Kerajaan Setuju Benarkan PMKS Keluarkan e-Invois Yang Disatukan – Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — Kerajaan bersetuju membenarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeluarkan e-Invois yang disatukan iaitu yang menggabungkan semua urus niaga jualan setiap bulan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata PMKS hanya perlu dikemukakan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh tujuh hari pertama dalam bulan berikutnya.

“Kerajaan sedar akan cabaran yang akan dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois ini terutamanya peningkatan kos operasi, penerapan teknologi, dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta menyatakan perincian usaha kerajaan untuk menjelaskan dan membantu para pengusaha PKS dalam pelaksanaan e-Invois serta kaedah kawalan kos penyelenggaraan sistem tersebut.

Beliau berkata terdapat dua kaedah penghantaran e-invois kepada LHDNM; penghantaran data melalui Portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS) yang tidak melibatkan kos tambahan; atau integrasi sistem perakaunan perniagaan dengan sistem My Invois.

Peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, insentif cukai telah disediakan termasuk pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2024.

Peniaga juga katanya akan menikmati potongan cukai sehingga RM50,000 bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 hingga 2027.

“Kerajaan turut mengambil maklum proses untuk mengadaptasi e-Invois memerlukan tempoh masa yang panjang berikutan cabaran dan kekangan yang dihadapi terutamanya kepada peniaga kecil seperti peniaga goreng pisang, gerai tepi jalan atau perniagaan dari rumah ke rumah.

“Buat masa ini, peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois. Namun, kerajaan menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan memastikan tempoh peralihan kepada e-Invois dapat dilaksanakan secara lebih fleksibel dengan mengambil pendekatan “didik dan perbetul”, di samping terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk PMKS dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama