Agrotech Farming Mahu Laksanakan Pertanian Organik Yang Kos Efektif Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Agrotech Farming and Trading (M) Sdn Bhd (Agrotech Farming) mengadakan perjanjian usaha sama (JV) dengan salah satu koperasi pertanian terbesar di India untuk membawa dan melaksanakan pertanian organik yang inovatif dan kos efektif di Malaysia.

Penasihatnya, SR Naga berkata syarikat itu yang ditubuhkan pada 2022, kini dalam proses memperoleh tanah terutamanya di Selangor dan Perak untuk menjayakan projek tersebut.

Projek berkenaan akan dimulakan dengan tanaman seperti tomato, bendi, cili hijau, keledek, tembikai susu, labu manis, ubi kayu, tembikai wangi dan sayur-sayuran lain yang mendapat permintaan.

Beliau berkata teknologi asli seperti vermikompos dan pengkomposan anaerobik untuk memelihara tumbuhan dan tanah terbukti membantu tanaman menghasilkan tuaian yang lebih baik di India dan ini akan dapat membantu meningkatkan sekuriti makanan negara jika ia dilaksanakan di Malaysia.

“Konsep paling penting ialah melakukannya secara 100 peratus organik, dan memandangkan kos adalah satu faktor, kami mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi di India dan kami menyaksikan salah satu teknik yang digunakan di ladang mereka telah mampu mengurangkan kos bagi menghasilkan organik. Kami tidak sabar untuk mempraktikkan konsep yang sama di Malaysia yang mana kosnya adalah murah untuk pengguna tempatan,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama hari ini.

JV berkenaan ditandatangani di antara SR Naga dan Pengerusi/Pengasas Venkateshwara Co-operative Power & Agro Processing Ltd, Shivaji Dole yang disaksikan oleh dua menteri persekutuan dan dua menteri negeri yang berlangsung di India pada 28 Jan, 2024.

Koperasi Venkateshwara yang berpangkalan di Maharashtra, India, memiliki lebih 75,000 ahli serta 20,000 petani yang terlibat dalam pelbagai jenis aktiviti pertanian pada masa ini. Ia beroperasi di negeri-negeri utama di India.

SR Naga berkata Agrotech Farming juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membincangkan perkara berkenaan pada Jumaat lalu.

“Secara asasnya mereka menyokong kami, mereka menyukai keseluruhan idea dan model projek yang kami akan lakukan ini, jadi apa yang mereka mahu sekarang ialah untuk meneruskan projek itu. Sudah tentu, kami perlu melihat kepada dua perkara, pertamanya ialah untuk memiliki tanah sendiri bagi perladangan dan untuk menjalankan ujian, dan pada masa yang sama, bekerjasama dengan petani-petani tempatan.

“Mereka ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…sudah tentu kami juga sedang berunding dengan mereka. Mereka bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan kami. Jadi kita perlu melakukannya dengan betul. Kita perlu ada persefahaman, kita tidak boleh gagal dalam projek ini,” katanya.

Sekiranya projek itu berjaya, SR Naga berkata ia dijangka menyediakan banyak peluang pekerjaan, termasuk untuk pelajar dan pesara tentera.

“Kami akan melengkapkan mereka dengan latihan, dan kami akan berganding bahu dengan beberapa institut terkenal yang akan memperakui mereka apabila mereka layak dan kami juga akan memperuntukkan kawasan tertentu di tanah kami untuk melatih mereka menjadi usahawan tani,” katanya.

Selain memperkenalkan baja dan racun perosak yang mesra alam menggunakan teknologi, JV itu juga membenarkan syarikat mengimport terus tanaman dari India, yang mendapat permintaan di Malaysia pada masa ini, contohnya seperti bawang dan keperluan makanan lain dari ladang di India di bawah syarikat yang diperbadankan.

“Kami bersedia untuk bekerja dan menyokong pengimport dalam kalangan pemborong tempatan untuk harga yang kos efektif, berurusan secara terus dengan ladang kami (di India). Dengan cara ini, ia akan menjadi (lebih) mampu milik untuk pelanggan kami.

“Dengan kelulusan eksport (yang diberikan) di India khusus untuk syarikat kami mengimport pada kos yang lebih rendah dan kuantiti yang terjamin, ini dapat mengurangkan beban dan membantu negara mendapatkan bekalan yang mencukupi untuk rakyat tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.