SC Lancar Buku Mengenai Pertumbuhan Pasaran Modal Malaysia Selama 30 Tahun

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan buku Capital Market in Malaysia – Past, Present, and Future yang memaparkan pertumbuhan pasaran modal Malaysia selama 30 tahun dan trend global yang semakin berkembang yang akan membantu membentuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin menyifatkan buku itu sebagai hadiah kepada kakitangan SC pada masa ini dan akan datang, membolehkan mereka untuk memahami mengapa wujudnya dasar tertentu dan bagaimana SC beroperasi.

“Anda belajar daripada masa lalu, teruskan peranan itu dan jadilah sebahagian daripada warna-warni ini. Kepada generasi muda, bukan apa-apa usaha yang anda lakukan sahaja penting, malah usaha yang dilaksanakan oleh orang lain sebelum anda, perlu sama dititikberatkan,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku itu di sini hari ini.

Awang Adek turut menegaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk menulis prakata dalam buku itu, dan itulah yang sewajarnya memandangkan beliau menubuhkan SC dan menjadi sebahagian besar daripada sejarah SC.

Buku Capital Market in Malaysia – Past, Present, and Future yang memaparkan wawasan yang mendalam mengenai pasaran dan pengawal selianya, dilancarkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. 

SC menerbitkan buku itu  bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-30 pada 2023.

Sultan Nazrin bertitah buku ini benar-benar memberi penghargaan yang sewajarnya terhadap kewibawaan sesebuah pasukan — dengan cara pemikiran, pendapat dan bakat individu bersatu sepanjang beberapa dekad, untuk membina SC sehingga menjadi sebuah badan kawal selia yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Buku setebal 420 halaman itu, yang ditulis oleh wartawan veteran Jennifer Jacobs, adalah berdasarkan wawancara dan perbualan terkini bersama semua mantan pengerusi SC termasuk pengerusi semasa, pengurusan kanan SC pada masa lalu dan semasa, pakar industri, cendekiawan, pengawal selia yang lain serta pihak berkepentingan utama.

Beberapa cerapan mereka dikongsi secara terbuka buat pertama kalinya, termasuk pengalaman menangani Krisis Kewangan Asia 1997/98 dan isu-isu mendesak lain sambil memastikan pasaran terus beroperasi dan pelabur kekal dilindungi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — Kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terus komited membangunkan ekosistem kewangan Islam yang komprehensif untuk menarik pelabur, khususnya dari Rusia melabur dalam sektor kewangan Islam di Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata SC telah menerajui beberapa inisiatif strategik rentas sempadan, antaranya rancangan lawatan penerokaan ke rantau Asia Tengah pada 2026 atau 2027 di bawah agenda pengantarabangsaan pasaran modal Islam (PMI).

Ia bertujuan menilai kesediaan pasaran, memperkukuh jaringan pihak berkepentingan dan membangunkan ekosistem kewangan Islam yang menghubungkan Malaysia dengan rantau tersebut, termasuk Rusia.

Menurut kementerian itu, Malaysia juga berpeluang memperluas eksport kepakaran syariah susulan minat yang ditunjukkan oleh Ketua Republik Tatarstan pada Mei 2025 untuk menerima pakai model pembangunan kewangan Islam Malaysia.

“Peluang ini merangkumi penyediaan perkhidmatan profesional seperti khidmat nasihat syariah, perundingan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Usaha itu disokong melalui beberapa siri pertemuan dua hala yang telah diadakan oleh SC bersama Bank Pusat Rusia dan The Saint Petersburg International Mercantile Exchange (SPIMEX) pada 2023 dan 2025,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah konkrit kerajaan untuk menggalakkan pelabur dari Rusia melabur dalam sektor kewangan Islam di Malaysia dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global serta menarik aliran modal asing berteraskan prinsip syariah.

Selain itu, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa SC akan terus memperkukuh daya saing Malaysia melalui pengukuhan rangka kerja kawal selia, inovasi produk dan perluasan kerjasama antarabangsa, di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP 2026-2030).

Katanya kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaburan yang sah dan produktif dari Rusia, tertakluk kepada undang-undang domestik serta piawaian antarabangsa yang berkaitan.

“Secara keseluruhannya, pendekatan proaktif Malaysia bukan sahaja bertujuan menarik aliran modal asing, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pelabur Rusia dengan pasaran global dalam ekosistem kewangan mampan, telus dan inklusif selaras dengan prinsip Maqasid al-Syariah,” katanya.

— BERNAMA