meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang mereka dan berubah menjadi cadangan pelaburan menarik di peringkat global.

Selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (Pelan Induk), MY Value Up mencerminkan komitmen bersama SC dan Bursa Malaysia untuk memupuk landskap korporat yang lebih dinamik.

Pada asasnya, program MY Value Up bertujuan untuk menggalakkan PLC menerima pakai pendekatan yang lebih peka dan proaktif dalam menyampaikan kemajuan dan perkembangan pertumbuhan mereka.

Dengan menggalakkan syarikat untuk menjelaskan dan menzahirkan strategi jangka sederhana hingga panjang mereka, MY Value Up membantu PLC mengutamakan cita-cita korporat yang lebih kukuh dan memudahkan penglibatan yang lebih bermakna dengan pelabur domestik dan serantau.

Ini juga membawa kepada pendedahan yang lebih telus dan berpandangan ke hadapan yang meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong keputusan peruntukan modal termaklum.

SC pada hari ini telah mengadakan sesi penglibatan dengan Pengerusi dan eksekutif Csuite daripada 88 PLC teratas yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan peneraju industri pasaran modal. 88 PLC yang terpilih untuk program ini secara kolektifnya menyumbang sebanyak 80% permodalan pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan setiap satunya mempunyai permodalan pasaran minimum kira-kira RM4 bilion. 

Sesi ini tertumpu kepada peranan penting yang dimainkan oleh PLC dalam memperkukuhkan penilaian korporat Malaysia dan daya tarikan pasaran keseluruhan.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MY Value Up membimbing pemikiran lembaga ke arah penciptaan nilai jangka panjang.

“Pelan Induk baharu ini menetapkan visi berani ke arah pasaran modal yang lebih dinamik dan berdaya saing. Matlamat kami adalah untuk bergerak bersama daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai aktif. Ini merupakan masa yang sesuai untuk PLC terkemuka memperluas lensa penilaian dan menanda aras prestasi mereka terhadap yang terbaik dalam kelasnya, bukan sahaja secara domestik tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Program MY Value Up direka untuk meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan pasaran terhadap prestasi korporat asas dalam kalangan syarikat awam tersenarai yang mengambil bahagian. Dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ekosistem pasaran yang lebih luas, Bursa Malaysia akan memajukan usaha ini dengan memperkukuhkan isyarat pasaran untuk syarikat tersenarai melalui penyampaian strategi yang lebih jelas, disiplin prestasi yang lebih kukuh dan penglibatan yang lebih mendalam dengan pelabur. Akhirnya, ini menyokong penemuan harga yang lebih berkesan dan menyumbang kepada pasaran modal yang lebih rancak yang mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada nilai korporat jangka panjang.”

Bagi memastikan program ini praktikal dan berimpak, sesi penglibatan hari ini akan diikuti dengan beberapa siri bengkel teknikal. Ini akan membolehkan PLC yang mengambil bahagian memberikan maklum balas yang akan membantu membentuk MY Value Up.

Bagi menyokong pelancaran program yang berkesan, Buku Panduan yang menggariskan jangkaan di bawah MY Value Up akan dikeluarkan menjelang separuh pertama tahun ini.