Pasaran Modal Malaysia Berjaya Harungi Ketidaktentuan Global Pada 2023

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Telah menjadi lumrah, apabila Amerika Syarikat (AS) ‘bersin’, dunia akan terkena ‘selsema’.

Pasaran global berada dalam tidak menentu sejak awal tahun 2023 apabila AS dikejutkan dengan beberapa siri kegagalan bank yang membawa kepada peningkatan kos hutang dan risiko kemelesetan, diburukkan lagi dengan penurunan gred prospek penarafan kreditnya oleh penilai penarafan seperti Moody’s dan Fitch.

Pasaran modal dunia juga menerima kesan daripada kenaikan kadar faedah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang tidak selari dengan keputusan penurunan kadar bank pusat lain berikutan krisis kemanusian akibat konflik di Timur Tengah.

Aset pendapatan tetap, ekuiti dan pasaran pertukaran asing terjejas teruk akibat aliran keluar besar-besaran apabila para pelabur mengambil pendekatan lebih selamat memilih aset defensif.

Semasa tempoh 2022-2023, FOMC telah menaikkan kadar faedah sebanyak 11 kali, menjadikan ia berada di paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun pada 5.25-5.50 peratus berbanding 0.25-0.5 peratus pada Mac 2022.

Mujurlah, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan daya tahan kewangan dan kestabilan ekonomi, yang disokong oleh permintaan kukuh domestik, telah meneguhkan pasaran modalnya sebagai platform padu untuk menjana dana.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 Kementerian Kewangan, saiz pasaran modal Islam berjumlah RM2.4 trilion pada akhir Julai 2023, menyumbang 64.4 peratus daripada jumlah saiz pasaran modal di Malaysia.

Saiz keseluruhan pasaran modal berjumlah RM3.73 trilion setakat Julai 2023, melebihi angka pada tahun lalu sebanyak RM3.6 trilion, yang terdiri daripada jumlah bon dan sukuk sebanyak RM1.9 trilion, dan permodalan pasaran ekuiti pada RM1.7 trilion

Bulan lepas, pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata sehingga 31 Okt 2023, pasaran bon dan sukuk negara mencatatkan nilai sebanyak RM2 trilion, yang merupakan lebih 50 peratus daripada pasaran modal Malaysia

Sementara itu, permodalan pasaran Bursa Malaysia dilaporkan berjumlah RM1.76 trilion pada Oktober 2023.

Penjanaan Dana Islam Jadi Pemangkin Kepada Pasaran Modal 

Pasaran modal Islam terus menerajui landskap penjanaan dana dan pelaburan pada 2023.

Awang Adek berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia merupakan satu daripada pasaran paling maju dan terbesar di rantau ini. 

“Mencakupi 35 peratus daripada terbitan sukuk global, jelas sekali Malaysia adalah pasaran sukuk terbesar mengatasi Arab Saudi dan Indonesia,” katanya pada satu persidangan mengenai bon dan sukuk pada November lepas.

MARC Ratings berkata Malaysia berpeluang untuk mendapat manfaat daripada pemusatan pasaran modal Islam dan kewangan mampan, dengan sukuk berasaskan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menunjukkan potensi pertumbuhan. Sukuk ESG merangkumi 3.8 peratus daripada bahagian pasaran sukuk global pada separuh pertama 2023. 

Bagi bon, agensi penarafan itu berkata walaupun indeks ekuiti MSCI Apex 50 dan S&P Asia 50 CME agak mendatar di bawah +1.0 peratus setakat 4 Dis 2023, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun  menunjukkan prestasi lebih baik sebanyak 20 mata asas, membayangkan pasaran yang konstruktif.

Beberapa pasaran bon juga menunjukkan prestasi yang bertambah baik menjelang akhir 2023 berikutan perubahan dalam naratif, yang mana kadar faedah dijangka mencapai paras kemuncaknya tidak lama lagi, katanya.

Data terbaru MIDF Research menunjukkan bahawa pegangan asing MGS meningkat kepada RM273 bilion pada November 2023 daripada RM248 bilion pada bulan yang sama tahun lepas.

Dilaporkan juga bahawa pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam pasaran bon tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama 2023 dengan aliran masuk RM27.4 bilion.

Langkah-Langkah Untuk Membimbing Dan Mengembangkan PMKS

Dari segi penjanaan modal, Malaysia terus menumpukan kepada instrumen kewangan alternatif untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bahagian penting daripada ekonomi yang menyumbang kira-kira 38 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan 48 peratus daripada jumlah pekerjaan pada 2022.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan meneruskan inisiatifnya untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan peruntukan tambahan RM40 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) untuk melabur dalam PKS dan perusahaan sosial bersama pelabur swasta melalui pendanaan awam ekuiti dan platform pembiayaan setara serta penubuhan Dana Inovasi Digital (DIGID) untuk menggalakkan pelaburan teknologi oleh pemain pasaran modal yang lebih kecil.

MyCIF, yang pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2019, menyaksikan peruntukan untuknya ditambah sebanyak RM100 juta lagi dalam tempoh tiga tahun dalam Belanjawan 2024.

Pada Jun 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan dan SC akan menilai semula dasar untuk memudahkan dan menarik penubuhan pejabat milik persendirian di Malaysia bagi menarik kumpulan pelabur yang lebih besar untuk menyokong pembiayaan bagi PKS.

Selain itu, beberapa langkah telah diperkenalkan untuk meningkatkan akses pelabur ke pasaran modal negara, termasuk perpindahan secara automatik syarikat senaraian awam yang layak dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, pengurangan duti setem, membenarkan dagangan saham pecahan oleh pelabur melalui broker saham, dan pengenalan rangka kerja Skim Pengecualian Asing.

Sementara itu, SC dan SME Corporation Malaysia baru-baru ini menjalin kerjasama untuk mewujudkan kira-kira 200 PKS yang bersedia bagi pasaran modal menjelang 2026 dan meningkatkan pendedahan 300 PKS kepada kemampanan dan amalan terbaik tadbir urus korporat.

SC juga bekerjasama dengan Capital Markets Malaysia (CMM) untuk memperkenalkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) bagi membimbing PKS dalam melaksanakan kemampanan mereka.

Tahun Tidak Menentu Bagi Bursa Malaysia

Meninjau pasaran ekuiti, 2023 merupakan tahun yang agak tidak menentu bagi Bursa Malaysia, kerana bursa tempatan mengalami aliran keluar bersih dana asing yang besar sebanyak US$928.2 juta pada dua suku pertama tahun ini.

Bursa hanya menerima pembelian asing bersih sebanyak US$488.1 juta pada suku ketiga, susulan harapan kenaikan kadar faedah AS dihentikan seketika.

Namun begitu, aliran masuk asing bersih ke pasaran saham tempatan mula bertambah baik pada Disember 2023 berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah antara 5.25 dan 5.50 peratus. 

Setakat 15 Dis, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih dana asing sebanyak US$572.7 juta, dengan indeks petunjuk pasaran utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.78 peratus untuk ditutup kepada 1,462.45 daripada paras 1,473.99 pada 3 Jan 2023, hari dagangan pertama bagi tahun ini.

Pada 22 Dis, indeks itu ditutup pada 1,454.38, turun 1.33 peratus daripada paras penutup 1,473.99 pada 3 Jan.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan FBM KLCI ditutup tahun ini dalam jajaran 1,500-1,610.

Terdapat 32 tawaran awam permulaan di Bursa Malaysia pada 2023 berbanding sasaran bursa sebanyak 39 bagi tahun ini.

Daripada jumlah itu, tujuh disenaraikan di Pasaran Utama, 24 di Pasaran ACE dan satu di Pasaran LEAP.

Prospek Suram Bagi 2024

Menurut MARC Ratings, melangkah ke 2024, prospek pasaran modal kelihatan agak suram, diselubungi oleh risiko utama seperti kemungkinan AS dan Eropah jatuh ke dalam kemelesetan berikutan beberapa siri kenaikan kadar faedah.

Risiko lain adalah inflasi di ekonomi maju mungkin tidak pulih seperti yang disasarkan oleh bank pusat, yang boleh merumitkan dasar monetari dan membawa kepada ketidaktentuan pasaran, katanya.

“Namun, memandangkan ekonomi global berjaya mengharungi tempoh sukar seperti COVID-19, kegagalan bank AS, kelemahan pasaran hartanah China, dasar monetari global yang ketat, dan risiko geopolitik di Eropah dan juga Timur Tengah, kami berpendapat daya tahan dalam mendepani pelbagai krisis telah bertambah baik.

“Justeru, inisiatif pengurusan risiko terus kekal relevan dalam menghadapi ketidaktentuan yang terus berkembang,” kata agensi penarafan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Timur Tengah Dilanda Konflik: Krisis Menjadi Peluang?

Risiko geopolitik jadi tumpuan utama

Peperangan Iran yang sedang berlaku sekarang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, memandangkan ia memberikan kesan ekonomi yang runcing berkaitan kekurangan tenaga yang berlarutan. Harga minyak yang lebih tinggi untuk tempoh lebih lama menimbulkan risiko untuk Rizab Persekutuan AS (US Fed) menjadi lebih agresif. Para pelabur ekuiti rata-ratanya dilihat lebih munasabah, dengan mengambil kira jangkaan kes asas untuk konflik yang terkawal, yang bermakna strategi pembelian semasa harga lemah. Perjanjian gencatan senjata masih rapuh.

Semakin lama masa diambil untuk mencapai jalan penyelesaian atau jika terjerumus semula dalam pertelingkahan, semakin tinggi risiko pelabur hilang keyakinan dan menjual pegangan. Sekiranya kes asas gagal dicapai, pelabur akan menjadi lebih berhati-hati dan lebih menjaga simpanan tunai mereka. Kami anggarkan penilaian terendah buat FBM KLCI pada – 2SD (1,433 mata). Sebaliknya, pengakhiran yang berkekalan kepada konflik ini akan menyaksikan kenaikan harga susulan kelegaan, dengan tumpuan pada saham-saham pertumbuhan dan saham ketinggalan nilai yang terjejas oleh peperangan.

Keadaan makroekonomi dan jangkaan pelabur yang berubah-ubah

Andaian kes asas oleh Jabatan Ekonomi RHB, dengan kebarangkalian 60%, ialah situasi gencatan senjata yang berkekalan, dan premium risiko harga minyak mereda. Kes asas untuk ramalan makroekonomi rasmi oleh RHB tidak banyak dipinda, tetapi ia sekarang mengambil kira hanya satu potongan kadar US Fed untuk 2026 (daripada dua). Selagi saluran komunikasi antara watak-watak utama ini kekal terbuka apabila kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian tanpa mencalarkan reputasi, pasaran-pasaran mungkin boleh terus berharap penyelesaian akan muncul. Senario kes “lebih buruk” (kebarangkalian 30%) pula mengandaikan konflik yang berlarutan dan harga minyak meninggi.

Tempoh hari tambahan bagi harga minyak yang tinggi dan bekalan tenaga yang terhad kepada pasaran menimbulkan risiko inflasi berterusan, merendahkan pendapatan boleh belanja, menekan permintaan, menjejaskan keberuntungan syarikat, dan mendesak US Fed. Perjanjian keamanan yang berkekalan dapat mengurangkan kerosakan pada asas-asas makroekonomi dunia dan mengurangkan premium risiko dalam harga minyak mentah dengan ketara. Cabarannya dilihat pada butiran pelaksanaan – khususnya berhubung kebebasan untuk menelusuri Selat Hormuz dan pengesahan jumlah kerosakan secara beransur-ansur pada prasarana pengeluaran dan penapisan minyak di Negara-Negara Teluk.

Strategi

Berdasarkan andaian kes asas RHB, pada asasnya kami dapat kekal positif akan prospek untuk ekuiti dan membiarkan sasaran FBM KLCI kami untuk akhir tahun 2026 sama pada 1,780 mata buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, peperangan Iran ini mencerminkan tahap risiko geopolitik yang runcing yang berpunca daripada Pentadbiran Trump. Pendirian pelaburan berjaga-jaga yang disarankan dalam laporan prospek ekuiti 2026 kami berkisar tentang pendirian berwaspada pelabur, mentaliti dagangan, dan strategi pembelian semasa harga lemah, masih terpakai.

Landskap geopolitik yang semakin meruncing memerlukan pendirian yang lebih mengelakkan risiko, dengan tumpuan pada sektor-sektor yang lebih selamat (seperti tenaga, perladangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, pengguna, dan REIT) dan pegangan tunai lebih tinggi. Berdasarkan kejadian dahulu, kami anggarkan tahap penilaian terendah bagi FBM KLCI pada -2SDatau 1,433 mata. Sentimen pasaran yang kembali positif terhadap risiko bermakna strategi pelaburan menumpu pada pertumbuhan dan saham-saham ketinggalan nilai dalam pasaran

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.