Panduan Mengira Sendiri Zakat Saham Beserta Contoh

Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) adalah badan yang bertanggungjawab dalam mengawal dan menyelia pasaran saham. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian.

Apabila saham disenaraikan di pasaran Bursa, nilainya mungkin berbeza dengan nilai asalnya. Ini kerana saham yang didagangkan akan membolehkan nilainya untuk turun naik mengikut faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran, seperti pencapaian syarikat, keadaan ekonomi, kestabilan politik tempatan dan antarabangsa.

Kriteria Saham

Memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ianya terhindar dari aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Secara umumnya, saham boleh dikatakan mempunyai kriteria-kriteria berikut

  1. Berbentuk dokumen, skrip atau sijil yang boleh mengisbatkan hak-hak pemiliknya ketika berlaku tuntutan.
  2. Mempunyai nilai yang sama dan tidak berbeza-beza bagi setiap satu unit bagi memudahkan pengiraan dan pembahagian keuntungan.
  1. Boleh bertukar milik melalui proses transaksi seperti jual beli.

Dalil Zakat Saham

Para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham. Ia diambil berdasarkan dalil al-Quran berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” [Surah Al-Baqarah (2): 267]

Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipananskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya…” (Sahih Muslim)

Zakat tidak perlu dibayar atas saham dan dividen saham sekiranya sesebuah syarikat tersebut telah pun mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak pemegang-pemegang sahamnya. Namun sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat perniagaannya, maka individu yang memiliki saham syarikat tersebut wajib membayar zakat secara persendirian. 

Pengiraan Zakat Saham

Pemilik saham boleh mengasingkan pengiraan zakat atas saham kepada dua kumpulan iaitu saham yang masih dimiliki melebihi setahun dan saham-saham yang dijual beli untuk tempoh kurang daripada setahun.

Jika ikutkan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, nisab bagi 2021 adalah RM20,299.00. Jika keseluruhan modal kita masih di bawah nilai nisab, kita tidak diwajibkan untuk membayar zakat saham.

  1. Saham Yang Disimpan Selepas Setahun (bagi pelabur jangka panjang)

Saham yang disimpan selepas setahun akan dikira mengikut harga terendah saham dalam tempoh setahun didarabkan dengan jumlah unit saham yang dimiliki, sebagai contoh:

= Nilai Saham (dalam harga terendah) x 2.5%

Pengiraan Zakat Saham

= RM55,000 x 2.5%
= RM1,375

  1. Saham Yang Dijual Beli Sepanjang Tahun (bagi pedagang jangka pendek)

Bagi saham-saham yang dijual beli sepanjang tahun, maka dikira 2.5% atas jumlah keuntungan saham setelah ditolak modal permulaannya.

Pengiraan Zakat Saham

= Jumlah Keuntungan x 2.5%
= RM20,000 x 2.5%
= RM500

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Boleh ke zakat dikenakan ke atas saham yang tidak patuh syariah?

Boleh. Tetapi tertakluk kepada wang modal asal sahaja.

Contoh; Ali melaburkan RM100,000 dengan membeli saham syarikat Arak Itu Haram Bhd. Ketika cukup Haul, modal asal Ali telah meningkat menjadi RM120,000 dengan pertambahan sebanyak RM20,000. Disebabkan saham tersebut tidak patuh syariah, maka zakat hanya diwajibkan ke atas RM100,000 sahaja. Nilai untung RM20,000 yang diterima tidak diwajibkan zakat. Ia sepatutnya diberikan kepada Baitulmal. Ali juga dinasihatkan supaya berhenti membeli saham-saham tidak patuh syariah.

Sumber Rujukan: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Zakat Selangor

Belajar Kira Zakat Saham Sendiri & Bayar Online

Walaupun kita hanya baru untung sedikit, perlu sekiranya kita belajar untuk mengira zakat saham hari ini. Boleh guna Kalkulator Zakat Saham yang dibangunkan oleh Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.

Kerana setiap daripada rezeki dan keuntungan yang kita perolehi, ada bahagian orang lain di dalamnya. Maka rajin-rajinlah bayar zakat agar hidup kita bertambah berkat.

Untuk penerangan lebih jelas jom bersama Ustaz Ahmad Husni dari PPZ-MAIWP dalam video Zakat Saham; Bayar Setiap Hari atau Setahun Sekali?
Previous ArticleNext Article

Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi Mei 2026

Pasaran saham sentiasa bergerak dalam dua arah ada saham yang melonjak tinggi dan ada juga yang mengalami penurunan ketara. Walaupun bulan Mei 2026 menyaksikan beberapa kaunter patuh syariah mencatatkan prestasi cemerlang, terdapat juga beberapa saham yang berdepan tekanan jualan dan sentimen negatif sehingga menyebabkan harga saham mereka susut sepanjang bulan tersebut.

Berikut merupakan senarai Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Mei 2026.

1. P.I.E. Industrial Berhad

P.I.E. Industrial Berhad muncul sebagai saham patuh Syariah paling rugi bagi bulan Mei 2026 dengan kejatuhan sebanyak 25.7%.

Menariknya, saham ini pernah berada dalam senarai saham paling untung pada bulan sebelumnya. Situasi ini membuktikan bahawa sentimen pasaran boleh berubah dengan pantas, terutamanya bagi saham yang mengalami kenaikan atau penurunan besar dalam tempoh singkat.

2. UEM Sunrise Berhad

Di tempat kedua ialah UEM Sunrise Berhad yang mencatatkan penurunan sebanyak 17.5%.

Sektor hartanah sering dipengaruhi oleh sentimen ekonomi, kadar faedah dan keyakinan pembeli. Sebarang perubahan terhadap faktor-faktor ini boleh memberi kesan kepada pergerakan harga saham syarikat dalam sektor tersebut.

3. Ann Joo Resources Berhad

Ann Joo Resources Berhad berada di kedudukan ketiga dengan kejatuhan sebanyak 17.2%.

Sebagai syarikat yang terlibat dalam industri keluli dan bahan binaan, prestasinya sering berkait rapat dengan harga komoditi, aktiviti pembinaan dan permintaan industri.

4. KJTS Group Berhad

Di tempat keempat ialah KJTS Group Berhad dengan penurunan sebanyak 16.8%.

Saham ini pernah tersenarai sebagai antara saham paling rugi pada awal tahun 2026. Kejatuhan berterusan menunjukkan bahawa sentimen pelabur terhadap kaunter ini masih belum pulih sepenuhnya.

5. TSH Resources Berhad

TSH Resources Berhad mencatatkan penurunan sebanyak 14.9%.

Sektor perladangan lazimnya dipengaruhi oleh harga minyak sawit mentah (CPO), kos operasi dan permintaan global. Sebarang kelemahan dalam faktor-faktor ini boleh memberi tekanan kepada harga saham.

6. CTOS Digital Berhad

Di kedudukan keenam ialah CTOS Digital Berhad dengan kejatuhan sebanyak 14.5%.

Sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan data dan penilaian kredit, saham CTOS sering menjadi perhatian pelabur institusi dan runcit. Namun, sentimen pasaran semasa turut memainkan peranan penting dalam menentukan pergerakan harganya.

7. Dialog Group Berhad

Dialog Group Berhad merekodkan penurunan sebanyak 14.2%.

Menariknya, Dialog pernah berada dalam senarai saham paling untung bagi Mac 2026. Perubahan ini sekali lagi menunjukkan bahawa prestasi saham boleh berubah dalam tempoh yang singkat bergantung kepada sentimen dan faktor pasaran semasa.

8. Supercomnet Technologies Berhad

Supercomnet Technologies Berhad berada di tempat kelapan selepas mencatatkan penurunan sebanyak 13.3%.

Syarikat dalam sektor teknologi lazimnya mempunyai tahap volatiliti yang lebih tinggi berbanding sektor defensif, menyebabkan harga saham boleh bergerak dengan lebih agresif.

9. Oriental Kopi Holdings Berhad

Di tempat kesembilan ialah Oriental Kopi Holdings Berhad dengan kejatuhan sebanyak 13.1%.

Sebagai syarikat yang terlibat dalam sektor pengguna dan makanan & minuman, prestasi sahamnya banyak dipengaruhi oleh pertumbuhan perniagaan, margin keuntungan dan sentimen pengguna.

10. Insights Analytics Berhad

Melengkapkan senarai ialah Insights Analytics Berhad dengan penurunan sebanyak 13.0%.

Syarikat yang beroperasi dalam sektor teknologi dan analitik data ini sebelum ini pernah mencatatkan prestasi memberangsangkan, namun turut tidak terlepas daripada tekanan jualan pasaran.

Apa Yang Pelabur Boleh Pelajari?

Daripada senarai bulan Mei 2026 ini, beberapa perkara penting boleh diperhatikan:

1. Saham yang pernah untung besar juga boleh jatuh

P.I.E. Industrial, UEM Sunrise dan beberapa saham lain pernah mencatatkan prestasi yang baik sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa keuntungan besar tidak menjamin momentum akan berterusan.

2. Kepelbagaian sektor dalam senarai

Senarai kali ini melibatkan pelbagai sektor termasuk teknologi, hartanah, perladangan, industri dan pengguna. Ini menunjukkan bahawa risiko pasaran boleh berlaku kepada mana-mana sektor.

3. Volatiliti adalah sebahagian daripada pelaburan

Pergerakan naik dan turun harga saham adalah perkara biasa dalam pasaran. Pelabur yang berjaya biasanya mempunyai strategi pengurusan risiko yang jelas dan tidak membuat keputusan berdasarkan emosi semata-mata.

Kesimpulan

Bulan Mei 2026 membuktikan bahawa pasaran saham bukan hanya mengenai mencari saham yang paling untung, tetapi juga memahami risiko yang datang bersama setiap pelaburan.

Senarai saham patuh syariah paling rugi ini boleh dijadikan sebagai rujukan untuk memahami perubahan sentimen pasaran dan mengenal pasti kaunter yang sedang berdepan tekanan jualan.

Namun begitu, pelabur perlu sentiasa mengingati bahawa:

✅ Prestasi masa lalu tidak menjamin prestasi masa hadapan
✅ Penurunan harga tidak semestinya bermaksud syarikat mempunyai fundamental yang lemah
✅ Kajian dan analisis sendiri tetap penting sebelum membuat keputusan pelaburan