Jumlah Jualan Kenderaan Baharu Dijangka Turun Kepada 755,000 Unit Pada 2025 – CIMB Securities


KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk jualan kenderaan baharu dijangka turun sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada 755,000 unit pada 2025 berbanding 790,000 unit pada 2024, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata penurunan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2025 dan semakan semula kaedah perkiraan nilai pasaran terbuka (OMV) yang akan meningkatkan duti eksais secara berkesan.

Memetik Persatuan Automotif Malaysia Malaysia (MAA), firma penyelidikan itu berkata semakan pengiraan OMV boleh menaikkan purata harga jualan kenderaan pemasangan tempatan sebanyak lapan hingga 20 peratus walaupun pelaksanaannya telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.

OMV merujuk kepada jumlah nilai kenderaan yang dipasang secara tempatan pada peringkat ‘ex-factory’ (menghasilkan produk mengikut spesifikasi yang dipersetujui).

“Walaupun menghadapi cabaran ini, menghapuskan subsidi RON95 boleh mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).

“Kami juga menjangkakan penggunaan BEV yang lebih tinggi pada 2025, didorong oleh pelancaran model baharu, peserta baharu dan persaingan semakin meningkat dalam kalangan penggiat kenderaan elektrik menjelang pengecualian duti untuk model import yang akan berakhir pada 2026, selepas itu pemasangan tempatan akan diutamakan,” katanya.

CIMB Securities berkata permintaan untuk jenama nasional seperti Proton dan Perodua dijangka kekal kukuh, disokong oleh pembeli kali pertama dan segmen ‘mass-market’ (segmen pasaran besar-besaran) selain rancangan kerajaan untuk mengekalkan subsidi untuk 85 peratus pengguna RON95 di bawah Belanjawan 2025. .

“Justeru, kami menjangkakan jenama nasional mengekalkan penguasaan mereka, menguasai 65 peratus bahagian pasaran berbanding 35 peratus untuk jenama bukan nasional pada 2025,” katanya.

Sementara itu, CIMB Securities mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih tiga peratus bagi sektor automotif pada 2025 daripada penguncupan 23 peratus pada 2024, kebanyakannya didorong oleh pendapatan Sime Darby yang lebih tinggi menerusi UMW, peningkatan jualan dan penyewaan peralatan serta pemulihan bahagian motor di China kerana kawalan kos yang lebih baik dan pemulihan ekonomi.

“Selain itu, pakar ekonomi kami mengunjurkan potensi pengukuhan ringgit berbanding dolar US pada 2025, didorong oleh jangkaan akan berlaku penuurnan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Pengukuhan mata wang ini boleh menyokong pertumbuhan keuntungan bersih bagi sektor automotif pada 2025,” katanya.

Sehubungan itu, CIMB Securities telah mengekalkan penarafan “neutral” pada sektor tersebut berikutan prospek pertumbuhan yang lemah dalam keadaan persaingan pasaran semakin sengit.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian