
KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM365.92 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM353.81 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan turut berkembang kepada RM4.25 bilion daripada RM3.89 bilion setahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan jumlah lawatan pesakit yang lebih tinggi, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.35 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, berjumlah RM59.2 juta, yang akan dibayar menjelang 17 April 2026.
Bilangan katil operasi meningkat empat peratus tahun ke tahun sejajar pengembangan kapasiti, manakala kes pembedahan naik 11 peratus dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam bertambah tujuh peratus, mencerminkan pertumbuhan berterusan aktiviti pesakit di seluruh rangkaian.
KPJ Healthcare kekal memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kadar penggunaan kemudahan, kualiti klinikal dan disiplin kos dalam persekitaran yang masih berdepan tekanan tenaga kerja serta peningkatan kos sektor penjagaan kesihatan.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan, berkata tahun kewangan 2025 memperlihatkan kemajuan jelas dalam memperkukuh kualiti hasil, kecekapan operasi dan integrasi sistem di seluruh kumpulan.
“Tahun kewangan 2025 mencerminkan kemajuan yang jelas dalam memperteguh kualiti hasil, kecekapan operasi serta integrasi sistem di seluruh kumpulan. Pertumbuhan yang disokong oleh permintaan pesakit yang berdaya tahan, penambahbaikan campuran kes dan peningkatan keupayaan pakar kini mengubah komposisi perkhidmatan KPJ ke arah perkhidmatan berakuiti tinggi yang menjana nilai lebih besar,” katanya dalam kenyataan berasingan hari ini.
Chyuan berkata fasa seterusnya pertumbuhan KPJ Healthcare akan dipacu penumpuan terhadap kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam model operasi yang lebih bersepadu.
Menurutnya, kumpulan itu kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek 2026, disokong program pengoptimuman aset dan pengembangan kapasiti berterusan serta usaha meningkatkan kecekapan operasi.
– BERNAMA










