5 Langkah Buka Akaun Saham Global Dan Mula Melabur Saham Gergasi Dunia

Anda dah biasa melabur atau berdagang saham di Bursa Malaysia dan teringin nak melabur saham global, tetapi tidak tahu caranya? Sebenarnya, konsep saham luar negara ini lebih kurang sama saja dengan cara kita melabur saham di Bursa Malaysia.

Ilmu fundamental dan teknikal yang anda telah belajar sebelum ini boleh digunakan di mana-mana pasaran saham.

Perkara pertama yang kita perlu buat adalah mendaftar dan membuka akaun dengan broker saham global terlebih dahulu.

Dengan mempunyai akaun saham global, mudahlah untuk kita membuat pilihan nak beli saham terkenal dunia seperti saham Apple, Google (Alphabet), Microsoft, Facebook, Twitter, Nike dan banyak lagi. Baca juga Adakah Saham Facebook, YouTube, Twitter, Netflix Dan Spotify, Patuh Syariah?

Jom kita tengok langkah-langkah untuk buka akaun saham global dan mula melabur.

1. Pilih Platform Pelaburan Saham Global

Kebanyakan pelabur akan membuka akaun dengan Saxo Bank atau Ameritrade, yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu buat masa ini Saxo Bank dan Ameritrade merupakan akaun konvensional.

Tapi ramai yang tak tahu bahawa sebenarnya kita boleh menggunakan broker tempatan seperti RHB Investment atau Maybank Investment Bank (konvensional). Cara ini lebih selamat dan mudah dilakukan untuk jangka masa yang panjang berbanding dengan broker luar negara.

Kalau memilih untuk membuka akaun global yang patuh Syariah, boleh buka dengan BIMB Securities atau CGSi.

Baca juga: Nak Buka Akaun CDS Global Dengan CGSI (CGS-CIMB)? Jom Ikut Tutorial Ini

2. Ketahui Produk Atau Instrumen Secara Jelas

Kita perlu tahu secara jelas apakah produk atau instrumen pelaburan yang kita hendak melabur.

Terdapat 3 produk yang biasa terdapat di pasaran saham global:

  • Ekuiti Atau Saham – Instrumen ini merupakan pilihan yang paling popular di kalangan para pelabur. Tapi pastikan saham yang kita nak beli tersebut adalah patuh Syariah.
  • CFD Atau Contract For Difference – Instrumen ini berisiko tinggi, tapi sayangnya tak patuh Syariah.
  • Options – Ianya merupakan instrumen yang terkenal juga, namun belum diiktiraf sebagai patuh syariah. Jemput tonton video Options Trading Halal atau Haram? – Ustaz Dr Zaharuddin bin Abdul Rahman

3. Daftar Di Platform Pilihan Anda

Dah kenal pasti platform dan instrumen pilihan bagi pelaburan saham global, daftar dan buka akaun dengan platform pilihan anda. Dalam proses pendaftaran tersebut, selesaikan perkara penting seperti pembukaan akaun, urusan deposit dan lain-lain.

Kita juga boleh melihat demo atau panduan cara menggunakan platform tersebut yang telah disediakan sebagai panduan umum di website platform tersebut.

Baca juga panduan ini:

4. Lihat Pergerakan Harga Saham Secara Langsung (Live)

Setelah selesai mendaftar, jangan tergesa-gesa untuk mula melabur. Mulakan saham global dengan melihat panduan dan mendapatkan maklumat harga saham global terkini secara langsung.

Anda juga boleh melihat pergerakan harga di seluruh dunia secara percuma di website Investing.com. Selain itu, terdapat juga tarikh terkini atau berita penting yang akan dikeluarkan di situ, boleh juga kita ambil tahu berkenaan catalyst yang bakal mempengaruhi harga saham dalam masa terdekat.

Baca juga Ini Laman Web Percuma Untuk Dapatkan Maklumat Terbaik Mengenai Saham Global

5. Fokus Kepada Saham Gergasi

Saham MAANG di Wall Street

Apabila nak mula melabur saham global, sebaiknya kita fokus kepada saham syarikat gergasi dan terkenal terlebih dahulu. Jangan pula kita beli saham syarikat yang kita sendiri pun tak pernah dengar namanya. 

Perbandingan mudah untuk saham-saham di Malaysia, lebih baik kita mula jual beli saham-saham yang tersenarai dalam Top 30 FBM KLCI, daripada kita mula jual beli saham-saham penny stock.

Saham Blue Chip memiliki volume yang besar menyebabkan turun naik saham berlaku dengan begitu cepat. Jika melabur pada saham syarikat yang kecil, pergerakannya tak berapa laju. 

Baca juga panduan ini:

Akhir kata, pastikan kita mempunyai ilmu yang secukupnya sebelum nak melabur ke dalam saham global. Mantapkan dulu ilmu berkenaan saham di Bursa Malaysia, dan bila kita rasa dah bersedia – baru kita mula buka akaun saham global dan boleh mula beli saham luar negara.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters