Tesla Kurangkan Harga Jualan Dua Model EV Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Tesla menurunkan harga dua model keretanya, Model 3 dan Model Y sebanyak RM8,000, seiring dengan usahanya meningkatkan peralihan global ke arah penggunaan tenaga mampan dan menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik (EV). 

Pengeluar kereta elektrik itu berkata penurunan harga itu menjadikan EV Tesla lebih berpatutan dan mampu dibeli oleh kalangan pengguna yang lebih meluas.

“Berkuat kuasa hari ini, Model 3 dan Model Y, masing-masing berharga RM181,000 dan RM191,000, dan pelanggan kini boleh memesan kedua-dua model itu di pusat pengalaman Tesla atau menerusi laman web rasmi Tesla.

“Kenderaan Tesla layak mendapat pengecualian duti import dan eksais penuh, serta pengecualian cukai jalan 100 peratus, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan berkaitan pengecasan EV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tesla harga untuk Model 3 (tidak termasuk yuran pendaftaran atas jalan) bermula daripada RM181,000 bagi Model 3 (pacuan roda belakang) dan RM210,000 untuk Model 3 Jarak Jauh (pacuan semua roda).

Bagi harga Model Y (tidak termasuk yuran pendaftaran atas jalan), ia bermula pada RM 191,000 untuk Model Y (pacuan roda belakang); RM 238,000 untuk Model Y Jarak Jauh (pacuan semua roda) dan RM 280,000 untuk Model Y Performance (pacuan semua roda).

Ia berkata melalui aplikasi Tesla, pengguna boleh mencari, menavigasi dan memantau status pengecas super dengan mudah, dengan proses pembayaran secara automatik bagi setiap penggunaan sebanyak RM1.25 setiap kilowatt jam.

Setakat hari ini, Tesla mempunyai tujuh stesen pengecas super (36 pengecas) dan 10 stesen pengecas destinasi (61 pengecas) di Malaysia.

“Dengan pengembangan berterusan untuk memudahkan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, kini terdapat 11 stesen pengecasan super dan sembilan stesen pengecasan destinasi.

“Tesla komited untuk terus memajukan infrastruktur pengecasannya di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk Tesla di seluruh rantau,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/