
Petaling Jaya, 25 September 2025 – Luno, bursa aset digital (DAX) terkemuka yang dikawal selia di Malaysia, terus mengukuhkan dan menekankan komitmennya dalam membentuk ekosistem aset digital yang semakin matang melalui penganjuran Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC). Persidangan sulung dan berprestij ini, yang julung kali diadakan khusus untuk institusi kewangan di Malaysia, mengetengahkan peranan strategik aset digital dalam usaha mempelbagaikan portfolio institusi. Inisiatif ini sekali gus mengangkat kepimpinan Malaysia dalam bidang inovasi kewangan melalui sokongan proaktif terhadap aset digital yang dikawal selia.
Lebih daripada 300 inovator, pengurus dana institusi, penasihat kewangan, pengawal selia dan perintis Web3 dari seluruh rantau telah berhimpun untuk membincangkan amalan terbaik dalam aspek pematuhan, keselamatan dan pengurusan risiko. Persidangan ini turut menumpukan kepada pemetaan momentum global terhadap penerimaan institusi, di samping meneroka peluang unik serta kelebihan tempatan dalam bidang aset digital, seperti kepimpinan Malaysia dalam memajukan inovasi teknologi kewangan Islam di peringkat global.
“Dengan mata wang digital, kewangan ternyahpusat dan teknologi blockchain yang memacu inovasi, aset digital kini merupakan kelas aset berkembang yang mesti diterima untuk kemampanan jangka panjang. LIDAC 2025 menyediakan platform untuk memperdalam pemahaman, bertukar-tukar idea, dan meneroka bagaimana institusi boleh mengintegrasikan aset digital secara bertanggungjawab ke dalam penawaran mereka,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, dalam ucapan pembukaannya.
Menampilkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kewangan digital
Semasa persidangan, James Lanigan, Ketua Pegawai Eksekutif Luno, menekankan kedudukan aset digital sebagai kelas aset versatil bertaraf institusi, sambil menyorot kerjasama Luno dalam ekosistem Malaysia bagi memacu gelombang pertumbuhan seterusnya. Dalam menggariskan transformasi perspektif terhadap aset digital, Dr Wong Huei Ching, Pengarah Eksekutif, Strategi Digital & Inovasi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), memberikan gambaran tentang pendirian pengawalseliaan SC, serta menekankan kepentingan prinsip asas dalam memupuk inovasi kewangan digital yang bertanggungjawab.
“Ekosistem aset digital telah berkembang daripada penglibatan berasaskan pelabur runcit kepada penerimaan institusi. Kini, wujud keperluan mendesak untuk menyelaraskan inovasi dengan integriti melalui pendekatan pengawalseliaan yang kolaboratif dan kondusif. Menerusi Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC), kami berhasrat untuk memainkan peranan proaktif dalam menampilkan potensi dan kelayakan Malaysia sebagai peneraju inovasi kewangan, di samping memajukan landskap aset digital negara,” kata Scarlett Chai, Pengurus Negara Luno Malaysia.
Dalam meneroka faktor makro yang mendorong minat institusi terhadap aset digital, Jeff Yew, Ketua Pegawai Eksekutif Monochrome Asset Management, membincangkan evolusi produk dan perkhidmatan bertaraf institusi, selain menekankan potensi institusi Malaysia dalam bidang aset digital. Menyentuh aspek kewangan Islam, Tan Sri Dato Dr Mohd. Daud Bakar, Pengerusi Amanie Advisors, berkongsi pandangan mengenai integrasi prinsip Syariah dalam ekosistem aset digital, yang menegaskan kepimpinan Malaysia dalam memajukan inovasi teknologi kewangan Islam di peringkat global.
Mengorak langkah ke Suku Keempat dan 2026
LIDAC 2025 diadakan selepas setahun yang produktif bagi Luno Malaysia, dengan pelancaran Luno Bundles pada akhir 2024. Produk ini menawarkan pulangan yang mencerminkan prestasi keseluruhan pasaran kripto dengan merangkumi antara 5 hingga 10 mata wang kripto berprestasi tertinggi berdasarkan modal pasaran. Tahun 2025 juga menyaksikan pelancaran Algorand (ALGO), NEAR Protocol, Hedera (HBAR) dan The Graph (GRT), menjadikan jumlah keseluruhan penawaran di bursa meningkat kepada 22 aset digital.
Sejak 2019, Luno telah membolehkan, memperkasakan, dan menyokong kira-kira 2 juta rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dengan aset digital secara selamat dan terjamin. Melalui penganjuran LIDAC, Luno kini melangkah ke fasa baharu dalam usaha memajukan ekosistem aset digital Malaysia dengan memupuk dialog yang lebih mendalam serta menyediakan platform kolaborasi yang lebih meluas antara kewangan tradisional dan Web3.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Facebook dan Instagram Luno Malaysia.