Antara Kad Debit Cantik, Kadar Simpanan Tinggi Dan Status Syariah 5 Bank Digital di Malaysia

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia mula menyimpan dan mengurus kewangan melalui bank digital. Semua urusan dari buka akaun, simpan duit, pindah wang hingga mohon pembiayaan boleh dibuat hanya melalui aplikasi telefon.

Dari permulaan inovatif hingga ke persaingan kadar yang semakin sengit. Ini lima bank digital yang wajib anda tahu.

GXBank: Bank Digital Pertama di Malaysia

GXBank ialah bank digital pertama yang tiba di Malaysia, dibangunkan oleh konsortium antara Grab dan rakan strategik lain seperti Singtel dan Kuok Group.

Kadar simpanan: ~2% p.a. interest harian bagi akaun simpanan. Ada juga potensi kadar bonus sehingga ~3.18% p.a., bergantung kepada produk.

Kad debit GXBank memang lawa! Ramai yang bagi review 10/10 dan ada yang buka akaun semata-mata sebab kad debit mereka yang cantik.

Peliknya… ramai tidak perasan satu benda penting iaitu GXBank sebenarnya bank konvensional.

Maknanya:
✔ Ada faedah (riba)
✘ Tidak patuh Syariah

Bagi produk pinjaman, GXBank menawarkan produk FlexiCredit, sejenis pinjaman yang memberi had kredit sehingga RM150,000. Pinjaman ini boleh digunakan sebagai pinjaman peribadi atau kecemasan dengan kadar faedah bergantung kepada jumlah yang dipinjam. FlexiCredit ini lebih mirip “tabung kecemasan berbayar” yang sentiasa ada bila pelanggan memerlukan dan faedah dikenakan ke atas jumlah yang benar-benar digunakan.

RYT Bank: Bank Digital Yang Dikuasakan AI

RYT Bank masuk dengan pendekatan berbeza dan bertemakan AI-driven personalised banking. RYT guna AI bukan sekadar chatbot menjawab soalan.

Punyalah hebat AI dia sehinggakan boleh bantu urus transaksi melalui mesej atau gambar contohnya muatnaik gambar bil atau taip “pindahkan RM50 kepada Kamal Adli”, sistem akan terus sediakan bayaran untuk disahkan.

Kadar simpanan: Sekitar 3 – 4% p.a. untuk akaun simpanan.

Kad debit Visa dari Ryt Bank menawarkan kemudahan perbelanjaan luar negara, tiada yuran transaksi matawang asing, pengeluaran ATM dan ganjaran eksklusif.

Belum jelas jika Ryt Bank sudah menawarkan produk pinjaman secara rasmi atau belum. Tetapi sama seperti Boost atau GXBank, RYT Bank menawarkan produk konvensional dan tidak patuh Syariah.

Boost Bank

Boost Bank datang dari ekosistem e-wallet Boost yang ramai sudah menggunakannya.

Kadar simpanan:
✔ 2.5% p.a. pada akaun simpanan biasa
✔ 3% p.a. pada Savings Jars tertentu
✔ Sehingga ~3.3%–4% p.a. dengan Special Jars & promosi

Kenapa Boost Bank menjadi pilihan ramai?
✔ Integrasi dengan e-wallet harian
✔ Mudah buka akaun dari RM1 ke atas
✔ Debit kad

Namun… yang penting untuk difahami: Boost Bank juga menawarkan produk bank konvensional dan tidak patuh Syariah.

AEON Bank Islamic Digital Bank: Patuh Syariah

AEON bukan sekadar pusat beli-belah sebab kini mereka ada bank digital patuh Syariah sendiri.

Sebagai bank Islam digital pertama di Malaysia, AEON menggunakan struktur kontrak kewangan Islamik yang telus dan bebas riba.

Kadar simpanan (profit): Pernah dilihat sehingga sekitar ~3.88% p.a. ketika promosi. (Walaupun kadar standard selepas promosi mungkin berubah, bank masih menawarkan kadar kompetitif)

Apa yang menarik:
✔ Patuh Syariah dari awal.
✔ Debit kad Visa untuk transaksi harian.
✔ Boleh buka pelbagai pot simpanan untuk tujuan berbeza.

Warna pink kad debit AEON bukan sekadar cantik dipandang dan bukan juga sekadar estetika tetapi menjadi simbol gaya hidup moden. Ramai anak muda bangga dengan kad debit AEON mereka dan berkongsi di media sosial kerana warnanya yang memukau! Kad debit AEON juga datang dengan rewards points dan cashback.

AEON Bank telah menawarkan Personal Financing-i, iaitu pembiayaan peribadi patuh Syariah sehingga RM100,000 yang boleh dipohon terus melalui aplikasi.

@aeonbank Feeling left out without the Pink Card? 😎 Don’t worry, getting your AEON Bank Debit Card-i is just a few easy steps away—and the best part? Zero card issuance fee! Enjoy a RM12 fee waiver* on your physical Debit Card-i. Tag us once you’ve got yours—we can’t wait to see it! 💳✨ *T&Cs apply #AEONBank #BankEasy #SenangJer #DigitalBank ♬ Food Funk10431 – SonicMusic

Baca lagi Kelebihan Utama AEON Bank Malaysia – Bank Digital Islamik Pertama Negara

KAF Digital Bank: Bank Digital Patuh Syariah Dengan Gabungan Hebat

Ini bukan projek kecil. KAF Digital Bank ialah entiti operasi yang ditubuhkan oleh satu konsortium besar iaitu Carsome, MoneyMatch, Jirnexu dan StoreHub, bersama KAF Investment Bank Berhad sebagai tulang belakang kewangan.

Kadar simpanan (semasa pelancaran): Pernah menawarkan sekitar ~5.00% p.a. untuk RM2,000 pertama dan ~3% p.a. ke atas baki seterusnya semasa minggu-minggu awal pelancaran.
(Walaupun kadar semasa boleh berubah mengikut polisi bank, ia menunjukkan bank ini berani tawarkan pulangan yang sangat tinggi daripada mula)

KAF Digital Bank masih belum nampak agresif dari segi promosi. Ia belum menjadi sebutan di media sosial, belum tular dan belum ada promosi besar yang membuat orang berlumba-lumba membuka akaun mereka. Dalam dunia kewangan, bank yang senyap di peringkat awal selalunya bukan bank yang lemah, tetapi bank yang sedang menyusun asas dengan teliti supaya mampu bertahan lama.


Semua bank digital di Malaysia dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan dilindungi oleh PIDM (hingga RM250,000), sama seperti bank biasa.

Daripada lima bank digital ini GX Bank, AEON Bank, Boost Bank, KAF Digital Bank dan Ryt Bank hanya AEON dan KAF yang patuh Syariah. Setakat September 2025, keseluruhan bank digital di Malaysia telah mengumpul kira-kira RM3.1 bilion deposit dengan hampir dua juta pelanggan.

Namun jika dibandingkan dengan sistem perbankan arus perdana yang mempunyai 26 buah bank dan jumlah deposit sekitar RM1.1 trilion, angka itu sebenarnya masih sangat kecil, tidak sampai satu peratus pun daripada keseluruhan pasaran. Ini bukan tanda kegagalan, tetapi petunjuk bahawa bank digital masih berada di fasa awal dan sedang membina kepercayaan. Perubahan besar dalam dunia kewangan selalunya bermula perlahan sebelum ia benar-benar meledak.

Jadi, antara GX Bank, AEON Bank, Boost Bank, KAF Digital Bank dan RYT Bank, siapa sebenarnya bank digital terbaik di Malaysia hari ini? Ada yang menang dari segi kadar pulangan simpanan, ada yang unggul dari segi teknologi, ada yang menawan dengan kad debit dan memikat dengan rewards yang ditawarkan. Jawapannya bergantung pada satu perkara paling penting iaitu apa yang paling anda hargai.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.