Kenanga Research Jangka Inflasi Dalam Julat 2.5 Hingga 3.0 Peratus Pada 2024 

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Rantaian bekalan yang terus lebih baik dan permintaan global yang berkurangan akan membantu mengekalkan inflasi dalam julat 2.5 hingga 3.0 peratus pada tahun depan, menurut Kenanga Research.

Di sebalik jangkaan pertumbuhan global merosot pada tahun depan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus berkembang, berpotensi meningkat lebih 4.0 peratus tahun ke tahun, katanya.

“Dengan inflasi domestik dijangka kekal di bawah ambang 3.0 peratus dari segi purata, kami menjangka tiada kecenderungan untuk pengurangan kadar dalam agenda Bank Negara Malaysia (BNM).

“Justeru, BNM dijangka mengekalkan status quo, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.00 peratus sepanjang 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka inflasi keseluruhan Malaysia akan mengekalkan pertumbuhan 0.1-0.2 peratus bulan ke bulan, didorong oleh potensi kenaikan harga makanan dengan kemungkinan fenomena cuaca El Nino yang lebih kuat pada 2024.

Ini, dengan faktor luaran lain seperti ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, mewujudkan risiko tambahan untuk menaikkan harga.

“Di peringkat domestik, langkah pelan rasionalisasi subsidi kerajaan, kenaikan cukai perkhidmatan dan pelaksanaan model gaji progresif dijangka meningkatkan tekanan inflasi Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata inflasi negara pada November mencatatkan kadar perlahan kepada 1.5 peratus tahun ke tahun (Okt:1.8 peratus), paras terendah dalam tempoh 33 bulan dan di bawah anggaran Kenanga Research dan pasaran sebanyak 1.7 peratus berikutan harga makanan yang lebih rendah daripada jangkaan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA