60% Bakal Pembeli Rumah Sasar Kediaman bawah RM400,000; Kebimbangan Berterusan Mengenai Kelewatan Projek dan Kualiti Pembinaan

  • 23% responden memilih Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai inisiatif perumahan mampu milik yang memenuhi aspirasi mereka.
  • 59% menyatakan bahawa pembayaran sewa sepatutnya diambil kira dalam skor kredit mereka.
  • 74% lebih terbuka untuk menggunakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGS) jika pinjaman rumah kadar tetap ditawarkan melalui skim tersebut.

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI 2024 PropertyGuru Malaysia telah mengumumkan Kajian Sentimen Pengguna (CSS) H1 2024, yang mendedahkan bahawa 30% daripada responden merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang. Dalam kalangan kumpulan ini, 60% mempertimbangkan untuk membeli rumah bernilai RM400k atau kurang, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia.

Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), berkongsi, “Kajian Sentimen Pengguna (CSS) H1 2024 menyerlahkan permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya di kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa Pandangan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru 2024 menunjukkan penurunan suku kepada suku sebanyak 7.4% dalam Indeks Permintaan Jualan pada Q4 2023. Ini menunjukkan bahawa walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas oleh pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah.”

“Kajian kami juga menunjukkan 60% daripada responden bersetuju bahawa peningkatan kadar cukai perkhidmatan, seperti yang diperkenalkan dalam Bajet 2024, akan mempengaruhi kos pembelian hartanah. Ini akan menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka. Selain itu, harga yang tinggi telah mengalih minat pembeli ke arah pasaran sewa. Trend sewa telah mengekalkan permintaan yang kuat sepanjang 2023 dan dijangka meningkat dalam tempoh yang terdekat. Apabila pasaran berkembang, adalah penting bagi pemain industri untuk memahami keutamaan dan trend pengguna semasa. Ini akan membolehkan mereka menyesuaikan tawaran hartanah mereka dan menyumbang kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia.”

Cabaran Pembelian: Kelewatan Pembinaan Projek dan Kualiti Pembinaan Rendah adalah Kebimbangan Utama

Selain daripada kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah menyatakan kebimbangan tentang kelewatan pembinaan projek (65%) dan kualiti pembinaan rendah (64%) apabila mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan. Kebimbangan ini menonjolkan kepentingan pengurusan projek dan kawalan kualiti, serta keperluan pemaju hartanah untuk menangani isu-isu ini bagi menarik perhatian bakal pembeli rumah.

“Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai telah dikenal pasti di seluruh negara menjelang Jun 2023. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa 66% daripada responden menuntut penguatkuasaan yang lebih baik oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan tertinggi semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP). Demikian juga, 66% menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju untuk melindungi pembeli daripada kehilangan dana disebabkan kebankrapan atau aktiviti penipuan oleh pemaju. Penemuan ini menegaskan kepentingan dasar perumahan yang  lebih kuat untuk melindungi kepentingan pembeli dan meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah,” tambah Sheldon.

Kemampuan: Program Perumahan Meringankan Cabaran Memiliki Rumah

Apabila ditanya tentang inisiatif perumahan yang dilihat sebagai paling berguna, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menjadi pilihan utama bagi 23% daripada responden, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dalam lingkungan usia 30-an. Rumah Selangorku dipilih oleh 15% responden, terutamanya mereka yang berkahwin dengan anak. Akhir sekali, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dipilih oleh 14% responden, terutamanya mereka dari golongan berpendapatan rendah. Penemuan ini menekankan keperluan untuk kerajaan menilai semula inisiatif perumahan bagi memenuhi kehendak kumpulan demografi yang pelbagai. Mereka juga harus bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan kadar pinjaman yang menarik, dan  mengemaskini dasar-dasar bagi memenuhi keperluan perumahan akan datang.

Walaupun inisiatif-inisiatif ini memberikan sokongan penting dalam merealisasikan aspirasi perumahan rakyat Malaysia, kajian PropertyGuru Malaysia menyerlahkan cabaran yang dihadapi individu ketika memohon skim-skim tersebut. Cabaran paling biasa, dilaporkan oleh 46% daripada responden, ialah kesukaran mendapatkan pembiayaan rumah. Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapatnya beberapa skim perumahan, kekangan kewangan disebabkan oleh sejarah kredit yang buruk tetap menjadi halangan bagi ramai bakal pembeli rumah.

“Dalam kalangan penyewa atau mereka yang ingin menyewa, 59% menyatakan bahawa pembayaran sewa harus diambil kira dalam skor kredit mereka. Perkara ini boleh memberikan peluang kepada bakal pembeli rumah untuk membina profil kredit yang kukuh, terutamanya dalam hal membayar hutang. Mengambil kira bahawa ramai orang muda mungkin tidak mempunyai tanggungjawab seperti membayar pinjaman kereta atau pinjaman pendidikan, sejarah kredit mereka mungkin dilihat sebagai terhad. Inisiatif skor kredit ini berpotensi untuk membantu mereka meningkatkan profil kewangan pada tahap yang lebih tinggi,” tambah Sheldon. 

Sementara itu, 74% responden lebih terbuka kepada mengguna Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)  jika pinjaman rumah kadar tetap ditawarkan melalui skim tersebut. Ini menunjukkan keperluan bagi kerajaan untuk memperhalusi insentif perumahan sedia ada agar dapat dimanfaatkan secara efektif oleh bakal pembeli rumah. Selain itu, 66% daripada responden akan lebih cenderung untuk memohon SJKP jika proses permohonan dipermudahkan dan melibatkan bank atau institusi kewangan (64%). Penemuan ini mendedahkan kepentingan kelancaran dan aksesibiliti dalam mempromosikan inisiatif perumahan kepada semua.

Keberkesanan Kos: Pilihan Responden dalam Ciri-ciri Hartanah

Bagi menurunkan harga jualan hartanah kediaman, 37% responden berpendapatan rendah dan 40% responden berpendapatan sederhana bersedia untuk mengabaikan beberapa kemudahan. Ini termasuk dek yoga (42%), jakuzi (38%), gelanggang tenis (29%), kolam renang (24%), gimnasium, dan tempat letak kereta yang ditetapkan (23%). Penemuan ini mencerminkan perubahan dalam keutamaan pengguna ke arah rasional yang berorientasikan nilai, menekankan ciri-ciri hartanah yang penting sambil mematuhi bajet tersendiri. Sementara itu, 62% responden, terutamanya dalam kalangan berpendapatan sederhana, percaya bahawa rumah dengan ciri-ciri hijau akan membantu mengurangkan kos operasi hartanah dalam jangka panjang.

Sewa: Perubahan dalam Keutamaan Perumahan

50% daripada mereka yang bercadang untuk membeli rumah selepas satu tahun atau mereka yang tidak mempunyai niat membeli, mempunyai rancangan untuk menyewa pada masa depan. Ini terutamanya popular dalam kalangan generasi muda Malaysia. Di antara mereka yang bercadang untuk menyewa, 69% memperuntukan RM1,500 atau kurang bagi bajet sewa bulanan. Sementara itu, lebih daripada 90% penyewa semasa membayar jumlah yang sama dan 35% daripada mereka yang berpendapatan rendah membayar kurang dari RM500 sebulan. Adalah penting bagi pihak kerajaan untuk mengetahui bahawa penyewa juga menghadapi cabaran mencari perumahan dalam lingkungan bajet mereka.

Sementara itu, 29% penyewa semasa sedang mempertimbangkan untuk meneruskan tempoh sewa mereka sehingga dua tahun sebelum membeli rumah. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti simpanan yang tidak mencukupi untuk membeli hartanah (74%), peningkatan harga hartanah (33%), dan tiada keperluan segera untuk membeli hartanah (29%). Kajian juga menekankan bahawa dalam kalangan penyewa dan mereka yang ingin menyewa, 48% berasa bahawa keperluan deposit 2+1 merupakan beban kewangan, manakala 45% menghadapi kesulitan dalam perundingan harga sewa. Situasi ini memerlukan perubahan dasar bagi menangani cabaran-cabaran demi menjadikan pasaran sewa lebih mudah diakses dan telus .

Apabila membicarakan tentang harapan pengawalseliaan sekitar pasaran sewa, 53% daripada responden menyokong penyertaan skim sewa beli (RTO) dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12. Skim ini membolehkan penyewa membina ekuiti dari semasa ke semasa dan pada akhirnya memiliki hartanah bagi mereka yang tidak mampu menanggung kos pendahuluan. Tambahan lagi, 36% menyatakan ketidakupayaan untuk menyimpan wang pendahuluan sebagai faktor utama. Skim ini mungkin membantu mempromosikan pilihan sewa mampu milik yang memenuhi keperluan kewangan penyewa sambil membenarkan mereka memiliki hartanah pada masa hadapan kelak.

“Berdasarkan penemuan kajian, adalah jelas bahawa kerajaan dan pemaju mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan pengguna hartanah yang sedang berubah di Malaysia. Permintaan yang besar untuk hartanah bawah RM400,000 menekankan keperluan bagi pemaju melancarkan lebih banyak pilihan perumahan mampu milik yang disokong oleh insentif kerajaan. Selain itu, kerajaan perlu menilai semula skim-skim perumahan mampu milik  sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan mereka dan memastikan mereka lebih menarik dan mudah diakses. Hal ini boleh menggalakkan lebih banyak bakal pembeli rumah untuk memohon. Dengan kelestarian menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian, pemaju digalakkan untuk menyertakan lebih banyak ciri-ciri hijau pada projek mereka. Pada masa yang sama, kerajaan harus mempertimbangkan insentif cukai kelestarian bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak pemaju. Penemuan ini menyediakan asas bagi membentuk pasaran hartanah yang lebih inklusif dan mampan di Malaysia,” kata Sheldon.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman