Ringgit Catat Prestasi Tidak Menentu Pada 2023, Namun Penurunan Dihadkan Oleh Asas Ekonomi Kukuh

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Ringgit mencatatkan prestasi tidak menentu pada 2023, namun asas ekonomi negara yang kukuh dan semakin bertambah baik telah membantu menyokong mata wang tempatan daripada terus menyusut berbanding dolar AS. 

Pada permulaan tahun ini, ringgit menunjukkan prestasi yang memberangsangkan mengambil kesempatan daripada pembukaan semula ekonomi pasca COVID-19 di tengah-tengah jangkaan kitaran kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang kurang agresif.

Bagaimanapun, melangkah ke bulan-bulan seterusya, mata wang tempatan tewas kepada langkah-langkah mengetatkan dasar monetari oleh AS dan menuju ke hujung tahun, ringgit susut 5.40 peratus berbanding dolar AS untuk ditutup pada RM4.634 pada 26 Dis, daripada paras penutup hari dagangan pertamanya tahun ini pada RM4.3965 berbanding dolar AS pada 3 Jan 2023. 

Ringgit mencecah paras tertinggi tahun ini pada RM4.229 pada 2 Feb, 2023 sebelum jatuh 11.96 peratus kepada RM4.735 berbanding dolar AS pada 19 Okt, paras penutup paling rendah sejak 1998.

Kelemahan ringgit itu, bagaimanapun, bukan mencerminkan asas ekonomi kerana Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa prestasi lemah ringgit berpunca daripada faktor luaran yang di luar kawalan penggubal dasar Malaysia.

Antara faktor luaran utama yang menyebabkan kejatuhan ringgit ialah kenaikan faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam usahanya membendung inflasi, prestasi ekonomi China yang lebih rendah daripada jangkaan dan pelonggaran dasar monetari oleh People’s Bank of China.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata mata wang serantau lain turut menyusut nilai berbanding dolar AS, terutamanya disebabkan oleh dasar ketat monetari AS dan kebimbangan terhadap prospek ekonomi China.

Prestasi ringgit pada 2023

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 525-mata asas dari Mac 2022 hingga Julai 2023. 

Sejak itu, Fed mengekalkan FFR tidak berubah pada 5.50 peratus. Perbezaan besar kadar faedah antara kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia dan FFR membawa kepada penurunan nilai ringgit, katanya. 

Dalam keadaan itu, ringgit terus mencatatkan pergerakan dua hala dengan peningkatan kecil keseluruhan sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS semasa suku pertama 2023.

Bagaimanapun, ringgit menyusut sebanyak 5.8 peratus dalam suku kedua apabila perkembangan global terus menjadi faktor utama memacu keadaan kewangan domestik semasa suku tersebut.

BNM berkata pada suku kedua, sentimen pasaran terjejas oleh kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang lebih perlahan dan pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.

Pada suku ketiga, kadar pertukaran menerima tekanan daripada keadaan kewangan domestik, disebabkan terutamanya oleh jangkaan terhadap perkembangan dasar monetari global. 

Khususnya, kekukuhan pasaran pekerjaan AS telah mencetuskan jangkaan Fed akan mengambil pendekatan dasar lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama dan seterusnya kadar faedah global yang lebih tinggi.

Peningkatan dolar AS berlanjutan ke suku tersebut yang menyebabkan ringgit Malaysia menyusut sebanyak 0.2 peratus, di samping mata wang serantau yang lain.

Dalam suku keempat, BNM menyatakan bahawa perkembangan global yang menggalakkan serta keadaan politik domestik yang lebih jelas selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, mendorong pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Ringgit mengakhiri suku berkenaan dengan lebih kukuh, meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar AS.

Malah, ringgit mencatat prestasi sama berbanding kumpulan mata wang beberapa negara rakan dagang utama dengan kadar pertukaran efektif nominal meningkat sebanyak 0.4 peratus dalam suku keempat.

Prestasi ringgit berbanding mata wang Asean

Ringgit yang sebelum ini setara dengan dolar Singapura, sebaliknya susut dan mencecah paras rendah terbaharu pada RM3.52 berbanding dolar Singapura pada Disember.

Pada hari pertama urus niaga tahun ini (3 Jan, 2023), ringgit diniagakan pada paras RM3.227 berbanding dolar Singapura.

Bagaimanapun, setakat 26 Dis, 2023, ringgit diniagakan pada 3.500 berbanding dolar Singapura.

Unit tempatan itu mencatat RM3.365 berbanding yen Jepun pada sesi akhir urus niaga pertamanya bagi tahun ini sebelum ditutup lebih tinggi pada 3.2517 pada 26 Dis, 2023.

 Ringgit juga merekodkan prestasi bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang Asean bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Ia bergerak dalam julat 290.10 dan 299.2 berbanding rupiah Indonesia rupiah, 8.00 kepada 8.37 berbanding peso Filipina serta 3.365 dan 3.251 berbanding yen Jepun.

Unit tempatan itu susut/lebih tinggi berbanding rupiah dan stabil hingga rendah berbanding peso dan yen.

“Jika kita teliti pemilikan asing bagi ekuiti dan bon, ringgit serta mata wang Asean adalah rendah dari segi sejarah,” kata Mohd Afzanizam.

Operasi BNM tampung penurunan ringgit

Ketika ringgit terus dijejaskan oleh perkembangan global, pertumbuhan ekonomi Malaysia sebaliknya diunjurkan pada 4.5-5.0 peratus, selain pembaharuan struktur dan usaha konsolidasi fiskal oleh kerajaan yang menjadi faktor sokongan bagi ringgit.

Sejajar dengan mandatnya, Abdul Rasheed memberi jaminan bahawa BNM akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ringgit terus diselaras secara teratur dengan beberapa langkah pasaran dilaksanakan bagi meningkatkan ringgit, sekiranya diperlukan.

Beliau berkata walaupun paras ringgit berbanding dolar AS telah mencecah tahap ketika krisis kewangan Asia, Malaysia sebaliknya tidak mengalam krisis sebagaimana dibuktikan oleh asasnya yang kukuh, ekonomi dan sistem perbankan dengab rmodal baik.

Malaysia mempunyai sistem perbankan yang kukuh, pasaran kewangan yang mantap dan dasar kerajaan yang mesra perniagaan bagi menarik pelabur, sekali gus memberi lebih banyak sokongan kepada ringgit, katanya.

Strategi Anwar bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar US

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan beberapa dasar negara sebagai sebahagian daripada Ekonomi Madani beliau seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi membantu menarik pelaburan dan mengukuhkan nilai ringgit. 

Anwar berkata Malaysia akan lebih agresif dalam meningkatkan urus niaga dagangan dengan penggunaan mata wang tempatan bagi mengurangkan pergantungan kepada dolar US.

Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan empat Negara Asean iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina, untuk menggunakan mata wang tempatan dalam transaksi perdagangan dua hala.

Perjanjian terbaharu adalah dengan rakan dagang terbesar Malaysia iaitu China, kerana kedua-dua negara mahu merangsang lebih banyak perdagangan serta pelaburan dalam ringgit, yang menyaksikan kira-kira 25 peratus atau RM39.2 bilion daripada perdagangan dua hala Malaysia dengan China berurus niaga menggunakan ringgit dan renminbi.

“Kebanyakan mata wang dunia mengalami penyusutan pada 2023 termasuk ringgit susulan langkah Fed yang menaikkan kadar faedah.

“Hanya dengan mengukuhkan ekonomi tempatan kita boleh meningkatkan nilai ringgit dan kita mengambil pendekatan untuk tidak menaikkan OPR (sambil mempertimbangkan) kenaikan nilai dolar US,” katanya.

Unjuran ringgit pada 2024

Di sebalik prestasi ringgit yang tidak menentu pada 2023, mata wang tempatan kekal berdaya tahan apabila negara menutup tirai tahun ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini dilaporkan berkata ringgit dijangka mengukuh menjelang 2024 selepas didorong oleh beberapa faktor  termasuk disiplin fiskal kerajaan, pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik dan prospek kadar faedah AS yang lebih jelas.

“Prestasi ringgit perlu dilihat dari perspektif yang lebih meluas serta dibandingkan dengan mata wang lain dan bukan hanya dolar AS semata-mata.

“Inilah cara bank pusat di seluruh dunia mengukur nilai mata wang mereka, melakukan perbandingan terhadap kumpulan mata wang utama lain yang berdagang dengan negara berkenaan,” katanya.

Rafizi berkata nilai mata wang perlu diukur berbanding penunjuk ekonomi lain, seperti pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, jumlah pelaburan baharu, kadar faedah, kadar pengangguran dan tangga gaji.

Menurutnya, ekonomi Malaysia berkembang pada momentum yang baik bagi tiga suku berturut-turut dengan kadar inflasi terendah sejak 2021.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata prestasi ringgit akan banyak bergantung kepada bila Fed akan menurunkan FFR mereka termasuk serendah  mana dan berapa pantas ia boleh dilakukan. 

Faktor lain ialah kestabilan politik dan dasar domestik, yang mana keazaman untuk melaksanakan reformasi serta kerajaan yang stabil akan memacu ringgit lebih tinggi pada 2024, kata Mohd Afzanizam.

“Setakat ini, kami mengunjurkan mata wang tempatan mencapai RM4.50 berbanding dolar US menjelang akhir 2024,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA