Amanah Hartanah Bumiputera Umum Agihan Pendapatan Interim 2.50 Sen Seunit

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan PHB Asset Management Bhd (PHBAM) mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana unit amanah patuh syariah, untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2026.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PHB dan PHBAM berkata agihan itu merangkumi pendapatan sebanyak 2.06 sen seunit serta bonus 0.44 sen seunit, dengan bonus tersebut ditanggung oleh PHB selaku penaja dan dibayar bagi pegangan satu juta unit pertama setiap pemegang unit.

“Sejumlah RM118.74 juta akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 pemegang unit, menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan AHB sejak penubuhannya pada 2010 sebanyak RM2.5 bilion,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata agihan pendapatan akan dibayar dalam bentuk unit kepada pelabur yang memegang kurang daripada 10,000 unit, manakala mereka yang memiliki 10,000 unit dan ke atas akan menerima bayaran tunai yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing pada 13 April, 2026.

“Agihan ini adalah bersih selepas cukai dan zakat, sekali gus membolehkan pemegang unit menerima agihan bersih tanpa perlu menolak zakat atau kewajipan lain,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Mazuki Abdullah @Muhammad berkata agihan tersebut mencerminkan daya tahan portfolio AHB serta pendekatan berdisiplin PHB dalam mengdepani persekitaran pasaran yang dinamik.

“Disokong portfolio aset komersial utama yang pelbagai, kami kekal komited untuk memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pemegang unit,” katanya.

Beliau berkata AHB terus membuktikan kekukuhannya sebagai dana unit hartanah patuh syariah yang menawarkan nilai berdaya saing kepada pelabur bumiputera, disokong pengurusan aset yang berkesan serta strategi pelaburan jangka panjang.

“PHB akan terus memperkukuh portfolio menerusi strategi agihan aset yang tersusun, pengurusan modal berhemat serta pemerolehan dan pelupusan aset secara berdisiplin bagi memastikan AHB kekal berada pada kedudukan baik untuk memberikan pulangan agihan pendapatan mampan, di samping menyokong agenda nasional penciptaan kekayaan Bumiputera,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM Zulkifli Ishak berkata selaku pengurus dana AHB, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif celik kewangan dan program kesedaran bagi menekankan kepentingan perancangan kewangan yang kukuh, selain memperluas akses kepada komuniti Bumiputera.

Beliau berkata usaha itu akan disokong strategi pemasaran yang lebih agresif bagi memperluas jangkauan dan menggalakkan penyertaan berterusan.

Pemegang unit boleh menyemak agihan pendapatan masing-masing mulai 13 April 2026 menerusi pengedar sah AHB iaitu PHBAM melalui www.myahb.my, selain Maybank, AmBank, Bank Islam dan Bank Kerjasama Rakyat.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Khidmat Pelanggan PHBAM di talian 03-7734 0555 atau melayari www.phbam.com.my.
– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bahan Asas: Menelusuri Tempoh Tidak Menentu

Kekal WAJARAN TINGGI; Saham Pilihan Utama: Press Metal (PMAH)

Meskipun Press Metal menyaksikan harga sahamnya menurun secara beransur-ansur daripada paras kemuncaknya akibat penurunan harga aluminium (kini pada USD3,000- 3,100/tan), saham ini terus menjadi Saham Pilihan Utama sektor kami berdasarkan hujahan pelaburan kami tentang kekurangan bekalan jangka panjang selepas melandanya konflik di Asia Barat. Penilaian untuk saham-saham bawah liputan kajian kami adalah menarik dengan kedua-duanya diniagakan di bawah paras purata lampau masing-masing.

Harga aluminium menghampiri paras sebelum konflik tatkala dialog perdamaian antara AS dengan Iran

Yang membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz (SoH) secara berperingkat. Keadaan ini menyebabkan harga aluminium susut sebanyak 19% dalam tempoh empat minggu, memandangkan kebanyakan logam yang dihasilkan di negara-negara Teluk (merangkumi 8-9% bekalan dunia) melalui SoH, di samping penghantaran stok suapan aluminium yang memasuki rantau tersebut

Kadar pengeluaran China tinggi, harga tembaga yang lebih rendah menekan lagi harga aluminium

Keluaran aluminium oleh China meningkat 4% MoM pada Mei, dan hal ini bermakna jumlah pengeluaran tahunan adalah sebanyak 46j, iaitu melebihi had 45j tan yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan China. Sekiranya paras keluaran yang sama dilihat berlaku pada 2H26, China mungkin boleh mengurangkan jurang defisit aluminium yang berpunca daripada kilang-kilang peleburan yang rosak di Asia Barat, didorong oleh pembukaan semula SoH secara berfasa.

Sebagai makluman, harga tembaga dan aluminium saling mempunyai perkaitan positif (+0.94x) dan oleh demikian itu, penurunan harga tembaga (-4% dalam empat minggu) menekan lagi harga aluminium untuk menurun. Hal ini juga dipacu oleh prospek Rizab Persekutuan AS yang lebih agresif yang mengakibatkan nilai mata wang USD/MYR menokok sebanyak 4% dalam empat minggu (USD/MYR mempunyai perkaitan dengan harga aluminium pada nilai gandaan -0.82x).

Prospek Malayan Cement (LMC)

Harga arang batu Newcastle mengalami penurunan secara beransur-ansur ketika perjanjian damai sedang diusahakan antara AS dengan Iran. Harga arang batu sekarang mencecah USD129/tan (-15% dalam empat minggu), iaitu lebih kecil daripada penurunan 16% dalam harga minyak mentah. Oleh sebab kedua-dua komoditi ini saling berkait rapat (+0.81x pada YTD-2026), kami menjangka harga arang batu akan beransur-ansur menghampiri paras sebelum perang tercetus, walaupun LMC sudah memperoleh inventori arang batunya untuk 1QFY27 (Jun) pada harga kira-kira USD90/tan (38% lebih tinggi daripada paras 3QFY26). Sekiranya harga arang batu terus mereda pada 2H26, kita sepatutnya menyaksikan margin LMC
kembali pulih mulai 2QFY27, walaupun hal ini mungkin diimbangi oleh kawalan eksport yang dilaksanakan oleh Kerajaan Indonesia dan kenaikan berpotensi dalam permintaan arang batu yang dirangsang oleh cuaca panas di Asia Tenggara.

Kami mengekalkan andaian LME 2026 berjumlah USD3,250/tan

Namun mengurangkan ramalan 2027 kepada USD3,050/tan (daripada USD3,150) untuk menjadi lebih konservatif. PMAH tetap menjadi Saham Pilihan Utama kami berikutan kekurangan bekalan aluminium untuk jangka panjang yang dijangka berpanjangan dalam masa dekat. Purata harga aluminium secara YTD ialah USD3,333/tan (3% melebihi jangkaan kami).

Kami berpendapat hal ini mewajarkan saham ini untuk. mengalami kenaikan nilai saham, lantas menaikkan penilaian ini ke paras lebih tinggi daripada purata sekarang. Kami juga memandang baik akan LMC atas tahap kecekapan operasinya yang bertambah baik, sementara penilaiannya kelihatan murah apabila ia diniagakan pada -2SD daripada purata. Kami menekankan bahawa margin EBITDA tetap kukuh dengan kenaikan QoQ kepada 35.3% pada 3QFY26 (2QFY26: 32.9%).

Penganalisis
Iftaar Hakim Rusli +603 2302 8114 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.