
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Andorra Healthcare Berhad (Andorra) akan membuka tujuh cawangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra yang berkonsepkan mesra syariah di Johor, Kelantan, Pulau Pinang serta Selangor dan dijangka siap dalam tempoh enam tahun bermula tahun depan.
Pengasas Hospital Andorra Dr Khamsiah Muda berkata ia berikutan meningkatnya permintaan yang tinggi daripada golongan wanita di luar Lembah Klang yang turut mahu mendapatkan perkhidmatan Andorra di kawasan mereka, selain menumpukan kawasan berkepadatan tinggi.
“Selepas enam tahun penubuhan Andorra dan kami telah melalui waktu-waktu sukar yang mematangkan kami terutamanya pada zaman pandemik COVID-19, kami kini bersedia untuk berkembang dan kita mahu berkembang secara agresif.
“Hospital-hospital ini bakal melibatkan pertambahan 10 multi-disiplin melibatkan wanita dan kanak-kanak seperti ortopedik, oftalmologi, pembedahan dan lain-lain berbanding tiga multi-disiplin yang ada ketika ini iaitu perbidanan dan sakit puan, pediatrik, serta anestesiologi.
“Selain itu, ia juga akan melibatkan pertambahan katil iaitu 60 hingga 80 katil berbanding 34 katil di hospital sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Media, Pemblog Dan Pempengaruh Sempena Ulang Tahun Keenam Andorra, di sini hari ini.
Dr Khamsiah berkata pihaknya juga bakal mengembangkan lagi perkhidmatan penjagaan kesihatannya dengan membangunkan Hotel ‘Confinement and Spa’ dan Kompleks Klinik Pakar berdekatan hospitalnya di Seri Kembangan dalam masa terdekat.
“Di hotel ini, kami akan sediakan perkhidmatan antaranya pakar psikiatri untuk menilai tahap kesihatan para ibu yang baru melahirkan anak, selain menawarkan sokongan dan pendidikan keibubapaan kepada pasangan suami isteri,” katanya.
Setakat ini, Hospital Andorra telah menyambut 12,000 kelahiran bayi sejak tahun 2017. — BERNAMA










