TGIF Malaysia Tidak Terjejas Dengan Penyusunan Semula TGIF Inc


KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) –TGI Fridays (TGIF) Malaysia memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa restoran francais tempatan itu kekal beroperasi sepenuhnya dan tidak terjejas oleh pemfailan Chapter 11 (bankrap) oleh TGIF Inc. di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Techna-X Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya Craveat International Sdn Bhd, pemegang francais induk dan pemaju TGIF Malaysia, mengesahkan operasinya kekal stabil serta bakal membuka cawangan baharu tidak lama lagi.

TGIF Malaysia merancang untuk membuka cawangan baharu di Mid Valley Megamall pada November 2024, membuka semula cawangan Sunway Pyramid pada Disember 2024 dan melancarkan cawangan baharu di Putrajaya menjelang separuh pertama 2025

Craveat International beroperasi di bawah perjanjian francais dengan TGI Fridays Franchisor, LLC, yang berasingan daripada TGIF Inc. dan tidak terjejas oleh penstrukturan semula syarikat di AS itu.

“TGI Fridays Franchisor, LLC telah memfrancaiskan jenama itu kepada 56 pemegang francais di 41 negara. Lokasi francais ini, domestik dan antarabangsa, dimiliki secara bebas dan tidak termasuk dalam proses Chapter 11 TGIF Inc” kata Techna-X.

TGIF Inc. yang menyelia 39 restoran milik korporat di AS, memfailkan perlindungan Chapter 11 pada 2 Nov, 2024, di Dallas, Texas. Pemfailan ini membolehkan TGIF Inc. menyusun semula operasi kewangannya untuk memastikan kestabilan jangka panjang.

“Pemfailan itu hanya melibatkan restoran milik korporat di AS, manakala lokasi francais lain di seluruh dunia tidak terjejas,” kata kenyataan itu.

Untuk memastikan kesinambungan bagi francaisi di seluruh dunia, Techna-X berkata TGI Fridays Franchisor, LLC telah melaksanakan perjanjian perkhidmatan peralihan untuk mengekalkan perkhidmatan sokongan dalam tempoh ini bagi memastikan operasi francais, termasuk di Malaysia, diteruskan tanpa gangguan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ATLAS Vending Lancar ‘Nutri-Aid’ Sebagai Penyelesaian Berasaskan Teknologi Untuk Menangani Ketidaksamaan Pemakanan di Sekolah Malaysia

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang mesin layan diri milik Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan ATLAS Nutri Aid di Kilang Susu Goodday di Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan menangani ketidaksamaan pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar untuk menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma kepada pelajar yang memerlukan. Bagi ramai kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada pemakanan harian masih merupakan cabaran yang senyap tetapi kritikal. Inisiatif ini memastikan nutrisi tenusu asas bukan sahaja tersedia, malah boleh diakses secara berterusan di persekitaran sekolah dan komuniti.

Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan penglibatan pelajar yang tinggi serta peningkatan konsistensi transaksi. Susulan keputusan positif tersebut, program ini akan diperluaskan melalui pemasangan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih.

Inisiatif ini turut disokong oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam pembiayaan, penyelarasan komuniti dan mengenal pasti penerima yang layak, bagi memastikan program ini sampai kepada kanak-kanak yang paling memerlukan.

ATLAS Nutri Aid berteraskan komitmen untuk menangani cabaran kesihatan kompleks yang dihadapi belia Malaysia, khususnya isu “kelaparan tersembunyi” (hidden hunger) dan krisis terbantut (stunting) yang semakin membimbangkan. Tidak seperti negara jiran yang menunjukkan kemajuan sejak tahun 2000, kadar stunting kanak-kanak di Malaysia terus meningkat dan mencapai 24% pada tahun 2024, mengatasi Indonesia (23%), Kemboja (22%), Vietnam (19%), Thailand (12%) dan Singapura (3%). Ini menunjukkan satu kebimbangan kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan dapatan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih 70% kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian yang disyorkan bagi Kalsium dan Vitamin D.

Dengan peningkatan kos sara hidup, ramai keluarga B40 menghadapi cabaran besar untuk menyediakan makanan seimbang, dengan kadar kelaparan kanak-kanak dilaporkan mencecah 58.4% di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah. ATLAS Nutri Aid menangani isu ini dengan membekalkan susu Goodday Charge Milk secara percuma melalui mesin layan diri. Produk susu di bawah portfolio Etika ini diformulasikan khusus untuk meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan tulang dan memperbaiki fungsi kognitif menerusi gabungan 10 nutrien penting yang membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Bagi ramai keluarga, menyediakan pemakanan harian bukanlah sesuatu yang sentiasa terjamin dan itu tidak sepatutnya menjadi halangan kepada tumbesaran kanak-kanak,” kata Hemalatha Ragavan, Ketua Pegawai Eksekutif Etika & International Exports. “Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada sesuatu yang asas seperti susu pada setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan teknologi dan tujuan, kami dapat menyampaikan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan berimpak. Ini juga akan membantu meningkatkan kehadiran ke sekolah supaya generasi masa depan kita tidak terlepas peluang pembelajaran.”

Memperluaskan kerangka Hygiene Aid, ATLAS Nutri Aid menggunakan mesin layan diri pintar proprietari dan sistem kad “tap-and-go” yang lancar untuk memberikan akses pemakanan harian secara telus dan bersasar kepada pelajar. Dengan menyelaraskan kad dengan kalendar sekolah, sistem ini memastikan pengagihan yang konsisten pada hari persekolahan sambil mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan. Mekanisme berasaskan data ini membolehkan ATLAS Vending memantau impak program dengan berkesan, sambil memberikan pengalaman yang bermaruah dan berdikari kepada kanak-kanak.

Muhammad Syazwan Bin Mohd Daut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata, “Misi YRMS sentiasa tertumpu kepada membangunkan potensi belia. Pemakanan yang baik adalah asas kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berjaya di sekolah. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, tetapi menghapuskan halangan penting kepada pendidikan dan memberikan tenaga serta peluang yang sewajarnya untuk mereka mencapai impian.”

Inisiatif ATLAS Nutri Aid mencerminkan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan tumpuan di dalam kelas dan perkembangan fizikal generasi akan datang. Dengan menyediakan sumber nutrisi yang boleh dipercayai, program ini membantu merapatkan jurang penting dalam kesihatan kanak-kanak sambil menyokong keluarga kurang mendapat perhatian yang berdepan tekanan ekonomi.

Pada terasnya, ATLAS Nutri Aid dibina atas satu kepercayaan mudah: setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar, belajar dan berkembang maju, bermula dengan pemakanan yang baik.