KTMB Dan Mastercard Lancar Kad Co-Branded Untuk Memacu Pembayaran Terbuka Dan Keterangkuman Kewangan Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dengan kerjasama Mastercard, hari ini mencatat satu pencapaian penting dengan pelancaran KITS Style Prepaid Mastercard, yang diperkenalkan bersama aplikasi gaya hidup digital baharu KITS Style dalam satu majlis yang diadakan di KL Sentral.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Azlan Shah Al Bakri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, dan Timothy Murphy, Naib Pengerusi Mastercard, sekali gus menonjolkan kerjasama kukuh antara kedua-dua organisasi dalam memacu inovasi digital dalam ekosistem rel dan pengangkutan awam Malaysia.

Kad KTM-Mastercard co-branded ini merupakan kad prabayar transit gaya hidup yang direka untuk kegunaan pengangkutan serta perbelanjaan harian. Beroperasi melalui rangkaian pembayaran global Mastercard, kad ini mencerminkan komitmen berterusan KTMB dalam memodenkan perkhidmatannya sambil menyediakan pengalaman pembayaran yang lancar, selamat dan saling beroperasi.

Kad ini ditawarkan dalam bentuk virtual dan fizikal melalui aplikasi KITS Style, membolehkan pembayaran tanpa gangguan merentasi perkhidmatan KTM serta rangkaian pengangkutan awam lain apabila penggunaan pembayaran terbuka semakin meluas di seluruh negara.

Pelancaran kad ini bersama aplikasi KITS Style juga menandakan satu pencapaian penting dalam agenda transformasi digital KTMB yang lebih luas mengukuhkan peranannya bukan sekadar sebagai pengendali rel nasional, tetapi juga sebagai pemangkin kepada keterangkuman kewangan dan penyelesaian mobiliti pintar untuk rakyat Malaysia.

Memacu Mobiliti yang Inklusif dan Berhubung

Pelancaran KITS Style Prepaid Mastercard menawarkan nilai yang signifikan kepada ekosistem pengangkutan awam dengan meningkatkan kecekapan, aksesibiliti dan pengalaman pelanggan.

Bagi KTMB, penggunaan pembayaran open-loop membantu memperkemas operasi, mengurangkan kebergantungan kepada sistem berasaskan tunai serta menyokong pertumbuhan hasil bukan tambang secara mampan melalui kerjasama co-branding dan kolaborasi ekosistem. Platform ini juga membolehkan penambahbaikan perkhidmatan berasaskan data dan mengukuhkan kedudukan KTMB sebagai pengendali rel yang progresif secara digital.

Bagi penumpang pula, kad prabayar ini menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih pantas dan mudah melalui akses “tap and go”, penerimaan meluas oleh peniaga serta transaksi selamat berasaskan teknologi EMV. Ia juga memperluaskan akses kepada pembayaran digital dengan membolehkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai akaun bank atau akses kewangan mencukupi termasuk pelajar dan komuniti kurang mendapat perkhidmatan kewangan untuk menyertai ekonomi digital tanpa memerlukan akaun bank tradisional.

Selain itu, ekosistem KITS Style yang bersepadu menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan, pembayaran bil, tempahan perjalanan dan tawaran gaya hidup dalam satu aplikasi. Pengguna turut menikmati fungsi perancangan perjalanan yang diperibadikan, promosi bersepadu serta pengurusan akaun masa nyata yang membantu meningkatkan kecekapan perjalanan dan mempercepat penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam sektor pengangkutan awam.

Menyokong Agenda Ekonomi Digital Malaysia

Ketika Malaysia memperkukuh inisiatif MyDigital dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital negara, pembangunan infrastruktur pembayaran yang saling beroperasi dan inklusif kekal menjadi elemen penting dalam mempercepat penggunaan digital di peringkat nasional.

Dengan mengintegrasikan pembayaran digital yang dikawal selia dalam mobiliti harian, kerjasama KTMB dan Mastercard ini menyumbang kepada matlamat transformasi digital Malaysia yang lebih luas, selain memperluaskan penyertaan dalam ekonomi digital serta mengukuhkan keyakinan terhadap transaksi tanpa tunai yang selamat.

Membuka Laluan Masa Depan “Tap and Go”

Seiring dengan peluasan penggunaan pembayaran terbuka dalam sistem pengangkutan awam dan tol di Malaysia, KITS Style Prepaid Mastercard direka bagi menyokong sistem pembayaran mobiliti masa hadapan.

Dengan satu kad sahaja, penumpang akan dapat menggunakan konsep tap and go untuk:

  • menaiki KTM Komuter;
  • menggunakan pengangkutan awam lain yang menerima pembayaran terbuka; dan
  • pada masa hadapan merentasi rangkaian tol apabila integrasi pembayaran terbuka dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia.

Dengan mengurangkan keperluan menggunakan pelbagai instrumen pembayaran, penyelesaian ini meningkatkan kemudahan bagi penumpang harian sambil menyokong kesalinghubungan yang lebih luas dalam ekosistem pengangkutan negara.

Komitmen KTMB dan Mastercard kepada Malaysia

KTMB komited untuk mentransformasikan pengangkutan awam melalui inovasi yang memberikan nilai sebenar kepada penumpang. Pelancaran KITS Style Prepaid Mastercard mencerminkan visi KTMB untuk melangkaui perkhidmatan rel tradisional dengan mengintegrasikan pembayaran digital, mobiliti dan penyelesaian gaya hidup dalam satu ekosistem yang lancar.

Menurut Azlan Shah Al Bakri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB “Dengan mengintegrasikan pembayaran terbuka dan perkhidmatan gaya hidup digital dalam satu platform, kami bukan sahaja meningkatkan pengalaman perjalanan tetapi juga memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai ekonomi digital. Inisiatif ini mengukuhkan keterangkuman kewangan, meningkatkan kemudahan untuk penumpang dan menyokong agenda transformasi digital negara. Melalui kerjasama dengan Mastercard, kami membina rangkaian rel masa depan yang lebih pintar, lebih berhubung dan lebih responsif kepada keperluan penumpang di seluruh negara.”

Sementara itu, Beena Pothen, Pengurus Negara Malaysia dan Brunei bagi Mastercard berkata “Mastercard percaya inovasi digital mesti bermula dengan keperluan rakyat Malaysia. Transit merupakan antara transaksi harian paling kerap dilakukan oleh orang ramai, jadi menyediakan akses digital dalam sektor ini mampu mempercepat penyertaan dalam ekonomi digital. Kerjasama kami dengan KTMB merupakan langkah penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi tanpa tunai yang diperkasa secara digital memastikan rakyat dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat dan inklusif.”

Mastercard kekal komited untuk menyokong transformasi Malaysia menjadi negara yang diperkasa secara digital dengan bekerjasama rapat bersama kerajaan, pengendali rel serta pemain industri bagi menyediakan penyelesaian pembayaran bertaraf dunia yang saling beroperasi untuk rakyat.

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.