Pengeluaran PROTON e.MAS 7 Dipertingkat Susulan Permintaan Tinggi

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) — Proton Holdings Bhd (Proton) sedang meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) e.MAS 7 dengan tambahan 3,000 unit bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan 3,000 tempahan bagi kenderaan itu dalam tempoh enam bulan, tetapi ia telah melepasi sasaran dalam tempoh kurang sebulan.

“Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.

“Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran  terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.

“Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70. Apa yang penting adalah matlamat negara yang sedang menuju ke arah Mobiliti Karbon Sifar,” katanya.

Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia  merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.

Ditawarkan dua varian iaitu Prime pada harga bermula RM109,800 dan Premium (RM123,800).

Ia dilengkapi dengan sistem motor 12 dalam 1, audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Generali Malaysia Lancar Pelan Perlindungan Baharu untuk Keluarga Kurang Berkemampuan

Kuala Lumpur – Generali Malaysia, dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (“AmanahRaya”), Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, hari ini melancarkan Gen Sinar, pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka untuk memperkasa keluarga kurang berkemampuan dengan perlindungan kewangan. Pelan ini bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Generali Malaysia ini diadakan di Kompleks Komuniti Muhibbah dan dihadiri oleh AmanahRaya, wakil Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia(PIAM), rakan UNDP, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, ahli media dan masyarakat  tempatan

Gen Sinar dibangunkan berasaskan pemahaman terhadap cabaran dan aspirasi komuniti kurang berkemampuan yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan yang lebih baik. Walaupun keperluan asas harian terus menjadi keutamaan bagi kebanyakan keluarga, terutamanya keluarga dengan penyara tunggal, mereka juga memikirkan kestabilan kewangan jangka panjang dan situasi tidak dijangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kesejahteraan keluarga

Di Malaysia, akses terhadap perlindungan kewangan yang mencukupi dan mampu milik bagi keluarga kurang berkemampuan masih terhad, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan yang tidak dijangka. Menyedari cabaran ini, Gen Sinar diperkenalkan bagi membantu merapatkan jurang tersebut dengan menyokong kesinambungan pendidikan anak-anak dan memperkukuh daya tahan kewangan keluarga untuk masa hadapan.

“Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berasaskan model bukan untung. Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan ialah kunci dalam memutuskan kitaran kemiskinan. Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga yang kurang berkemampuan, kami berhasrat untuk memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar,” ujar Fabrice Benard, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad.

Gen Sinar diwujudkan dengan matlamat untuk membantu melindungi masa hadapan kanak-kanak melalui sokongan pendidikan yang berterusan. Matlamat ini selaras dengan The Human Safety Net (THSN), sebuah gerakan global Generali yang komited untuk memperkasa komuniti rentan. Dengan bayaran serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak dan surat ikatan amanah serta cukai perkhidmatan 8%, Gen Sinar menyediakan sokongan kewangan yang praktikal bagi membantu keluarga yang berdepan situasi tidak dijangka. Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, pelan ini menyediakan manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Selain itu, setiap anak turut layak menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga berumur 18 tahun, dengan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM100,000.       

Selain itu, Gen Sinar turut menawarkan manfaat rundingan teleperubatan percuma bagi isu kesihatan fizikal dan mental yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan mendapatkan akses awal kepada nasihat perubatan. Melalui kemudahan ini, peserta dan ahli keluarga mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan yang berkelayakan menerusi panggilan telefon atau video. Kemudahan ini menyediakan sehingga dua sesi rundingan setahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik.

Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar diuruskan oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah. Inisatif ini mencerminkan kerjasama erat antara Generali dan AmanahRaya yang dibina berlandaskan aspirasi bersama untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti dan masa hadapan anak-anak. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak komited untuk memastikan dana yang diperuntukkan dilindungi, diurus secara telus dan dipegang secara amanah bagi tujuan pendidikan anak-anak.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama bagi memastikan keluarga kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam mendapatkanperlindungan kewangan dansokongan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya memikul tanggungjawab yang lebih luas, bukan sahaja dalam melindungi kepentingan benefisiari, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh. Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, di samping memastikan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus dengan telus untuk manfaat masa hadapan  mereka,” ujar Jack Yap Ngee Heong, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad.

Untuk maklumat lanjut mengenai Gen Sinar, sila layari https://www.generali.com.my/travel-personal-accident/gen-sinar-bm