Malaysia Tidak Akan Berdepan Krisis Imbangan Pembayaran – Timbalan Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Malaysia tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran (BOP) kerana negara sentiasa mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar.

Beliau berkata bank pusat juga menjangkakan negara sekali lagi akan merekodkan lebihan baki akaun semasa tahun ini disumbang oleh perolehan daripada pelancongan dan pulangan lebih tinggi daripada eksport berbanding import.

“Kita mencatatkan lebihan baki akaun semasa sejak 28 tahun lepas,” katanya pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, dan Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 BNM, di sini, hari ini.

Selain unjuran pemulihan eksport oleh bank pusat, beliau berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang pertukaran asing yang besar kepada negara.

“Tahun lepas, 20.1 juta pelancong datang ke Malaysia, dan tahun ini, kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya) menjangkakan kira-kira 27 juta pelancong.

“Dengan kemasukan tanpa visa untuk pelancong China dan ringgit yang bernilai rendah ketika ini, Malaysia terus menjadi tarikan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai imbangan pembayaran negara dan sama ada terdapat kemungkinan Malaysia akan berdepan krisis BOP sama seperti yang dialami  Sri Lanka.

Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi dan Moneteri 2023 BNM berkata akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8 peratus hingga 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

BNM berkata lebihan itu merupakan peningkatan berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada tahun lepas yang merupakan imbangan akaun semasa paling rendah pernah dicatatkan sejak 1997 (-5.9 peratus).

Menurut laporan itu, peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh lebihan akaun barangan yang lebih tinggi dan defisit akaun perkhidmatan yang lebih rendah.

“Akaun barangan diunjur mencatatkan lebihan lebih tinggi berikutan pemulihan pertumbuhan eksport yang lebih daripada mengimbangi pemulihan pertumbuhan import,” kata BNM.

BOP menyediakan maklumat terperinci tentang permintaan dan penawaran mata wang sesebuah negara.

Jika sesebuah negara bergelut dengan masalah BOP yang besar, ia mungkin tidak dapat mengembangkan import dari dunia luar manakala negara yang mengalami lebihan BOP yang ketara berkemungkinan besar dapat mengembangkan importnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA