Samenta Sambut Baik Pengumuman Tarif Elektrik Tidak Berubah

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung pelarasan tarif elektrik yang tidak berubah untuk tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024.

Bagaimanapun, Presidennya Datuk William Ng berkata penggiat industri masih mempunyai kebimbangan dengan ketidakpastian susulan daripada mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

“Kos tenaga kekal menjadi kebimbangan utama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana. Walaupun kami menyokong pelan hala tuju peralihan tenaga, kami mesti mempertimbangkan bahawa sebarang kos tambahan adalah secara beransur-ansur dan menyokong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Ng berkata ICPT adalah langkah sementara untuk menangani kenaikan kos operasi dan bukan sebagai satu mekanisme bagi menjamin keuntungan syarikat tenaga negara.

Menurut ST, pengguna bukan domestik kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/ kilowatt-jam (kWj) dikekalkan.

Suruhanjaya itu memaklumkan surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj bagi pengguna bukan domestik lain.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada semua kategori pengguna terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan itu, kata ST.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.