Pelaburan RM62 Juta Bagi Kembangan Gloria Jean’s Coffees, 1901 Frankfurters

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan syarikat milik penuh Pernas, Malaysia International Franchise Sdn Bhd akan melabur RM62 juta bagi pengembangan Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu bagi menambah 50 cawangan Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah cawangan 1901 Frankfurters pada tahun ini sehingga 2029.

Beliau berkata unjuran pulangan jualan (masing-masing) sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean’s Coffees dan RM600,000 setahun untuk 1901 Frankfurters dijangka mewujudkan sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

“Saya berharap ini menjadi titik tolak penting dalam mencetuskan minat masyarakat terhadap keusahawanan francais, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan premis ‘flagship’ 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees di Menara Pernas disini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk R Ramanan dan Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin.

 Mengulas selanjutnya, Ewon juga menyifatkan langkah itu dapat memastikan ekosistem keusahawanan francais negara ini terus berkembang secara teratur, selaras dengan Dasar Francais Negara 2030 yang sedang dimuktamadkan.

Dasar itu juga sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam industri francais negara.

Malah, katanya, Jemaah Menteri turut bersetuju meletakkan pemusatan tadbir urus dan kawal selia industri berkenaan menerusi Akta Francais 1998 di bawah Kuskop bagi menjadikan ekosistem keusahawanan yang lebih holistik.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Dari Gaji Cukup-Cukup, Kini Ada Duit Lebih. Apa Yang Kita Buat Untuk Upgrade Hidup?

Masa mula-mula kerja dulu, gaji aku cukup-cukup makan. Beli barang murah, makan pun janji kenyang. Tapi bila kerjaya makin stabil, income pun naik sikit demi sikit.

Kat sinilah ramai orang mula terjebak bila gaji naik, tapi duit entah ke mana. Kereta tukar, baju penuh almari, makan luar setiap hari. Akhirnya, “duit lebih” tu tak pernah terasa.

Kita tak nak ulang silap itu. Jadi bila income naik, kita mula buat beberapa perubahan kecil yang akhirnya ubah hidup kita.

1. Pilih Kualiti, Bukan Kuantiti

Dulu baju cepat lusuh sebab beli yang murah. Sekarang beli sikit je, tapi jenama berkualiti. Tahan lama, nampak kemas. Sama juga dengan gadget tak perlu setiap tahun tukar, asalkan boleh pakai lama.

Hasilnya, jimat jangka panjang dan tak perlu shopping tanpa henti.

2. Jaga Badan Dengan Lebih Serius

Bila ada duit lebih, mula pilih makanan lebih sihat. Pergi gym, buat medical check-up tahunan. Memang nampak kecil, tapi tenaga itu lain macam.

Bila badan sihat, kerja juga lebih produktif.

3. Beli Balik Masa

Kerja makin sibuk, jadi kita upah cleaner seminggu sekali. Kadang groceries juga kita beli online. Masa yang kita jimat, kita guna untuk baca buku kewangan, rehat, atau luang masa dengan keluarga.

Duit boleh cari lagi, masa tak boleh beli balik.

4. Upgrade Tidur

Kita pernah sakit belakang sebab tilam lama. Jadi kita invest dalam tilam dan bantal yang betul-betul selesa. Hasilnya tidur lebih nyenyak, bangun pagi badan segar.

Tidur berkualiti maka fokus dan emosi stabil.

5. Labur Pada Pengalaman

Daripada asyik beli barang, guna duit itu untuk pergi melancong dan hadir seminar. Bukan saja dapat pengalaman baru, tapi dapat kenal orang baru yang akhirnya buka peluang bisnes.

Barang boleh hilang, tapi pengalaman kekal dan dapat tambah nilai diri.

6. Naikkan Level Kewangan

Mula diversify pelaburan sikit dalam simpanan kecemasan, sikit dalam saham, sikit dalam unit trust. Kita juga cari penasihat kewangan lebih berpengalaman.

Income naik, tapi kalau ilmu kewangan sama, kita akan stuck.

7. Tukar Circle Sosial

Kurang keluar dengan geng yang suka “burn duit” setiap hujung minggu. Sebaliknya join komuniti bisnes dan pelaburan. Energy mereka buat kita lebih fokus nak capai target besar.

Circle kita tentukan hala hidup kita.

8. Asah Skill Baru

Kita sedar dunia kerja cepat berubah. Jadi ambil kursus online, improve komunikasi dan leadership. Skill ini jadi “backup plan” bila industri berubah.

Ilmu dan skill tak pernah rugi.

9. Jaga Mental Dan Emosi

Luangkan sikit masa untuk therapy bila perlu dan mula ambil hobi macam hiking. Mental lebih tenang, keputusan kewangan pun lebih bijak.

Mental sihat maka hidup lebih seimbang.

10. Upgrade Rumah

Ubah sikit demi sikit, lighting lebih selesa, kerusi office ergonomic, ruang kerja lebih kemas.

Rumah yang tenang buat kita lebih fokus dan gembira.

Kesimpulannya bila income naik, sebenarnya itu peluang untuk naikkan standard hidup dari semua sudut kesihatan, kewangan, masa, circle, mentaliti.

Perubahan kecil yang aku buat ni beri impak besar. Bezanya, dulu kita cuma “nampak macam cukup”, sekarang kita betul-betul rasa hidup lebih berkualiti.