
KUALA LUMPUR, 26 November Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), persatuan usahawan wanita Bumiputera premier di Malaysia, hari ini mengadakan sidang media di Pavilion Peniagawati, Dewan 3, Aras 1, MITEC Kuala Lumpur bagi memperkenalkan acara Majlis Minum Petang DiRaja 2026 sempena ulang tahun ke-45 persatuan.
Majlis berprestij ini akan dihadiri oleh dua Tetamu Kehormat DYMM Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, dan DYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu. Majlis Minum Petang DiRaja dijangka menghimpunkan kira-kira 400 tetamu, termasuk ahli, rakan kerjasama, dan tetamu kehormat.
Sejak 1980, Peniagawati menjadi tulang belakang kepada pembangunan usahawan wanita Bumiputera. Ulang tahun ke-45 ini menandakan komitmen baharu untuk memperkasakan wanita melalui program pembangunan kapasiti denagan adanya lima zon Chapter baru, rangkaian strategik, dan pengukuhan organisasi di bawah kepimpinan Presiden Dato’ Hjh Emmy Suraya Hussein.
Peniagawati turut mengumumkan pelancaran lima zon Chapter-Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta kemas kini kepada Perlembagaan Peniagawati bagi memperkukuh tadbir urus, operasi Chapter, dan sokongan kepada ahli.
Antara acara utama ialah pengumuman Logo Rasmi Ulang Tahun Ke-45 yang dipilih daripada penyertaan seluruh negara, membawa simbolik kepada perpaduan, kemajuan dan semangat wanita Peniagawati.
Maklumat lanjut mengenai Majlis Minum Petang DiRaja 2026 termasuk tiket dan penajaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.










